Sebuah pelajaran TANGGUNGJAWAB daripada kematian.
Semakin bertambah hari kita hidup, semakin bertambah orang kita kenali, malah kita sayangi, meninggal dunia, semakin bertambah bilangan peringatan untuk kita yang masih hidup juga.
Allah cipta kita untuk hidup di dunia, kemudian dimatikan pula, bertujuan untuk menguji kita, siapakah yang paling baik amalannya. Bukan paling petah bercakap.
Kita tanggung beban ujian, untuk kita jawab dengan amalan.
Tanggungjawab.
Tapi kita sering lupa dari dua sudut. Pihak yang menguji kita ialah Allah, manakala jawaban mestilah dalam bentuk amalan, bukan lisan.
Kita sering menganggap, kita sedang berdepan dengan manusia. Jadi, beban ujian hidup ini kita sering jawab dengan lisan, kepada manusia.
Pandai kita bercakap, pandailah kita jawab akan tanggungan ujian. Petah lisan kita, kita rasa sudah tunai tanggungjawab...depan manusia.
Sedangkan selepas mati, Allah hanya terima jawaban ujian dalam bentuk amalan. Pada hari itu, Allah tutup mulut, Allah bagi keupayaan bercakap kepada tangan dan kaki.
Oleh itu, dalam hidup ini, fokuskan perhatian kepada amalan, sebagai menjawab setiap ujian hidup.
Jangan tersilap fokus, kepada jawaban lisan, kepada manusia, lebih-lebih lagi orang yang haknya jadi tanggungjawab kita, maka kita sering mengira bahawa jawaban lisan adalah jawaban, sedangkan itu bukan jawaban.
Jika fokus ini tersilap, kita jadi orang yang tidak bertanggungjawab, walaupun kita rasa sudah menjawab.
Analoginya, kalau kita pelajar sedang menjawab kertas soalan peperiksaan, kertas soalan minta jawaban bertulis, lidah kita pula yang membebel menjawab.
Pengawas peperiksaan hanya memerhati. Betapa ramai yang membebel, tak ada siapa yang ambil jawaban mereka, sedangkan sebahagian diam dan fokus menjawab dengan tekun.
Jika fokus ini tersilap, kita rasa kita hebat, kita rasa kita selamat, kita rasa kita lepas ujian, kita rasa kita tak ada masalah, sedangkan hakikatnya, masalah bertimpa-timpa dan bertimbun-timbun.
Jika fokus ini tersilap, kita rasa kita dah selesaikan masalah, tapi hakikatnya kita melonggokkan masalah
Dan paling malang, jika fokus ini tersilap, kita nampak orang lain yang bermasalah, sedangkan kita sebenarnya punca masalah.
Kesimpulannya, tanggunglah beban ujian kehidupan ini dengan jawaban berbentuk amalan, sebelum tempoh masa menjawab tamat dengan sebuah kematian.
Nota: Sampaikan teks talqin tradisi turun temurun itu juga memberikan mesej yang salah, seolah-olah mulut kita kena petah menjawab dan tidak kelu, sedangkan jawaban sudah kita jawab di dunia lagi, dalam bentuk amalan. Teks perlu diedit semula :)