Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi @alkutawi91 Channel on Telegram

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

@alkutawi91


Himpunan catatan-catatan Izzat al-Kutawi semoga Allah menutup aib-aibnya dan memberinya taufik dan hidayah berterusan.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi (Indonesian)

Selamat datang di Channel Telegram resmi "Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi"! Channel ini dikelola oleh pengguna dengan username @alkutawi91. Di sini, Anda akan menemukan himpunan catatan-catatan Izzat al-Kutawi yang menarik dan informatif. Jika Anda tertarik untuk membaca pemikiran-pemikiran yang mendalam dan refleksi pribadi dari seorang individu yang inspiratif, maka channel ini cocok untuk Anda. Izzat al-Kutawi adalah seorang penulis dan pemikir yang memiliki pandangan unik tentang kehidupan, cinta, dan nilai-nilai kehidupan. Melalui catatannya, ia berbagi wawasan yang dalam dan memotivasi pembacanya untuk merenungkan makna keberadaan mereka. Bergabunglah dengan kami di channel ini dan temukan inspirasi baru setiap harinya! Untuk informasi lebih lanjut dan untuk bergabung, kunjungi tautan berikut: https://binanas.malians.group/utama

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

30 Jan, 02:21


Maksud "cium isteri" di sini adalah mencium mulut dan bahagian muka isteri yang lain. Mengucup kepala tidak dikehendaki di sini. Begitu juga memegang dada isteri di khalayak umum termasuk dalam perkara menjatuhkan maruah. Demikian yang disebutkan oleh fuqaha Shafi'iyyah. Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj dengan hasyiah al-Sharwani; j. 10, h. 252.

Mengambil kesempatan ini, diingatkan bahawa amalan mencium tangan atau taqbil yad yang disyariatkan adalah dengan mulut atau bibir, bukan dengan hidung seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang hari ini. Itulah maksud taqbil yang sebenar.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

28 Jan, 15:23


Berhati-hatilah dengan bacaan, tontonanmu.

Imam al-Dhahabi menyebutkan tentang seorang murtad kurun ke-3H,

"Asalnya, dia orang cerdik yang kerap mendengar hujahan golongan Rafidah (syiah ekstreme) dan ateis.

Apabila ditegur, dia akan beralasan: "Aku hanya mahu mengetahui pendapat mereka."

Kemudian dia mula berdebat dengan mereka, saling membalas syubahat dan keraguan, [sehingga dia menjadi sama seperti mereka.]"

Pada akhir biografinya, al-Dhahabi berkata:

لَعَنَ اللهُ الذَّكَاءَ بِلاَ إِيْمَانٍ، وَرَضِيَ اللهُ عَنِ البَلاَدَةِ مَعَ التَّقْوَى.
"Allah melaknat cerdik tanpa iman, dan meredhai lembab yang bertaqwa."

Membaca cerita sebegini, menakutkan—kecerdasan bukan segala-galanya. Jika ia disertakan dengan taqwa dan iman, itulah yang terbaik. Jika tidak, maka bodoh lebih baik untuknya.

Musaddad Shaʿlami

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

22 Jan, 09:09


Di sisi pentaasub Imam Mālik, Imam al-Shāfi‘ī tidak sealim gurunya itu dan tidak layak untuk mempertikaikan pendapat-pendapatnya. Oleh sebab itu, kritikan-kritikan Imam al-Shāfi‘ī ke atas Imam Mālik meskipun secara beradab – antaranya dengan tidak menyebut nama – dianggap "kurang ajar" oleh mereka, walhal Imam Malik sendiri menyebut:

إنما أنا بشر، أخطئ وأصيب فانظروا في رأيي فكلما وافق الكتاب والسنة فخذوا به، وكلما لم يوافق الكتاب والسنة، فاتركوه.
"Aku hanyalah manusia, adakalanya silap dan adakalanya betul. Oleh itu, selidikilah pendapat aku. Sekiranya menepati al-Quran dan sunnah, ambillah. Jika tidak, tinggalkan."

Selembut mana pun bahasa yang digunakan tetap kasar bagi seorang pentaksub. Oleh itu, mereka mencela dan memusuhi Imam al-Shāfi‘ī. Tidak cukup dengan itu, berpuluh-puluh kitab ditulis mereka untuk menyerang Imam al-Shāfi‘ī. Ada antara mereka, seperti Ibnu al-Labbād (333 H) dalam al-Radd ‘alā al-Shāfi‘ī, sampai ke peringkat enggan mendoakan, menjahilkan, dan secara terang-terangan menuduh Imam al-Shāfi‘ī “menyelisihi al-Quran dan sunnah” dan “memutuskan hukum dengan pandangan akalnya”!

Namun, seteruk-teruk mereka pun masih bermaruah kerana mereka tidak sekadar menyebutkan kehebatan Imam Mālik dan menyerang Imam al-Shāfi‘ī, sebaliknya turut menjawab kritikan demi kritikan secara ilmiah. Demikian juga yang dilakukan oleh Imam al-Bayhaqī (458 H) tatkala membela Imam al-Shāfi‘ī dalam Bayān Khaṭa’ Man Akhṭa’a ‘alā al-Shāfi‘ī. Beliau tidak hanya menyebutkan manāqib dan pujian yang diberikan kepada sang imam, malah membalas kritikan dengan jawapan ilmiah.

Jadi, setegar mana pun keshāfi‘iyyahan anda, jika benar mahu mempertahankan Imam al-Shāfi‘ī dalam masalah takrifan ahli kitab, atau dalam masalah mana sekalipun, teladaanilah jalan ahli ilmu - jawab kritikan secara ilmiah. Sebutkan hujah-hujah yang menyokong pendapat Imam al-Shāfi‘ī dan kelemahan penghujahan jumhur ulama yang berpendapat sebaliknya. Semata-mata memuji-muji seorang ulama serta menghina, memperlekeh, dan mempertikaikan keilmuan orang lain tidak mendatangkan sebarang manfaat, bahkan itu tanda ketaasuban yang tidak berbelah bahagi.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

21 Jan, 11:23


Mungkin masih ramai yang menyangka qiraat yang kita gunakan pada hari ini adalah qiraat paling masyhur sejak zaman-berzaman. Lebih jauh daripada itu, sangkaan sesetengah pihak bahawa qiraat yang kita gunakan sahaja bertaraf yang mutawatir.

Sebetulnya riwayat Hafṣ daripada 'Āṣim adalah bacaan rasmi kerajaan 'Uthmāniyyah. Dengan peluasan pengaruh mereka, bacaan ini tersebar ke hampir seluruh negara Islam. Hanya kebanyakan negara di Afrika yang masih kekal dengan bacaan asal mereka seperti Libya dengan riwayat Qālūn daripada Nāfi' dan Somalia dengan riwayat Hafṣ al-Dūrī daripada Abu 'Amr.

Kepelbagaian qiraat dan riwayat ini boleh didapati dengan mudah dalam manuskrip-manuskrip kitab turāth kerana para ulama akan menulis ayat al-Quran berdasarkan bacaan masing-masing. Antaranya ialah kitab al-Risālah oleh Imam al-Shāfi‘ī. Beliau menukilkan ayat al-Quran mengikut bacaan penduduk Mekah yang sedikit sebanyak berbeza dengan qiraat Hafṣ daripada 'Āṣim, bahkan ada tempat yang tidak sama dengan semua qiraat sepuluh yang masyhur mahupun rasm ‘Uthmānī yang termaktub dalam mushaf kita hari ini.

Syeikh Aḥmad Shākir, pentahqiq terkenal yang mentahqiq kitab al-Riṣālah itu tidak dapat menerima apabila kalimah رُسُل dalam ayat 171 surah al-Nisā’ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ditulis dalam kitab tersebut dengan رَسُول menjadikannya فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ . Oleh kerana bacaan tersebut bercanggah dengan ejaan mushaf dan tidak ditemui dalam mana-mana qiraat yang masyhur mahupun syaz - seperti katanya - maka beliau memutuskan bahawa Imam al-Shāfi‘ī tersilap membaca ayat ini.

Jadi, Syeikh Aḥmad Shākir membetulkan teks ayat tersebut mengikut bacaan biasa. Tetapi, beliau tetap hairan bagaimana kesalahan ini tidak dikesan oleh begitu ramai ulama besar yang membaca, mendengar, dan menyalin kitab penting uṣūl fiqh itu. Beliau akhirnya menyalahkan ulama kerana kononnya bertaqlīd kepada Imam al-Shāfi‘ī dalam kesilapan ini.

Perkara ini telah dikaji oleh Maḥmūd b. Muḥammad b. Maḥfūz, seorang anggota forum dalam talian khusus untuk ilmu fiqh iaitu feqhweb.com. Menurutnya, Syeikh Aḥmad Shākir yang sebenarnya tersilap kerana bacaan yang tercatat dalam al-Risālah itu, walaupun tidak dinukilkan dalam mana-mana kitab masyhur ilmu qiraat, tercatat dalam mushaf Mekah yang merupakan salah satu mushaf yang dihantar oleh Saidina ‘Uthmān b. ‘Affān.

Perkara ini disebutkan oleh ahli ilmu rasm seperti Imam Abū Ḥātim al-Sijistānī (255 H) sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Abī Dāwūd al-Sijistānī (316 H) dalam Kitāb al-Maṣāḥif. Imam al-Shāfi‘ī berasal dari Mekah dan membesar di sana. Jadi, tidak peliklah jika beliau menukilkan ayat berkenaan sebagaimana yang tercatat dalam mushaf Mekah.

Dan sebenarnya, bacaan seperti itu ada dinukilkan dalam qiraat syaz iaitu qiraat Ibnu Munādhir seperti yang dicatat oleh al-Kirmānī, ulama kurun keenam Hijrah dalam Shawwādh al-Qirā'āt. Namun, seperti kata Imam Ibnu al-Jazarī (833 H), "beliau mempunyai ikhtiyār dalam qiraat yang menyalahi orang ramai."

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

20 Jan, 14:24


Rujukan untuk jawapan kepada soalan di atas.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

18 Jan, 11:09


Rukun waqf ada tiga bahagi? Memanggil jenis-jenis waqf pada hujung kalimah dengan istilah "rukun" turut dilakukan oleh penyusun Bidayah al-Sibyan dan puncanya masih misteri.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

17 Jan, 08:12


Kitab tulisan ulama Syiah Imamiyyah Ithna 'Ashariyyah yang ditahkik oleh pengkaji falsafah dan tasawwuf Universiti Kaherah, Dr. Muhammad Mustafa Hilmi (m. 1969) menghimpunkan bukti bahawa Ibnu Sina adalah seorang penganut Syiah Imamiyyah Ithna 'Ashariyyah, bukan seorang sunni, penganut Syiah Isma'iliyyah, atau selainnya.

Dalam buku ini pengarangnya, 'Ali b. Fadl Allah al-Jilani mengkritik ulama-ulama Syiah yang mengkafirkan Ibnu Sina dan mendakwa mereka terpengaruh dengan takfir yang dilakukan oleh Abu Hamid al-Ghazali.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

16 Jan, 10:24


Ini petikan salinan semula kitab Sabil al-Salam fi Sharh Hidayah al-'Awam tulisan Syeikh Wan Ahmad al-Fatani oleh Ustaz Wan Mohd Saghir.

Walaupun beliau menulis di akhir salinan, "Beberapa perkataan ataupun kalimat ada yang masih belum jelas, masih memerlukan pembetulan dan penyelidikan yang teliti dan rapi," kesilapan sebegini terlalu jelas untuk dimaafkan.

Mungkin kesilapan itu berlaku pada naskhah asal Sabil al-Salam, tetapi tiada sesiapa yang menghalang beliau (atau orang lain) menulis catatan khusus sekurang-kurangnya untuk meragukan ketepatan teksnya. (Untuk makluman, buku ini telah dicetak lebih tujuh kali!)

Walau bagaimanapun, ini adalah satu contoh kecacatan dalam khidmat yang dilakukan oleh orang pondok terhadap khazanah mereka sendiri, yang membuatkan saya terpanggil untuk terjun membantu, tapi atas nama ilmu dan memulihara serta memelihara turath Melayu-Islam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

14 Jan, 04:28


Saya amat mengalu-alukan sumbangan kitab lama yang ditulis atau diterbitkan sebelum tahun 1950 M dalam bahasa Melayu dalam apa juga genre dan bidang terutamanya yang sukar ditemui untuk dikhidmati dan membantu kerja-kerja penyelidikan.

Tuan puan yang mempunyai kitab yang memenuhi ciri-ciri yang disebutkan dipersilakan menghubungi saya melalui @msia92.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

13 Jan, 07:51


Alhamdulillah, selesai mengkhidmati kitab Bidayah al-Sibyan fi Tajwid al-Qur'an yang berusia 100 tahun.

Kitab ini merupakan silibus pengajian tajwid di Pahang, susunan Lebai 'Abd al-Rahman b. 'Abd Allah, Kadi Lipis dan rakan-rakan.

Ini adalah usaha tahkik kali ketiga daripada saya, selepas al-Irshad al-Shamil (الإرشاد الشامل) dalam bidang nahu dan Risalah yang Kecil dalam bidang tajwid.

Sekadar makluman, supaya tiada yang buat kerja dua kali. Entah bila, bagaimana, dan oleh siapa akan diterbitkan, kerana yang menjadi keutamaan saya buat masa sekarang adalah menyiapkan manuskrip tahkik.

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

10 Jan, 12:52


Saya terpaksa memadam jawapan Ketua Pegawai Zakat MAIK tadi atas permintaan beliau sendiri.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

08 Jan, 04:59


Bahaya liberalisme kepada sebuah negara. Kesannya boleh dilihat di negara seperti USA.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

06 Jan, 10:46


Penjelasan Ibnu Taymiyyah tentang pakaian hamba perempuan.

Kesimpulannya:

- Mereka berpakaian sopan
- Pakaian mereka lebih tertutup berbanding lelaki, cuma lebih terdedah berbanding wanita merdeka
- Pakaian mereka sesuai dengan keperluan, kedudukan, dan situasi mereka.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

06 Jan, 09:20


=

Setakat ini sahaja yang sempat saya tulis sekarang (maaf jika ada kesilapan fakta dalam menukilkan syubhat mereka kerana saya tidak mengikutinya dengan teliti). Niat asal saya menulis kali ini adalah untuk menyeru sahabat-sahabat seperjuangan untuk ikut bertempur di medan Twitter, pusat segala syubhat. Kedua, saya ingin menyatakan kepentingan mengkaji secara kritikal sesuatu perkara supaya kita berupaya memberikan jawapan jika ada syubhat mengenainya timbul.

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

06 Jan, 09:20


Baru-baru ini, bekas Mufti Wilayah diserang atas isu vasektomi (maaf saya tidak mengikuti isu ini secara terperinci, hanya mendengar penjelasan daripada Sdr. Muhammad Syawwal kelmarin) sampai ada yang menuduh mufti “gender bias” dan mencadangkan perempuan dilantik menjadi mufti.

Sekarang warga Twitter menimbulkan isu hamba perempuan tidak wajib atau dilarang bertudung. Isu ini kritikal sebab selama ini agamawan menekankan kewajipan bertudung dengan hikmah dan fungsinya sebagai penjaga kehormatan wanita dan menafsirkan ayat ذلك أدنى أن يعرفن فلا يؤذين secara salah sehingga terbentuk dalam fikiran umum bahawa pensyariatan tudung ditujukan kepada semua perempuan yang sudah baligh dan wanita-wanita Islam pada zaman Nabi SAW semuanya bertudung.

Dan apabila sesetengah daripada mereka merujuk kepada ayat jilbāb dan sejarah penurunannya, serta riwayat bahawa ‘Umar memukul hamba perempuan yang memakai tudung, dan mendapati bahawa fungsi asal jilbāb hanyalah sebagai kod pakaian untuk membezakan antara wanita merdeka dengan hamba, mereka terperanjat. Bukankah hamba sudah tidak wujud, jadi jilbāb sudah tidak relevan! Kata mereka.

Lagi parah kerana selama ini orang awam memahami bahawa apabila wanita wajib menutup aurat, ertinya mereka wajib memakai khimār atau jilbāb. Mereka juga faham bahawa menutup aurat itu hanya ada satu ragam dalam Islam, iaitu daripada ajnabi dan dengan menutup seluruh tubuh selain muka dan tapak tangan. Ini menimbulkan salah faham bahawa apabila jilbāb tidak wajib, menutup aurat juga tidak wajib; atau apabila tidak perlu bertudung, ertinya boleh berpakaian seksi.

Pendapat sebahagian fuqaha bahawa aurat hamba seperti aurat lelaki juga menambahkan kekusutan, kerana jika difahami secara literal, mereka boleh telajang dada. Di Twitter ada yang menulis, “Bukan ke hamba solat tetek terbuka ke?” Syubhat ini bukan terkena kepada orang awam sahaja, ustazah-ustazah sendiri ada yang menyusu di depan adik-beradik lelaki, kerana mengikut kitab fiqh, dada dan sebahagian perut bukan aurat. Syubhat semacam ini juga terkena Syeikh ‘Alī Jum‘ah, al-Qaraḍāwī, dan ramai ulama. Dalam masalah nyanyian, mereka berhujahkan hadis Rasulullah SAW mendengar nyanyian hamba perempuan untuk mengharuskan wanita merdeka menyanyi.

Berbalik kepada syubhat tudung tidak relevan kerana sistem hamba sudah terhapus, saya sudah lama memikirkan syubhat ini semasa menemui fakta ini ketika menulis Bersama Niqab, dan jawapannya adalah hukumnya kekal walaupun sebab atau ‘illah pensyariatannya yang asal sudah tidak ada.

Contohnya, qasar solat asalnya disyariatkan bagi orang yang bermusafir kerana wujudnya ancaman musuh ketika itu. Bahkan, hal ini dinyatakan secara jelas dalam al-Quran, وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu memendekkan sembahyang(mu), jika kamu takut diserang orang-orang kafir.” Adakah ini bermakna ketika aman, kita tidak boleh lagi menqasarkan solat? Sahabat sendiri pernah tertanya-tanya persoalan ini. Kata Ya‘lā b. Umayyah:

قُلتُ لِعُمَرَ بنِ الخَطَّابِ: {لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا} [النساء: 101]، فقَدْ أَمِنَ النَّاسُ! فَقالَ: عَجِبْتُ ممَّا عَجِبْتَ منه، فَسَأَلْتُ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ عن ذلكَ، فَقالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بهَا علَيْكُم، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ.
“Aku bertanya ‘Umar b. al-Khaṭṭāb, “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu memendekkan sembahyang(mu), jika kamu takut diserang orang-orang kafir” tetapi orang sudah merasa aman? Jawab ‘Umar, “Aku dulu pun terfikir seperti yang kamu fikir, lalu aku bertanya Rasulullah SAW tentangnya dan jawab baginda, “(Itu) sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kamu, maka terimalah sedekah-Nya.”

=

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

01 Jan, 08:21


Malam ini (1 Januari 2021), Syeikh Wazīr, tokoh pondok terkenal di Kelantan terkhilaf memahami pendapat orang-orang yang menolak kesunnahan serban, jubah, dan sebagainya dengan makna sunnah tashrī‘iyyah sebagai “mengatakan cara hidup Rasulullah mengikut cara hidup Arab jahiliah dan cara hidup Abu Jahal, Abu Lahab.” Lalu, mereka kononnya telah menghina baginda dan perlu mengucap semula. Beliau juga menggunakan ayat wa-mā yanṭiqu ‘an al-hawā dalam surah al-Najm untuk mengatakan semua yang dilakukan oleh baginda berdasarkan wahyu daripada Allah seterusnya melagakannya dengan pendapat serban dan sebagainya bukan sunnah.

Sebenarnya, asas pendapat serban bukan sunnah adalah kerana perbuatan-perbuatan baginda tidak semuanya dilakukan atas dasar agama atau dengan petunjuk wahyu. Ada perbuatan baginda yang bersifat khusus untuk baginda seperti berkahwin lebih daripada empat dan wiṣāl dalam puasa. Ada perbuatan baginda yang bersifat adat dan jibilliyyah seperti makan roti dan menunggang unta. Ada yang dilakukan oleh baginda kerana hajat dan keperluan semasa seperti ramal (berlari-lari anak) semasa tawaf dan turun ke al-Abṭaḥ semasa mengerjakan haji mengikut pendapat sebahagian sahabat. Kata isteri Rasulullah, ‘Ā’ishah RA dalam riwayat Muslim:

نُزُولُ الأَبْطَحِ لَيْسَ بِسُنَّةٍ إِنَّمَا نَزَلَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- لأَنَّهُ كَانَ أَسْمَحَ لِخُرُوجِهِ إِذَا خَرَجَ.
“Turun ke al-Abṭaḥ bukan sunnah. Rasulullah SAW turun ke situ kerana lebih mudah untuk keluar apabila baginda keluar.”

Kata Ibnu ‘Abbās, sepupu baginda SAW:

قَدْ رَمَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَيْسَ بِسُنَّةٍ.
“Rasulullah SAW melakukan ramal, tetapi ia bukan sunnah.”

Serban dan jubah termasuk dalam pakaian dan pakaian sebahagian daripada budaya. Selagi tiada dalil yang menjadikannya sebahagian daripada syariat – seperti khimār dan jilbāb bagi wanita – maka ia kekal sebagai pakaian yang dipakai oleh Rasulullah SAW sebagai satu adat. Walau bagaimanapun, jika seseorang memakai serban dan jubah atas dasar cinta kepada Rasulullah SAW, maka tiada yang menghalangnya. Sebahagian sahabat juga mengikuti Rasulullah dalam perkara-perkara seperti ini. Namun, jika sampai menuduh orang lain jahil dan tidak mengikuti sunnah – bahkan memutarbelitkan pendapat mereka sehingga mengkafirkan mereka – adalah zalim dan melampau.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

31 Dec, 09:42


Di Temasik, pelajar-pelajar perempuan yang berusia belasan tahun dipaksa menanggalkan tudung untuk belajar di sekolah kerajaan. Jika enggan, satu-satunya pilihan yang ada adalah belajar di sekolah agama yang calang-calang orang sahaja yang mampu memasukinya. Terlepas peluang belajar di sekolah agama bererti terpaksa melepaskan tudung.

Saya difahamkan, perjuangan untuk mempertahankan hijab di sekolah tidak mendapat sokongan majlis agama di sana. Mereka berpegang dengan prinsip bahawa pendidikan lebih penting daripada hijab. Dalam sebuah tulisan dilaporkan, “ahli politik PAP Muslim, mufti yang dilantik oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama tertinggi tetap menggesa gadis-gadis untuk kembali ke sekolah tanpa tudung.”

Semalam (tulisan ini ditulis pada 31 Disember 2020) dalam perjalanan pulang ke rumah, saya mendengar ucapan Syeikh ‘Uthmān al-Khamīs, ulama Kuwait. Beliau menukilkan fatwa Syeikh al-Qaraḍāwī yang membenarkan gadis Muslim di Barat menanggalkan tudung kerana ingin belajar di sekolah, kemudian mengkritiknya secara keras. Saya terkejut dan teringat cerita-cerita saudara kita di negara jiran. Jika warga Muslim di sana melepaskan tudung di pintu sekolah, maka itu sebiji seperti yang difatwakan oleh al-Qaraḍāwī. (Pagi ini saya mencari rakaman fatwa tersebut, dan benar itulah yang terpacul dari mulut beliau.)

Kaedah yang diguna pakai, “darurat mengharuskan perkara yang dilarang,” jadi gadis boleh membuang hijab kerana darurat belajar. Dan kerana “darurat diukur mengikut kadarnya,” jadi keharusan terhad di sekolah sahaja. Maka, di sekolah pelajar perempuan "free-hair", di luar pagar sekolah pula bertudung. Syeikh al-Khamīs membatilkan fatwa ini dan menempelak dengan mengatakan, “siapa yang mengatakan belajar di sekolah yang bercampur ini – atau mana-mana sekolah secara umum – darurat?” Kata syeikh, kita menerima jika belajar di sekolah dikatakan penting atau keperluan, tetapi kalau sampai ke tahap darurat itu melampau.

Sebelum ini saya mengingatkan bahaya fatwa-fatwa al-Qaraḍāwī tetapi ramai yang membela beliau. Seperti yang saya sebutkan, ini baru mukadimah. Banyak lagi kesilapan metodologi fiqh beliau yang memberi kesan kepada pengamalan syariat umat Islam di seluruh dunia akan ditemui selepas ini. Orang-orang yang mempertahankan beliau perlu bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala kerosakan yang berlaku.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

31 Dec, 07:15


Pembetulan: Soalan saya kepada pegawai MAIK bukan tentang pembayaran zakat, tetapi fidyah.

Soalan saya: "assalamualaikum ustaz nk tanya ado ore nk bayar fidyah ke tahfiz secara tunai, buleh ke x? saya takut salah di sisi undang2 atau hukum jah (Assalamualaikum, ustaz. Saya ingin bertanya, ada orang ingin membayar fidyah kepada tahfiz secara tunai, boleh atau tidak? Kerana saya cuma bimbang (ia) salah di sisi undang-undang atau hukum)."

Dan beliau menjawab begini: "Waalaikumussalam, diharuskan tapi lebih afdhal dibayar melalui amil2 yang dilantik atau terus dengan pusat zakat (MAIK)."

Jawapan ini salah, kerana tahfiz memang tidak layak menerima fidyah. Dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dijelaskan, "Duit fidyah hendaklah diberikan dan dibelanjakan kepada golongan yang disebutkan dalam nas sahaja iaitu terhad kepada golongan fakir dan miskin. Pemberian bagi tujuan pembinaan masjid adalah tidak sah dan dianggap sedekah secara umum sahaja." Jabatan Mufti Selangor pula mengatakan, "Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara dasarnya duit fidyah boleh dibelanjakan kepada golongan fakir dan miskin. Imam al-Nawawi menyatakan fidyah hanya diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya sahaja iaitu kalangan fakir dan miskin sahaja."

Berkenaan zakat pula, MAIK mengatakan "Zakat hanya boleh diagihkan kepada Individu Muslim yang merdeka sebagaimana disebut dalam kitab Al-Bughyah Al-Mustarsyidin" sebagaimana nasnya “Tidak berhak masjid sesuatu daripada zakat, kerana zakat itu tidak harus diagihkan padanya kecuali kepada seorang individu muslim yang merdeka" (Rujuk Al-Bughyah Al-Mustarsyidin m/s 106)."

Kesimpulannya, tahfiz tidak layak untuk menerima bayaran fidyah atau zakat dan jawapan pegawai MAIK tadi tidak tepat. Barangkali beliau tersilap faham soalan. Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

30 Dec, 13:36


Banyak kesalahan yang dilakukan oleh saudara-saudara semanhaj yang kita tahu dan akui tetapi kita biarkan dan diamkan.

Kemudian, apabila orang lain memberikan teguran dan kritikan, kita terasa dan mulalah menyerang balas seolah-olah mereka menyerang manhaj - walhal mereka hanya menyerang satu kelompok yang ber-intima' kepada manhaj yang sama.

Oleh itu, untuk mengelakkan situasi itu berlaku, walaupun sentiasa akan berlaku, tegurlah kesalahan rakan-rakan sebelum orang lain yang menegur.

Pesanan khidmat masyarakat ini terpakai untuk semua aliran, termasuk Salafi, (dan untuk semua orang, termasuk saya sendiri).

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

28 Dec, 09:52


Ibnu Hani' dalam Masa'il-nya; j. 1, h. 114 berkata:

Aku bertanya Abu 'Abd Allah (Imam Ahmad) tentang zakat: Di manakah tempat wajibnya bagi seorang yang bermusafir?

Jawabnya, "Jika wajib ketika di Mekah, ia memberi makan (mengeluarkan zakat) di Mekah."

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

27 Dec, 23:49


Memindahkan Zakat ke Tempat Lain: Catatan Imam Abū ‘Ubayd (224 H) |

“Ulama-ulama pada hari ini sepakat berpegang dengan riwayat-riwayat athar ini bahawa penduduk mana-mana wilayah tanah atau perairan lebih berhak dengan zakat mereka, selama mana wujud antara mereka satu atau lebih orang yang memerlukan, meskipun jika yang demikian itu menghabiskan seluruh zakat mereka, hingga pengumpul zakat kembali tanpa membawa apa-apa lagi.”

[Kitāb al-Amwāl (1409 H); Muḥammad ‘Imārah (ed); Beirut dan Kaherah: Dār al-Shurūq; h. 706]

Sebagai tambahan, kata Dr. Muḥammad ‘Abd al-Raḥīm Sulṭān al-‘Ulamā’ dalam kajiannya, Naql al-Zakaḥ Khārij Mawḍi‘ Wujūbi-hā li-Sadd Ḥājāt al-Muslimīn (2008); Dubai: Dā’irah al-Shu‘ūn al-Islāmiyyah wa-al-‘Amal al-Khayrī; h. 11 mengenai tentang amalan mendahulukan asnaf tempatan dalam pengagihan zakat:

"Dan di atas manhaj yang digariskan oleh Rasul SAW dan para khulāfā’ rāshidīn inilah berjalannya imam-imam adil daripada para penguasa dan imam-imam fatwa daripada fuqaha sahabat dan tabiin.”

Maka, inilah manhaj salaf.

https://www.facebook.com/photo/?fbid=900413058918743&set=a.495474022745984

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

27 Dec, 11:08


Ibnu Sa‘d (230 H) meriwayatkan dalam al-Ṭabaqāt al-Kubrā secara ikhbār daripada Muslim b. Ibrāhīm yang meriwayatkan secara taḥdīth daripada Ḥazm yang meriwayatkan secara taḥdīth daripada Hilāl b. Khabbāb bahawa katanya:

لَقِيتُ سَعِيدَ بْنَ جُبَيْرٍ بِمَكَّةَ، فَقُلْتُ: مِنْ أَيْنَ هَلاَكُ النَّاسِ؟ قَالَ: مِنْ قِبَلِ عُلَمَائِهِمْ.
“Aku bertemu dengan Sa‘īd b. Jubayr di Mekah. Aku lantas bertanya, ‘Daripada manakah rosaknya manusia?’ Jawabnya, ‘Daripada pihak ulama-ulama mereka.’.”

Sanadnya jayyid. Diriwayatkan juga daripada tiga jalan lain daripada Hilāl b. Khabbāb. Athar ini dilemahkan oleh sesetengah pengkaji kerana ikhṭilāṭ Hilāl, tetapi ta‘līl ini boleh ditolak kerana ikhṭilāṭ beliau ketika hampir meninggal dunia. Selain itu, terdapat empat orang berlainan mengambil riwayat ini daripada beliau, dan hanya ada kemungkinan kecil kesemua mereka hanya menerimanya selepas ikhṭilāṭ.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

27 Dec, 01:37


=

Ibnu Taymiyyah menukilkan nas yang penting dalam masalah ini daripada Imam Mālik. Katanya:

وسئل مالك عن رجل نذر أن يأتي قبر النبي صلى الله عليه وسلم، فقال مالك: ‹إن كان أراد القبر فلا يأته، وإن أراد المسجد فليأته›، ثم ذكر الحديث ‹لا تُشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد› ذكره القاضي إسماعيل في مبسوطه).
“Mālik ditanya tentang lelaki yang bernazar untuk pergi ke makam Nabi SAW, lalu menjawab, ‘Jika ia mengehendaki kubur maka dia tidak boleh pergi, tetapi jika mengehendaki masjid maka hendaklah dia mendatanginya.’ Kemudian menyebut hadis ‘Tidak boleh shadd al-riḥāl melainkan ke tiga masjid.’ Kadi Ismā‘īl menyebutnya dalam Mabsūṭnya.”

Kitab al-Mabsūṭ ini tidak ditemui untuk disahkan. Walau bagaimanapun, nas yang semakna dinukilkan daripada Imam Mālik dalam al-Mudawwanah:

وقال مالك: من قال: لله علي أن آتي المدينة أو بيت المقدس. أو المشي إلى المدينة أو المشي إلى بيت المقدس. فلا شيء عليه إلا أن يكون نوى بقوله ذلك أن يصلي في مسجد المدينة أو مسجد بيت المقدس.
“Kata Mālik, ‘Sesiapa mengatakan, menjadi hak Allah terhadapku untuk pergi ke Madinah atau Baitul Maqdis’ atau ‘berjalan ke Madinah atau Baitul Maqdis’ maka dia tidak wajib melakukan apa-apa kecuali jika dia berniat dengan kata-katanya itu untuk bersolat di masjid Madinah atau masjid Baitul Maqdis.”

Juga tidak menyebut kubur, namun jelas bahawa Imam Mālik memaksudkan seluruh Madinah tidak disyariatkan untuk dituju kecuali Masjid Nabawī, dan pastinya ini termasuk makam Rasulullah SAW yang menjadi tempat ziarah paling utama di sana selepas Masjid Nabawī. Cuma, adakah tidak disyariatkan bermaksud dilarang? Besar kemungkinan ya, kerana ia merupakan amalan yang dianggap qurbah; dan amalan-amalan semacam ini di sisi beliau, apabila tidak disyariatkan ertinya ia bidaah dan dilarang.

Di sana terdapat nukilan oleh Imam al-Ghazālī dalam Iḥyā ‘Ulūm al-Dīn daripada sebahagian ulama yang tidak disebutkan namanya bahawa mereka melarang shadd al-riḥāl ke kubur. Katanya:

وقد ذهب بعض العلماء إلى الاستدلال بهذا الحديث في المنع من الرحلة لزيارة المشاهد وقبور العلماء والصلحاء...
“Dan sebahagian ulama berdalilkan hadis ini untuk melarang permusafiran untuk menziarahi makam dan kubur ulama dan orang-orang soleh...”

Mungkin yang dimaksudkan oleh beliau ialah Abū Muḥammad al-Juwaynī tadi kerana ibarat “sebahagian ulama” dalam kalam ulama sering digunakan untuk merujuk walau seorang ulama.

Jadi, disimpulkan setakat ini bahawa sebelum Ibnu Taymiyyah, terdapat ramai ulama yang menolak pensyariatan amalan bermusafir semata-mata untuk menziarahi kubur. Sebahagiannya difahami jelas menolaknya – termasuk makam Rasulullah SAW – seperti Imam Mālik, dan sebahagian pula dikatakan menolak malah melarangnya tetapi tidak boleh dijazamkan seperti Abū Muḥammad al-Juwaynī. Ada penisbahan yang tidak dapat disahkan seperti kepada Kadi Ḥusayn dan ada yang silap iaitu penisbahan kepada Imām al-Ḥaramayn.

Dan satu lagi ulama yang bukan sahaja tidak mensyariatkan, malah menghukum bermusafir untuk menziarahi kubur sebagai bidaah, yang datang lama sebelum Ibnu Taymiyyah iaitu Ibnu Baṭṭah al-‘Ukbarī yang meninggal pada 387 H iaitu dalam kitabnya, al-Ibānah al-Ṣughrā dan nasnya:

ومن البدع البناء على القبور وتجصيصها وشد الرحال إلى زيارتها.
“Dan termasuk bidaah juga ialah membuat binaan di atas kubur dan mengapurnya dan shadd al-riḥāl untuk menziarahinya.”

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

02 Dec, 03:01


=

Saya, dengan tulus hati tanpa secebis pun kepentingan peribadi, menasihatkan wanita agar memilih orang aliran biasa yang minat kepada ilmu dan mengamalkannya. Tidak perlu ustaz. Yang penting, minat dan lebih mustahak, beramal dengan ilmu. Dengan cara ini, kalian boleh belajar dan beramal bersama-sama. Pada masa yang sama, kalian tidak tahu aib ustaz-ustaz yang boleh membuat kalian jauh daripada agama.

(Tapi, jika kalian tega memilih ustaz, maka bersiap siagalah dengan risiko yang akan dihadapi. Dan tolong, jika ada sesuatu yang buruk berlaku, jangan salahkan kami kerana saya sudah memperingatkan mewakili ustaz-ustaz. Sekian.

Sebenarnya, ini tulisan tahun 2000 dengan sedikit suntingan yang disiarkan semula kerana kepentingannya. Terima kasih kerana membaca dan maka dengan ini, saya sudah menyampaikan, sekali lagi, saya sudah menyampaikan.)

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

02 Dec, 03:01


Saya antara orang yang anti kepada program Pencetus Ummah, Imam Muda, dan Da’i. Saya tidak pernah menontonnya kecuali jika kebetulan dipasang oleh orang lain, dan itupun dengan rasa benci dan geram, sampai ke peringkat saya hanya mengetahui bahawa seorang peserta adalah rakan kami di Mu’tah setelah menonton rancangan tersebut di sebuah restoran.

Tetapi, kerana rancangan yang saya benci dan peserta-peserta yang kebanyakannya saya tidak pernah kenal melainkan setelah tercetus isu kontroversi dan sensasi seperti yang kerap kedengaran sekarang itulah, orang-orang yang dipanggil “ustaz” – termasuk saya, walaupun saya dari dulu lagi enggan dipanggil “ustaz” – terkena tempias. Sampai ada orang mengatakan, tidak pernah ada kes peserta Akademi Fantasia merogol anak orang, tiada lagi kes artis Mentor menceraikan isteri kerana mendapat “aura”.

Seperti wanita yang sensitif apabila saya menyentuh isu rumah tangga dan kakitangan awam yang tidak berpuas hati apabila saya memperkatakan masalah integriti, saya berhak terasa dan terguris dengan ungkapan-ungkapan seperti itu. Tetapi, saya tidak ingin membela diri dan perasan suci, sebaliknya supaya perkara ini tidak berulang saya memberikan cadangan dan nasihat kepada wanita secara khusus dan masyarakat secara umum agar:

Pertama, jangan memberikan harapan terlalu tinggi kepada ustaz. Mereka juga manusia biasa yang diuji dengan pelbagai perkara. Jangan kerana mereka belajar agama, menghafal al-Quran, dan kelihatan warak, kita anggap mereka sempurna.

Untuk pengetahuan semua, kebanyakan pelajar agama yang kemudiannya digelar ustaz sebenarnya dipaksa oleh ibu bapa. Mereka bekerja sebagai ustaz pun kerana kelulusan mereka dalam pengajian Islam. Hati dan jiwa mereka bukan hati dan jiwa seorang pencinta dan pengamal ilmu.

Kedua, hati-hati dengan ustaz sebagaimana kita patut berhati-hati dengan orang lain. Khalwat dan ikhṭilāṭ haram hatta dengan ustaz. Alasan “Saya ingat ustaz tahu batas halal haram” tidak terpakai di sisi Allah. Berapa ramai yang belajar al-Quran secara berdepan, sedangkan ulama mewajibkan memakai tirai kecuali jika terpaksa. Berapa ramai ustazah cantik berdakwah dan bernasyid di depan lelaki, sedangkan ramai ulama mengingatkan keharamannya. Dalam Ḥilyah al-Awliyā’, ‘Umar b. ‘Abd al-‘Azīz diriwayatkan berkata kepada Maymūn b. Mihrān (atau sebaliknya):

إِيَّاكَ أَنْ تَخْلُوَ بِامْرَأَةٍ غَيْرِ ذَاتِ مَحْرَمٍ، وَإِنْ حَدَّثَتْكَ نَفْسُكَ أَنْ تُعَلِّمَهَا الْقُرْآنَ
“Jangan berkhalwat dengan perempuan bukan mahram, walaupun engkau berniat mengajarnya al-Quran.”

Ketiga, kerana ramai ustaz “tak boleh pakai” maka berusahalah belajar agama sampai mampu menggantikan tempat ustaz-ustaz itu. Kemudian, kita tengok sejauh mana kita yang menghina ustaz mampu bertahan dengan segala godaan dan cobaan itu. Kita mungkin seronok menghina orang kerana kita berada di luar situasi.

Saya bukan mutawwif dan tidak berminat menjadi mutawwif, tetapi rakan-rakan mutawwif menceritakan kedahsyatan ujian wanita yang dihadapi mereka. Ada jemaah wanita yang menggoda, memberikan hadiah dengan kata-kata romantik, dan menghantar isyarat supaya dilamar. Ada juga jemaah wanita yang masih bersuami bertanyakan perkara-perkara yang sulit. Mendengar cerita itu, saya faham ujian yang dihadapi mereka dan makin tidak berminat menjadi mutawwif.

Keempat, elakkan berkahwin dengan ustaz. Saya tahu, ramai wanita yang solehah atau ingin berhijrah mencari ustaz sebagai pasangan kononnya ingin dididik dan diajar oleh suami yang alim. Tetapi, dalam banyak keadaan, ia tidak menjadi begitu.

Sedia maklum bahawa kita mula mengenal aib pasangan hanya setelah berkahwin. Ustaz pun begitu. Aibnya diketahui setelah menjadi suami. Mengetahui aib guru sudah pasti menjejaskan rasa hormat kita kepadanya. Demikian juga ustaz. Niat asalnya ingin menjadikannya suami merangkap guru dan pendidik, tetapi berakhir dengan rasa benci dan sangka buruk kepada ustaz-ustaz.

=

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

02 Dec, 02:33


Ini manhaj kami. Adapun yang sengaja memfitnah musuh, meskipun memakai gelaran Salafi, dan mengatakan apa yang tidak dikatakan oleh mereka hakikatnya menyelisihi manhaj Salafi.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

01 Dec, 16:15


Haha.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

30 Nov, 03:19


Asha'irah masa kini teruja kerana Imam Ibnu Abi Zayd memuji dan membela Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari dan Ibnu Kullab; sedangkan Abu al-Hasan yang dipuji oleh beliau adalah Abu al-Hasan versi al-Ibanah, bukan versi al-'Aqidah al-Murshidah, Ummu al-Barahin, atau Faridah al-Fara'id.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

30 Nov, 01:46


Beberapa perkara penting yang perlu dijelaskan tentang bacaan al-Quran untuk atau sempena si mati:

1. Tentang sampai atau tidak pahala kepada si mati, seperti yang dikatakan oleh Imam Ibnu al-Ṣalāḥ dalam fatwanya yang memilih pendapat sampai, وَلَيْسَ الِاخْتِلَاف فِي هَذِه الْمَسْأَلَة كالاختلاف فِي الْأُصُول بل هِيَ من مسَائِل الْفُرُوع, “khilaf dalam masalah ini bukan seperti khilaf dalam masalah usul (pokok), bahkan ia termasuk dalam masalah furuk (cabang).”

2. Pendapat yang sahih daripada Imam al-Shāfi‘ī dan yang dipegang oleh sebilangan aṣḥāb seperti al-‘Imrānī dan ‘Izz al-Dīn ‘Abd al-Salām ialah tidak sampai. Walau bagaimanapun, yang dimuktamadkan oleh aṣḥāb dan dipertahankan oleh mereka ialah sampai. Ini termasuk sejumlah pendapat imam mazhab yang ditolak oleh orang-orang yang mendakwa bertaqlīd kepada mujtahid mutlaq mereka dalam keadaan sedar dan sengaja.

3. Imam ‘Izz al-Dīn ‘Abd al-Salām secara tegas menolak pendapat yang mengatakan sampai. Katanya:

وأما ثواب القراءة فمقصور على القارئ لا يصل إلى غيره لقوله تعالى: (وأن ليس للإنسان إلإ ما سعى)، وقوله: (لها ما كسبت وعليها ما اكتبست) وقوله عليه السلام (من قرأ القرآن وأعربه فله بكل حرف عشر حسنات) فجعل أجر الحروف وأجر الاكتساب لفاعليها، فمن جعلها لغيرها (؟) فقد خالف ظاهر الآية والحديث بغير دليل شرعي، ومن جعل ثواب القراءة للميت فقد خالف قوله تعالى: (وأن ليس للإنسان إلا ما سعى)، فإن القراءة ليست من سعي الميت، ولذلك جعل الله العمل الصالح لعامليه بقوله: (من عمل صالحًا فلنفسه)، فمن جعل شيئًا من الأعمال لغير العاملين فقد خالف الخبر الصادق، والعجب أن من الناس من يثبت ذلك بالمنامات، وليس المنامات من الحجج الشرعية الذي تثبت بها الأحكام، ولعل ذلك الرأي من تخبيط الشيطان وتزينه، ولا يجوز إهداء شيء من القرآن والعبادات، إذ ليس لنا أن نتصرف في ثواب الأعمال بالهبات كما نتصرف في الأموال بالتبرعات...
“Adapun pahala membaca hanya terbatas kepada orang yang membacanya dan tidak sampai kepada orang lain, karena firman Allah taala: 'Dan manusia tidak memperoleh kecuali apa yang diusahakannya,' dan firman-Nya, 'Baginya balasan baik untuk kebaikan yang diusahakannya, dan baginya balasan buruk untuk keburukan yang dilakukannya),' dan sabda baginda AS, 'Sesiapa yang membaca al-Quran dan menekuninya (mentadabburinya?), maka baginya sepuluh kebaikan untuk setiap huruf,' maka dia menjadikan pahala huruf dan pahala berusaha untuk orang yang melakukannya. Maka, barangsiapa yang menjadikannya untuk selain mereka, mereka telah menyalahi makna zahir dari ayat dan hadis tanpa dalil yang sah, dan barangsiapa yang menjadikan pahala membaca untuk orang yang telah mati maka dia telah melanggar firman Allah taala, 'Dan bahawa manusia itu tidak mempunyai apa-apa melainkan apa yang diusahakannya,' kerana membaca itu bukanlah sebahagian daripada usaha orang mati, dan kerana itu Allah menjadikan kebaikan bagi orang-orang yang mengerjakannya dengan firman-Nya, 'Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, ia adalah untuk dirinya sendiri,' maka sesiapa yang menyerahkan satu amalan kepada orang yang tidak melakukan maka ia telah menyalahi khabar yang benar. Peliknya ada orang yang membuktikannya dengan mimpi, dan mimpi bukanlah antara hujah yang sah yang boleh disabitkan hukum dengannya. Mungkin mimpi itu adalah dari tipu daya dan perhiasan syaitan. Dan tidak boleh, menghadiahkan sesuatu dari al-Quran dan ibadah kerana kita tidak berhak untuk memperlakukan pahala amalan dengan menjadikannya hadiah seperti kita memperlakukan harta dengan menjadikannya derma...”

4. Pendapat Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim, dan sebahagian ulama Salafī termasuk Syeikh al-‘Uthaymīn adalah sampai. Walau bagaimanapun, mereka mengakui bahawa menghadiahkan pahala bacaan al-Quran bukan amalan salaf. Kata Ibnu Taymiyyah selepas menjelaskan khilaf dalam masalah ini:

=

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

30 Nov, 01:46


=

وَمَعَ هَذَا لَمْ يَكُنْ مِنْ عَادَةِ السَّلَفِ إذَا صَلَّوْا تَطَوُّعًا، وَصَامُوا، وَحَجُّوا، أَوْ قَرَءُوا الْقُرْآنَ يَهْدُونَ ثَوَابَ ذَلِكَ لِمَوْتَاهُمْ الْمُسْلِمِينَ، وَلَا لِخُصُوصِهِمْ، بَلْ كَانَ عَادَتُهُمْ كَمَا تَقَدَّمَ، فَلَا يَنْبَغِي لِلنَّاسِ أَنْ يَعْدِلُوا عَنْ طَرِيقِ السَّلَفِ، فَإِنَّهُ أَفْضَلُ وَأَكْمَلُ. وَاَللَّهُ أَعْلَمُ.
“Walaupun demikian, bukanlah kebiasaan salaf apabila solat sunat, berpuasa, menunaikan haji, atau membaca al-Quran, mereka menghadiahkan pahala itu kepada orang Islam mereka yang telah mati, tidak juga kepada orang-orang tertentu dalam kalangan mereka, sebaliknya kebiasaan mereka, seperti yang disebutkan tadi, maka manusia tidak sepatutnya melencong daripada jalan salaf, kerana itu lebih baik dan lebih lengkap. Wallahualam.”

Maksudnya, mereka mengharuskan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati, tetapi dengan syarat tidak menjadikannya kebiasaan. Demikian yang difahami dan dipegang oleh Syeikh al-‘Uthaymīn. Ketika mengkritik tulisan yang mendakwa Ibnu Taymiyyah membidaahkan amalan menghadiahkan pahala kepada si mati, beliau mengatakan:

وإنما معناه ان المتطوع بما ذكر يعتاد جعل ثوابه لغيره فإن هذا بلا شك بدعة أما فعله أحياناً فليس بدعة ولا يدل عليه كلام الشيخ هذا…
“Maknanya ialah bahawa orang yang melakukan amalan-amalan yang disebutkan sentiasa menghadiahkan pahalanya kepada orang lain, maka ini tidak syak bidaah. Adapun melakukannya sekali-sekali maka tidak bidaah dan kalam syeikh tidak menunjukkan begitu...”

Syeikh Ibnu Bāz tidak secara sarih membidaahkannya, meskipun tiada dalil dan tidak wārid daripada Nabi SAW dan para sahabat, cuma mengatakannya lebih utama tidak dilakukan.

5. Yang mengharuskan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati tidak semestinya mengharuskan mengadakan majlis khas seperti majlis tahlil dan bacaan Yāsīn yang biasa diamalkan sekarang. Dua perkara ini berbeza dan tiada talāzum antara satu sama lain. Seperti tadi, yang mengatakan sampai tidak semestinya mengharuskan menjadikan amalan menghadiahkan pahala itu suatu kelaziman. Tambahan pula, melakukan sesuatu amalan secara berjemaah, lagi-lagi sempena kematian (dan biasanya di rumah si mati, pada hari-hari terawal selepas kematian, dan melibatkan makan-makan pula), mempunyai hukum khusus. Ia amat mirip dengan yang dimaksudkan oleh Jarīr b. ‘Abd Allāh dalam katanya:

كُنَّا نَعُدُّ الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنَ النِّيَاحَةِ.
“Dulunya kami menganggap berhimpun ke rumah si mati dan mengadakan jamuan selepas mengebumikannya termasuk dalam ratapan."

... Dan Imam al-Shāfi‘ī dalam kata-katanya:

وَأَكْرَهُ الْمَأْتَمَ، وَهِيَ الْجَمَاعَةُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ بُكَاءٌ فَإِنَّ ذَلِكَ يُجَدِّدُ الْحُزْنَ، وَيُكَلِّفُ الْمُؤْنَةَ مَعَ مَا مَضَى فِيهِ مِنْ الْأَثَرِ.
“Aku membenci ma’tam, iaitu perhimpunan, meskipun mereka tidak menangis, kerana yang demikian itu memperbaharui kesedihan dan memakan perbelanjaan di samping athar yang telah lalu.”

Walau bagaimanapun, daripada kata-kata Ibnu Qudāmah, didapati bahawa bacaan al-Quran secara berjemaah untuk si mati sudah menjadi amalan sedari dulu. Katanya:

... فَإِنَّهُمْ فِي كُلِّ عَصْرٍ وَمِصْرٍ يَجْتَمِعُونَ وَيَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ، وَيُهْدُونَ ثَوَابَهُ إلَى مَوْتَاهُمْ مِنْ غَيْرِ نَكِيرٍ.
“... Kerana mereka pada setiap masa dan tempat berhimpun, membaca al-Quran, dan menghadiahkan pahala kepada orang-orang mati dalam kalangan mereka tanpa sebarang bantahan.”

6. Lagi, yang mengharuskan tidak semestinya membolehkan mengambil atau memberi upah untuk membaca al-Quran dengan niat ini. Ibnu Taymiyyah, misalnya, mengharuskan tetapi dengan syarat dilakukan suka rela dan tidak melibatkan upah. Syeikh al-Birkiwī, ulama Turki zaman Uthmāniyyah membantah amalan membaca al-Quran dengan upah secara panjang lebar dalam Inqādh al-Hālikīn.

=

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

30 Nov, 01:46


=

7. Masalah menghadiahkan pahala kepada si mati berbeza dengan masalah membaca al-Quran di sisi mati atau di kubur. Imam al-Shāfi‘ī, misalnya, mengatakan tidak sampai, tetapi menggalakkan membaca al-Quran di kubur. Bagi mereka, si mati seperti orang yang masih hidup mendengar al-Quran, ia tidak mendapat pahala tetapi diharapkan mendapat berkat dan rahmat daripada bacaan tersebut. Begitu juga Ibnu Taymiyyah menolak amalan membaca al-Quran di kubur (selain ketika pengebumian), walaupun beliau berpendapat harus menghadiahkan pahala.

Kesimpulannya, sampai atau tidak sampai, harus atau tidak harus semuanya khilaf, tetapi yang pasti dan disepakati, amalan menghadiahkan bacaan al-Quran, lebih-lebih lagi secara berjemaah dan pada waktu-waktu tertentu seperti yang teradat pada hari ini tidak pernah dinukilkan daripada Rasulullah, sahabat, dan salaf.

Kata Syeikh Ibrāhīm al-Laqqānī:

فَكُلُّ خَيْرٍ فِي اتِّبَاعِ مَنْ سَلَف ... وَكُلُّ شَرٍ في ابْتـدَاعِ مِـنْ خَلَـفْ
“Maka, setiap kebaikan adalah pada mengikuti yang telah lalu, dan setiap keburukan adalah pada mengada-adakan oleh orang yang datang sesudah (mereka).”

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

26 Nov, 08:50


Sahabat saya tiba-tiba menghantar mesej di Whatsapp bertanya tentang teks yang dipetik oleh rakan semanhaj kami daripada sebuah kitab tarekat yang kononnya menunjukkan penulisnya membolehkan atau menggalakkan amalan sujud kepada guru, adakah kefahaman ini benar?

Sejujurnya, kami tidak nampak begitu. Zahirnya maksud penulis, guru itu seperti Kaabah yang merupakan semacam wasilah, bukan tujuan dan matlamat sebenar. Jadi, tanpa menafikan atau mengeyakan amalan bersujud kepada guru dibenarkan atau digalakkan oleh penulis secara khusus dan tarekatnya secara umum, dakwaan bahawa penulis membolehkan amalan tersebut berdasarkan petikan tersebut tidak lain tidak bukan hanyalah silap faham ibarat kitab.

Saya menghargai kesungguhan pihak yang menularkan petikan tersebut, dan percaya bahawa mereka berniat mulia - ingin membela manhaj sunnah daripada bidaah dan kesesatan yang dibawa oleh sebahagian besar pengikut tarekat. Tapi, ini seperti kata-kata yang dinukilkan oleh Ibnu al-Qayyim semasa mengulas dakwaan sebahagian umat Islam yang baginya tidak tepat berkaitan nama Nabi Muhammad SAW dalam kitab Injil:

يضر الصديق الجاهل أكثر مما يضر العدو العاقل.
"Mudarat yang berpunca daripada sahabat yang jahil lebih teruk daripada mudarat yang berpunca daripada musuh yang bijak."

Saya menulis ini kerana amanah ilmu, dan sebagai bukti bahawa Salafi tidak sesekali membenarkan fitnah dan kezaliman biarpun oleh rakan sendiri dan terhadap musuh sekalipun.

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

22 Nov, 00:45


Terdapat banyak kitab khusus mengenai selawat. Antara yang terkenal ialah Jilā’ al-Afhām oleh Ibnu al-Qayyim, al-Qawl al-Badī‘ oleh al-Sakhāwī, dan al-Durr al-Manḍūd oleh Ibnu Ḥajar al-Haytamī. Tetapi, antara ratusan malah ribuan kitab tersebut, yang manakah paling awal ditulis? Jawapannya secara tidak pasti ialah Faḍl al-Ṣālāh ‘alā al-Nabī oleh Kadi Ismā‘īl b. Isḥāq (m. 282 H) yang seperingkat dengan Imam al-Bukhārī (m. 256 H), tetapi lahir lebih awal dan meninggal lebih lewat daripadanya. Di sana ada kitab yang semakna, Kitāb al-Ṣalāh ‘alā al-Nabī oleh Ibnu Abī ‘Āṣim (m. 287 H), namun tidak pasti manakah yang ditulis lebih dahulu.

Kedua-duanya boleh dipanggil juz’ mengikut adat muḥaddithīn dan berisikan riwayat-riwayat hadis dan athar mengenai selawat lengkap bersanad, cuma yang dikarang oleh Ibnu Abī ‘Āṣim riwayat-riwayatnya diletakkan tajuk atau tarājim, manakala yang Kadi Ismā‘īl tidak. Karya Kadi Ismā‘īl ini ditemukan oleh Syeikh al-Albānī di Perpustakaan Ẓahiriyyah, Damsyik, tempatnya bergelumang dengan khazanah kitab dan manuskrip. Ketika berada di Madinah, beliau menyebutkan kitab ini kepada Syeikh Ibnu Bāz rahimahullah. Syeikh Ibnu Bāz berminat tetapi bimbang terdapat riwayat-riwayat palsu dan cerita-cerita khurafat dalam juz’ tersebut. Syeikh al-Albānī menjelaskan, seingat beliau semua itu tiada. Syeikh Ibnu Bāz lalu meminta Syeikh al-Albānī menyemak semula kitab tersebut untuk kepastian, dan jika betul seperti yang disangka, beliau meminta Syeikh al-Albānī mentakhrīj hadis-hadis tersebut secara ringkas dan mencetaknya dengan biaya yang ditanggung olehnya.

Permintaan Syeikh Ibnu Bāz dikotakan oleh Syeikh al-Albānī raḥima-humā Allāh dan kitab yang sepengetahuan Syeikh al-Albānī adalah kitab tentang selawat yang paling sahih itu ditaḥqīq dan dicetak dalam tempoh tiga tahun atau kurang. Dalam mukadimah, Syeikh al-Albānī menyelitkan pesanan berharga:

“Akhir sekali, wasiat saya kepada saudara, wahai Muslim, supaya membaca kitab ini dan mengamalkan hadis-hadis yang sabit daripada baginda di dalamnya agar saudara memperoleh kehidupan yang baik dan berbahagia di dunia dan akhirat: antaranya:

Saudara membanyakkan selawat ke atas baginda ṣalla Allāh ‘alay-hi wa-sallam pada setiap ketika, kerana dengannya saudara mendapat selawat (rahmat) di sisi Allah, diangkat darjat, pahala saudara bertambah, dosa saudara diampunkan, dan mencukupkan saudara daripada kebimbangan dunia dan akhirat.

Berselawatlah di mana sahaja saudara berada, kerana salam saudara akan sampai kepada baginda, meskipun baginda tidak mendengarnya, kerana Allah mempunyai para malaikat sayyāḥūn (yang berjalan ke sana ke sini) yang akan menyampaikan salam orang-orang yang mengucapkan kepada baginda sebagai suatu keistimewaan yang dikhususkan oleh Tuhan kita tabāraka wa-ta‘ālā yang tidak diberikan kepada makhluk selainnya.

Khususkan hari Jumaat untuk memperbanyak selawat kerana selawat itu akan dibentangkan kepada baginda sedang baginda berada dalam makamnya yang jasad baginda yang mulia tidak dimamah bumi, kerana Allah mengharamkan bumi daripada memamah jasad para nabi.

Berselawatlah ke atas baginda dalam bentuk yang paling khusus dan mantap setiap kali baginda disebut, kerana jika tidak, saudara adalah si bakhil di sisi baginda, walaupun saudara dalam urusan harta lebih pemurah daripada Ḥātim Ṭayy.

Janganlah sesekali saudara lupa untuk berselawat yang membuatkan saudara melencong daripada jalan ke syurga.

Mintalah wasīlah daripada Allah kepada baginda yang merupakan darjat yang tertinggi di syurga yang dengannya saudara akan mendapat syafaat yang khusus.

Ketika duduk di sesuatu majlis, jangan sesekali saudara bangun tanpa menyebut nama Allah dan berselawat ke atas Nabi-Nya SAW, kerana jika kalian melakukannya, majlis itu menjadi kekurangan dan penyesalan kepadamu pada hari kiamat dan saudara layak mendapat azab Allah taala melainkan Dia mengampunkan saudara.

Bilamana berselawat ke atas baginda, berselawatlah dengan lafaz yang sabit daripada baginda SAW daripada lafaz-lafaz selawat Ibrāhīmiyyah.

=

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

22 Nov, 00:45


=

Berselawatlah ketika masuk dan keluar masjid, solat jenazah, setiap solat selepas tasyahud, sebelum berdoa; dan berilah salam kepada baginda semasa berdiri di makamnya dan jangan tambah apa-apa kerana mencontohi ‘Abd Allāh b. ‘Umar raḍiya Allāh ‘an-humā.”

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

21 Nov, 10:50


Kerja-kerja takhrij dan menilai kesahihan hadis bukanlah perkara yang mudah. Ia terlalu rumit hatta bagi ulama hadis sendiri. Kerumitan ini menghalang mereka mengkaji kesahihan setiap hadis yang dinukilkan oleh mereka, menyebabkan beberapa hadis yang bertaraf da'if jiddan dan palsu terlepas masuk ke dalam karangan mereka.

Itulah sebabnya ulama hadis semisal al-Nawawi dan al-Sayuti kadang-kadang merujuk dan menukilkan tashih ulama sebelum mereka - seperti al-Tirmidhi dan al-Hakim - bagi sesuatu hadis, walaupun mereka sendiri tahu bahawa penilaian mereka bukanlah muktamad, bahkan sebahagiannya lemah. Namun, oleh kerana kekangan masa, mereka berpada dengan tashih ulama terdahulu dengan harapan penilaian tersebut benar. (Kita juga begitu apabila menggunakan penilaian Syeikh al-Albani)

Seperti asal rawi adalah majhul, maka begitu juga asal hadis adalah majhul iaitu tidak diketahui tarafnya, dan hukumnya lemah. Sebagaimana tidak salah meriwayatkan hadis oleh rawi majhul, begitu juga tidak salah menukilkan hadis yang tidak diketahui darjatnya. Kerana ada kemungkinan hadis tersebut sahih, ia dikutip dan kadang-kadang digunakan sebagai sokongan dalam menguatkan hujah dan huraian mereka. Bahkan, seandainya ia lemah, ia tetap boleh menambahkan kekuatan kepada perkara yang ingin disampaikan, meskipun sedikit.

Sebahagian penuntut ilmu yang tidak memahami perkara ini akan kebingungan kerana ulama-ulama besar sendiri didapati menukilkan riwayat-riwayat yang bermasalah. Sebenarnya, ia perkara biasa kerana riwayat-riwayat tersebut belum dikaji atau kajian ulama terdahulu tidak sampai kepada mereka. Malah, sehingga hari ini pun berbaki banyak hadis dan athar yang belum dikenal pasti darjatnya. Dan tugas untuk mengkajinya terletak di bahu kita.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

21 Nov, 00:47


Sebenarnya, perempuan tidak patut mengajar lelaki yang sudah baligh tanpa tabir. Tapi masyarakat hari ini terlalu jahil, hatta sekolah dan universiti Islam pun tidak mempraktikkan pertabiran ini. Dan oleh kejahilan itulah, kita boleh melihat ustazah-ustazah TikTok memperagakan diri atas nama dakwah dan ilmu.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

19 Nov, 15:43


Saya menemui taḥrīf yang aneh dilakukan oleh pihak yang menafikan sifat ‘uluww kepada Allah. Dalam al-Tafsīr al-Wāḍiḥ oleh Syeikh Muḥammad Maḥmūd Ḥijāzī (m. 1392 H) yang diterjemahkan oleh Pustaka Salam, ayat ke-16, surah al-Mulk أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ ditafsirkan begini:

“Wahai manusia, adakah kamu rasa selamat dengan Tuhan Yang Maha Agung yang kamu yakini berada di langit – sedangkan terbukti dengan dalil logik akal bahawa Allah tidak bertempat bahkan Dia berada di segenap tempat dengan kudrat, pengetahuan, dan penguasaan-Nya –...”

Saya menyangka ibarat ini adalah tambahan atau olahan oleh penterjemah, justeru saya menyemak teks asal dalam bahasa Arab, dan ternyata begitulah yang ditulis oleh Syeikh Muḥammad Maḥmūd al-Ḥijāzī. Daripada kenyataan tersebut, beliau menerima bahawa yang dimaksudkan “yang berada di langit” dalam ayat tersebut adalah Allah, tetapi itu hanyalah mengikut iktikad orang-orang musyrik dan kafir.

Jadi, ayat ke-16, surah al-Mulk itu seolah-olah bermaksud “Adakah kamu berasa selamat daripada Allah yang kamu sangka berada di langit...” Kerana terlalu pelik, saya menyangka beliaulah orang pertama yang mengemukakan tafsiran seperti itu, tetapi tidak, rupa-rupanya ada “ulama” yang mendahului beliau.

“Ulama” tersebut ialah:

Pertama, Abū Muslim al-Aṣfahānī (m. 322 H). Fakhr al-Dīn al-Rāzī (m. 606 H) dalam Mafātīh al-Ghayb menukilkan tafsiran tersebut dengan katanya:

قَالَ أَبُو مُسْلِمٍ: كَانَتِ الْعَرَبُ مُقِرِّينَ بِوُجُودِ الْإِلَهِ، لَكِنَّهُمْ كَانُوا يَعْتَقِدُونَ أَنَّهُ فِي السَّمَاءِ عَلَى وَفْقِ قَوْلِ الْمُشَبِّهَةِ، فَكَأَنَّهُ تَعَالَى قَالَ لَهُمْ: أَتَأْمَنُونَ مَنْ قَدْ أَقْرَرْتُمْ بِأَنَّهُ فِي السَّمَاءِ، وَاعْتَرَفْتُمْ لَهُ بِالْقُدْرَةِ عَلَى مَا يَشَاءُ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ؟
“Kata Abū Muslim, ‘Orang-orang Arab mengakui kewujudan Tuhan, tetapi mereka meyakini-Nya berada di langit menyerupai pendapat Mushabbihah. Jadi, Allah taala seolah-olah mengatakan kepada mereka, ‘Adakah kamu berasa selamat daripada Dia yang kamu akui berada di langit dan mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki untuk tidak menenggelamkan kamu ke dalam bumi?”

Kedua, al-Zamakhsharī (m. 538 H). Dalam al-Kashshāf, beliau memberikan dua tafsiran, dan yang kedua ialah:

أنهم كانوا يعتقدون التشبيه، وأنه في السماء، وأنّ الرحمة والعذاب ينزلان منه، وكانوا يدعونه من جهتها، فقيل لهم على حسب اعتقادهم: أأمنتم من تزعمون أنه في السماء، وهو متعال عن المكان أن يعذبكم بخسف أو بحاصب، كما تقول لبعض المشبهة: أما تخاف من فوق العرش أن يعاقبك بما تفعل.
“Bahawa mereka berkeyakinan tasybih, mempercayai bahawa Dia di langit dan bahawa rahmat serta azab turun daripada situ. Mereka juga berdoa kepada-Nya dari arah itu. Oleh itu, dikatakan kepada mereka berdasarkan keyakinan mereka, ‘Adakah kamu merasa aman dengan Dia yang kamu dakwa berada di langit, sedangkan Dia maha suci daripada tempat, untuk tidak mengazab kamu dengan tanah runtuh dan ribut taufan?’ seperti anda mengatakan kepada Musyabbihah, ‘Tidakkah kamu takut Dia yang berada di atas arasy menghukum kamu dengan perbuatan kamu?’...”

Dan hakikat yang mungkin mengejutkan kita, Abū Muslim seperti al-Zamakhsharī, kedua-duanya bermazhab Muktazilah. Berkemungkinan besar inilah rujukan al-Tafsīr al-Wāḍiḥ dalam mentafsirkan ayat berkenaan, kerana berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Marṣad Tafsīr li-al-Dirāsāt al-Qur’āniyyah, pengarangnya merujuk lapan kitab tafsir, antaranya Mafātīḥ al-Ghayb dan al-Kashshāf tadi, dan tiada antara lapan kitab tersebut yang menyebut tafsiran sebegitu melainkan dua kitab tafsir itu sahaja. Jadi, kesimpulannya bahawa tafsiran yang termaktub dalam kitab tafsir yang tersebar antara pendakwa merekalah Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah sebenar bersambung sanadnya kepada musuh mereka iaitu Muktazilah!

=

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

19 Nov, 15:43


=

Hal ini sebenarnya tidaklah pelik, kerana kandungan Mafātīh al-Ghayb yang ditulis oleh ulama besar Ashā‘irah itu sendiri banyak dipetik daripada kitab-kitab Muktazilah. Selain Abū Muslim al-Aṣfahānī, banyak lagi tokoh Muktazilah yang menjadi rujukan kitab yang juga dipanggil al-Tafsīr al-Kabīr itu. Bahkan, kata Imam Ibnu al-Musaffir (m. 743/744 H) sebagaimana nukil Imam al-Shāṭibī (m. 790 H) dalam al-Ifādāt wa-al-Inshā’āt:

إن تفسير ابن الخطيب احتوى على أربعة علوم نقلها من أربعة كتب، مؤلفوها كلهم معتزلة.
“Tafsir Ibnu al-Khaṭīb (al-Rāzī) mengandungi empat bidang ilmu yang dinukilkan daripada empat kitab yang penulis-penulisnya semuanya Muktazilah...”

Tentang al-Tafsīr al-Wāḍiḥ tadi, akidah dan mazhab pengarangnya masih kabur dan misteri, kerana meskipun ayat tadi ditafsirkan mengikut tafsiran Muktazilah, namun ketika mentafsirkan makna istiwā’ dalam ayat 54 surah al-A‘rāf beliau mengaku cenderung kepada mazhab salaf yang “menerima nas yang datang tanpa takyīf atau tashbīh,” “kerana merupakan pendapat sahabat dan tabiin seluruhnya”.

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

15 Nov, 08:09


Terima kasih team PiS.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

12 Nov, 16:47


Perjalanan hidup penuntut ilmu dan ulama berbeza daripada orang kebanyakan. Mereka bagaikan hidup dalam dunia lain. Demi mencapai reda Allah, khidmat untuk ilmu, dan kemaslahatan ummah, mereka sanggup melakukan apa sahaja yang kadang-kadang sukar untuk difahami oleh orang biasa.

Kisah ulama yang sanggup tidak berkahwin kerana ilmu sudah jemu kita dengar. Syeikh ‘Abd al-Fattāḥ Abū Ghuddah mengumpulkan 20 orang ulama yang membujang sampai mati kerana mengutamakan ilmu dalam sebuah kitab khusus berjudul al-‘Ulamā’ al-‘Uzzāb Alladhīna Ātharū al-‘Ilm ‘alā al-Zawāj.

Tetapi, yang jarang kita dengar, ulama berkahwin dengan seorang perempuan semata-mata kerana ilmu. Ketika kecil saya mendengar cerita Imam al-Shāfi‘ī berkahwin dengan ramai perempuan semata-mata untuk mengkaji masalah haid, namun kisah ini tidak benar. Menurut riwayat, beliau berkahwin dengan tiga orang perempuan sahaja dan salah seorang daripada mereka diceraikan selepas dukhūl.

Yang sahihnya, kisah Isḥāq b. Rāhawayh sebagaimana yang diriwayatkan dalam Tārīkh Dimashq daripada Aḥmad b. Salamah al-Naysābūrī (286 H) bahawa katanya:

تزوج إسحاق بن راهويه بمرو بامرأة رجل كان عنده كتب الشافعي وتوفي ولم يتزوج بها إلا لحال كتب الشافعي.
“Isḥāq b. Rāhawayh di Merv mengahwini isteri seorang lelaki yang mempunyai kitab-kitab al-Shāfi‘ī dan telah meninggal dunia. Beliau tidak mengahwininya kecuali kerana kitab-kitab al-Shāfi‘ī.”

Demikianlah orang yang tenggelam dalam keasyikan menikmati ilmu, sampaikan “gila” kepada perempuan pun kerana ilmu.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

11 Nov, 05:02


Sebenarnya, pembahagian tauhid kepada dua atau tiga tidak pernah menjadi isu dalam kalangan tiga firqah yang memakai gelaran Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah. Mengatakan kaum musyrikin Arab beriman kepada tauhid rubūbiyyah, yakni bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan Yang Maha Pencipta, sebagai tafsiran ayat “Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit-langit dan bumi...” juga tidak dipertikaikan oleh mana-mana ulama dalam kalangan mereka.

Meskipun sebahagian mereka menyamakan antara kalimah rabb dengan ilāh secara mutlak dan menggunakan kedua-duanya secara berganti-ganti, namun prinsip yang mendasari konsep Tauhid Tiga iaitu bahawa Allah wajib ditauhidkan bukan sahaja pada iktikad, malah juga pada amalan disepakati. Jadi, khilaf dalam menyamakan atau membezakan antara rabb dengan ilāh lebih kepada khilaf dalam peristilahan dan konsepsi – seperti khilaf tentang perkataan “mursal” dan munqaṭi‘ dalam ilmu hadis, dan tentang “fardu” dan “wajib” dalam fiqh.

Perkara ini mula menjadi isu kerana munculnya pemuja wali dan kubur (yang kini masyhur dipanggil Qubūriyyūn) dalam kalangan ahli kiblat. Mereka mendakwa perbuatan mereka menyeru wali dan mengagung-agungkan kubur tidak menjejaskan tauhid kerana mereka masih dan tetap beriktikad bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan. Perbuatan mereka diingkari dan disifatkan oleh ulama-ulama Salafī-Wahhābī sebagai menyamai musyrikin Arab yang, menurut mereka, juga mengakui ketuhanan dan keesaan Allah, tetapi pada masa yang sama mensyirikkan Allah dengan menyeru dan menyembah selain-Nya. Tauhid dan syirik itu bertentangan, jadi untuk menjelaskan bagaimana tauhid dan syirik boleh berlaku pada masa yang sama, mereka mengibaratkannya sebagai “tauhid pada rubūbiyyah, tetapi syirik pada ulūhiyyah.”

Disebabkan Salafī-Wahhābī bersusur-galur daripada madrasah Ibnu Taymiyyah dan konsep rubūbiyyah-ulūhiyyah tadi ditemui dalam kitab-kitab Ibnu Taymiyyah, maka para pemuja wali dan kubur yang sudah lama berdendam dengan Ibnu Taymiyyah, menuduhnya sebagai punca. Mereka mengambil kesempatan daripada kegagalan mereka menemukan konsep tersebut dinyatakan secara jelas dalam athar Salaf dan kitab-kitab ulama sebelumnya untuk membidaahkan dan menyesatkan konsep rubūbiyyah-ulūhiyyah.

Hakikatnya, seperti yang disebut di awal tadi, konsep rubūbiyyah-ulūhiyyah atau Tauhid Tiga disepakati ketiga-tiga aliran, dan Ibnu Taymiyyah bukanlah ulama pertama yang mencetuskannya. Konsep ini sudah lama diterima dan diguna pakai oleh ulama-ulama Ahli Sunnah sebagai kesimpulan daripada al-Quran, sunnah, dan athar Salaf berkenaan tauhid. Perbezaan yang wujud hanyalah dari sudut cara penyampaian, susunan ibarat, dan pemilihan istilah (seperti yang digunakan oleh Imam al-Turkistānī, ulama bermazhab Māturīdī yang sezaman dengan Ibnu Taymiyyah, dalam rajah yang dipaparkan - iaitu menjelaskan Tauhid Tiga dengan cara menjelaskan lawannya, iaitu syirik), tetapi maknanya tetap mendukung konsep yang sama. Cuma, disebabkan konsep ini popular dalam kalangan Salafī-Wahhābī kerana diberi lebih tumpuan, penekanan, dan penegasan serta mesra penghujahan mereka ketika berdebat dengan pemuja kubur, maka konsep ini dinisbahkan kepada Salafī-Wahhābī.

Krisis semakin meruncing kerana Salafī-Wahhābī adalah musuh tradisi mazhab Ash‘arī-Māturīdī, aliran akidah yang dianuti oleh majoriti pemuja wali dan kubur. Tindakan Salafī-Wahhābī menyerang kaedah penyusunan kitab-kitab akidah Ash‘arī-Māturīdī yang berteraskan Sifat 20 mengundang serangan balas yang luar biasa daripada pemuja wali dan kubur, sampai ke tahap mereka mendakwa Tauhid Tiga menyamai konsep Triniti dalam agama Kristian!

Kesimpulannya, pembahagian tauhid kepada rubūbiyyah dan ulūhiyyah (serta asmā’ wa-ṣifāt) adalah seperti pembahagian rukun solat kepada tiga dan pembahagian maqāṣid sharī‘ah kepada lima yang merupakan kesimpulan istiqrā’ nas al-Quran dan sunnah. Isu yang timbul hari ini berasal usul daripada reaksi pemuja wali dan kubur untuk membela amalan mereka yang dihangatkan lagi dengan sentimen permusuhan antara aliran akidah.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

11 Nov, 04:54


Kekuatan yang dimiliki oleh aliran Ahl al-Athar ialah nas al-Quran, hadis, dan riwayat daripada ulama salaf yang terlampau banyak yang menyokong pegangan mereka. Kelebihan inilah yang dimanfaatkan oleh Imam Ibnu Qudamah dan al-Dhahabi misalnya ketika mengarang kitab 'Uluww masing-masing.

Mu'tazilah dan Asha'irah hanya mampu memberikan hujah-hujah 'aqliyyah. Jika ada dalil naqli, itu hanyalah beberapa nas yang diumumkan maknanya mengikut kefahaman mereka. Mereka tidak sesekali mampu memberikan dalil naqli dan riwayat daripada salaf sesahih, sejelas, dan sebanyak Ahl al-Athar.

Sebab itulah, apabila Ahl al-Athar membawakan kalam ulama seperti Imam Malik dan Ahmad yang mengisbatkan sifat 'uluww, mereka hanya mampu membuat takwilan, atau menukilkan qila wa-qala fatwa ulama muta'akhkhirin yang menyesatkan orang yang mengisbatkan demikian.

Walhal, mereka sendiri tahu bahawa fatwa Imam Ibnu 'Abd al-Salam, al-Sanusi, mahupun Ibnu Hajar al-Haytami langsung tidak mampu menggugat kalam ulama sebesar dan seagung imam-imam salaf yang kemuktabaran mereka disepakati oleh ulama muta'akhkhirin.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

09 Nov, 09:15


Tauhid Rubūbiyyah vs Tauhid Ulūhiyyah: Catatan Syeikh Wahbah al-Zuhāylī (1436 H) |

“Dan menggabungkan antara kewajipan beriman dengan ayat-ayat Allah dan menolak syirik, memerlukan dua perkara: tauhid rubūbiyyah dan tauhid ulūhiyyah dan ibadah, kerana orang-orang musyrik mengakui keesaan Tuhan, seperti yang disebutkan oleh Allah taala, “Dan jika kamu bertanya kepada mereka, "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" nescaya mereka akan menjawab: Allah,” [Surah Luqmān, ayat 25] tetapi mereka tidak mengakui tauhid ulūhiyyah dan ibadah, kerana mereka menyembah berhala dan patung.”

[Al-Tafsīr al-Wasīṭ (1422 H); Damsyik: Dār al-Fikr dan Beirut: Dār al-Fikr al-Mu‘āṣir; 2, h. 1700-1701]

Nota:

Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī adalah ulama kontemporari yang baru meninggal kira-kira 10 tahun lalu. Beliau mengkhususi bidang tafsir dan fiqh. Karyanya yang paling terkenal ialah al-Tafsīr al-Munīr dan al-Fiqh al-Islāmī wa-Adillatu-hu. Beliau antara tokoh yang memberi kata pengantar kepada buku Ahl al-Sunnah al-Ashā‘irah: Shahādah ‘Ulamā’ al-Ummah wa-Adillatu-hum.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

08 Nov, 10:02


Syeikh 'Abd al-Qādir b. 'Abd al-Muṭṭalib al-Mandīlī yang lahir pada 1329 H merupakan salah seorang ulama besar Nusantara dan bermazhab Shafi'i. Beliau kuat membela Kaum Tua dan telah menulis beberapa buah kitab untuk menolak fahaman Kaum Muda, antaranya: 1. Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya kepada Sekalian Yang Mati; 2. Tiada Haram Bermazhab; dan 3. Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari.

Dalam bab pertama kitab Perisai bagi Sekalian Mukallaf atau dinamakan juga Simpulan Iman atas Mazhab Salaf yang merupakan syarah ke atas matan al-‘Aqīdah al-Ṭaḥāwiyyah (yang dipanggilnya dengan nama al-‘Aqīdah al-Salafiyyah), beliau menjelaskan dengan terperinci konsep tiga jenis tauhid dalam tiga bab berasingan. Sebelum itu beliau mengatakan:

"Dan ketahui olehmu bahasanya tauhid itu terbahagi ia tiga bahagi. Pertama, tauhid al-rubūbiyyah. Ertinya, mengsakan Allah taala dengan segala perbuatan-Nya. Dan kedua, tauhid al-ulūhiyyah. Ertinya, mengsakan Allah taala dengan segala perbuatan hamba. Ketiga, tauhid al-asmā’ wa-al-ṣifāt. Ertinya, mengsakan Allah taala dengan segala nama-Nya dan sifat-Nya. Wallahualam."

Dalam kitab itu beliau menyatakan bahawa “tauhid al-rubūbiyyah ini mengaku dengan dia oleh orang-orang kafir pada masa hidup Rasulullah SAW, tetapi tiada memasukkan ia akan mereka itu ke dalam ugama Islam, kerana ingkar mereka itu akan tauhid al-‘ulūhiyyah...” Selanjutnya di bawah bab Tauhid al-Ūlūhiyyah beliau mentakrifkannya sebagai “mengsakan Allah taala dengan segala perbuatan hamba yang mensyarakkan akan dia oleh Allah taala bagi mereka itu seperti doa dan nazar dan menyembelih korban dan minta tolong..." dan menegaskan bahawa "Maka wajib atas tiap-tiap mukallaf bahawa tiada mendoa ia melainkan akan Allah taala... dan bahawa tiada minta tolong ia melainkan akan Allah taala...”

Kitab Perisai bagi Sekalian Mukallaf ini siap dikarang pada 1376 H, iaitu dua tahun sebelum kitab Penawar bagi Hati, kitabnya yang termasyhur dan diajar oleh alim-alim pondok ditulis. Penjelasan tiga jenis tauhid ini diulanginya sekali lagi dalam kitab Anak Kunci Syurga yang disempurnakan pada 1382 H, iaitu kira-kira tiga tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

05 Nov, 07:00


AAM 2024; Penjelasan AAM Berkaitan Isu Wanita Pakai Telekung Dua Helai (2 Pieces) Dalam Solat Tak Sah.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

03 Nov, 13:40


Daripada Akhi Abu Zayd.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

31 Oct, 01:16


Kaum sufi patut dipuji dan diberi anugerah khas kerana sangat kreatif dalam memanipulasikan hadis. Dalam pada mempertahankan amalan zikir dengan gaya yang tidak pernah dinukilkan daripada Rasulullah SAW, sahabat, dan tabiin, yang menjadi mangsa adalah hadis Abū Sa‘īd RA dengan lafaz berikut:

اذْكُرُوا اللهَ حَتَّى يَقُولُوا: مَجْنُونٌ!
“Berzikirlah sampai mereka mengatakan, ‘Gila!’.”

Benarkah pendalilan ini? Ayuh, kita semak fakta-fakta berikut:

1. Hadis ini diperselisihkan kesahihannya kerana rawi yang menjadi madārnya, Darrāj b. Sam‘ān, dihukum thiqah atau ṣadūq oleh sebahagian ulama dan dihukum ḍa‘īf, munkar al-ḥadīth, atau matrūk (khususnya dalam riwayatnya daripada Abū al-Haytham seperti hadis ini) oleh sebahagian yang lain. Ibnu Ḥajar menyimpulkan bahawa beliau صدوق، في حديثه عن أبي الهيثم ضعف. Yang tepat, hadis ini ḍa‘īf malah munkar kerana tafarrud rawi semisal Darrāj. Dalam al-Bayqūniyyah yang banyak dihafal oleh kaum mutaṣawwifah disebutkan:

والُمنكَرُ الفَرْدُ بهِ رَاوٍ غَدَا ... تَعدِيلُه لا يْحمِلُ التَّفَرُّدَا
“Dan munkar adalah hadis yang diriwayatkan oleh rawi yang ta‘dīlnya tidak mampu menanggung tafarrudnya.”

2. Lafaz hadis yang sebenar – seperti yang diriwayatkan dalam kesemua riwayat bersanad yang ditemukan – bukan seperti yang dinyatakan, tetapi begini:

أَكْثِرُوا ذِكْرَ اللَّهِ حَتَّى يَقُولُوا: مَجْنُونٌ!
“Banyakkan berzikir sampai mereka mengatakan, ‘Gila!’.”

Lafaz lain:

اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا حَتَّى يَقُولُوا: مَجْنُونٌ!
“Berzikirlah dengan zikir yang banyak sehingga mereka mengatakan, “Gila!’.”

Jadi, hadis dengan lafaz اذْكُرُوا اللهَ حَتَّى يَقُولُوا: مَجْنُونٌ! tiada asasnya daripada hadis sama sekali.

3. “Memperbanyak zikir” dengan “berzikir” ada perbezaan yang nyata. Memperbanyak adalah tentang kuantiti manakala berzikir adalah tentang cara, kaifiat, dan gaya. Jika sahih sekalipun, sangkaan gila yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah disebabkan banyaknya, bukannya rancaknya berzikir.

4. Sejujurnya, lafaz اذكروا الله diriwayatkan daripada Abū Muslim al-Khawlānī, seorang mukhaḍram. ‘Abd Allāh, anak Imam Aḥmad dalam al-Zuhd meriwayatkan daripada Yazīd b. Yazīd b. Jābir:

كَانَ أَبُو مُسْلِمٍ الْخَوْلَانِيُّ يُكْثِرُ أَنْ يَرْفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ حَتَّى مَعَ الصِّبْيَانِ، وَكَانَ يَقُولُ: اذْكُر اللَّهَ حَتَّى يَرَى الْجَاهِلُ أَنَّكَ مَجْنُونٌ.
“Abū Muslim al-Khawlānī kerap bertakbir secara kuat walaupun ketika bersama kanak-kanak dan mengatakan, ‘Berzikirlah sampai orang jahil menyangka kamu gila’.”

Namun, riwayat ini bermasalah kerana Yazīd b. Yazīd b. Jābir meninggal pada 133 atau 134 Hijrah ketika belum mencecah 60 atau 70 tahun sementara Abū Muslim meninggal pada 62 Hijrah yang bermakna jika mereka sempat bertemu pun, usia Yazīd ketika itu baru setahun. Jadi, athar ini munqaṭi‘.

Adapun riwayat Abū Dāwūd yang lebih sahih dengan lafaz:

كَانَ أَبُو مُسْلِمٍ الْخَوْلَانِيُّ يَجْهَرُ بِالتَّكْبِيرِ حَتَّى يَكْثُرَ الصِّبْيَانُ عَلَيْهِ، فَيَقُولُ: (اذْكُرُوا اللَّهَ – أَوْ: كَبِّرُوا – !) حَتَّى يُخَيَّلَ إِلَيَّ أَنَّهُ لَجَاهِلٌ أَوْ مَجْنُونٌ.
“Abū Muslim al-Khawlānī menguatkan takbir sehingga ramai kanak-kanak berkumpul dekat dengannya, lalu beliau mengatakan, ‘Berzikirlah – atau bertakbirlah –!’ sampai aku menyangkanya bodoh atau gila;”

yang seolah-olah menunjukkan Yazīd b. Yazīd b. Jābir menyaksikan peristiwa itu menambahkan kecacatannya.

Selain itu, Abū Muslim dalam riwayat yang putus ini tidak lebih daripada menguatkan zikir, bukan berzikir sambil terangguk-angguk tersengguk-sengguk, menggoyang-goyangkan tubuh apalagi menari! Bahkan di sana terdapat riwayat oleh al-Bayhaqī dalam Shu‘ab al-Īmān dengan sanad yang bermasalah, yang menunjukkan Abū Muslim sebenarnya cuma memperbanyak zikir, bukan menguatkannya, iaitu:

=

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

31 Oct, 01:16


=

أَنَّ رَجُلا أَتَاهُ قَالَ لَهُ: أَوْصِنِي يَا أَبَا مُسْلِمٍ، قَالَ: (اذْكُرِ اللَّهَ تَحْتَ كُلِّ شَجَرَةٍ وَحَجَرٍ)، قَالَ: زِدْنِي، فَقَالَ: (اذْكُرِ اللَّهَ حَتَّى يَحْسِبَكَ النَّاسُ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ مَجْنُونً)، قَالَ: فَكَانَ أَبُو مُسْلِمٍ يُكْثِرُ ذِكْرَ اللَّهِ فَرَآهُ رَجُلٌ يَذْكُرُ اللَّهَ، فَقَالَ: أَمَجْنُونٌ صَاحِبُكُمْ هَذَا؟ فَسَمِعَهُ أَبُو مُسْلِمٍ، فَقَالَ: (لَيْسَ هَذَا بِالْجُنُونِ يَا ابْنَ أَخِي، وَلَكِنْ هَذَا دَوَاءُ الْجُنُون).
“Bahawa ada seorang lelaki datang menemuinya. Katanya kepada Abū Muslim, ‘Berikan daku wasiat, Abū Muslim!’ Jawabnya, ‘Berzikirlah di bawah setiap pohon dan batu.’ Kata lelaki itu, ‘Lagi?’ Jawabnya, ‘Berzikirlah sehingga orang menyangka kamu gila kerana berzikir.’ Katanya (rawi): Abū Muslim kerap berzikir lalu dan pernah seseorang melihatnya sedang berzikir dan bertanya, ‘Adakah kawan engkau gila?’ Abū Muslim mendengarnya dan menjawab, ‘Ini bukan gila, anak saudaraku, tetapi inilah ubat penyakit gila.’.”

Jadi, kesimpulannya hadis yang dijadikan dalil untuk menyokong ritual sufi dinukilkan secara silap (semoga bukan disebabkan kejahilan atau kurang cermat dalam menukilkan riwayat sebagaimana adat mereka). Lafaz sebenarnya adalah “Banyakkan berzikir...”, bukan “Berzikirlah...”. Athar Abū Muslim al-Khawlānī menggalakkan perbuatan berzikir sehingga disangka gila tidak sahih, dan seandainya sahih, ia adalah tentang memperbanyak zikir semata-mata.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

21 Oct, 05:17


Tentang "ketimbang", ramai pentaksub politik yang menjadikannya modal untuk mengecam PMX. Maaf, saya bukan penyokong PMX. Tapi, mempertikaikan penggunaan sesuatu perkataan hanya kerana tidak wujud dalam Kamus Dewan adalah tanda jahil ilmu bahasa. Tidak semua perkataan bahasa Melayu wujud dalam Kamus Dewan. Oleh sebab itulah Kamus Dewan sentiasa dikemas kini - untuk menambahkan entri baharu, perkataan-perkataan yang tercicir sebelum ini.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

21 Oct, 03:53


"Adakah anda menyangka orang-orang soleh tidak mempunyai dosa? Mereka cuma:

- Menyembunyikan maksiat dan tidak mendedahkannya
- Memohon ampun dan tidak berterusan melakukannya
- Mengaku kelemahan dan tidak membela kesalahan sendiri
- Dan, melakukan kebaikan selepas melakukan keburukan.
Ya Allah, kami memohon keampunan, penutupan, dan rahmat-Mu."

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

15 Oct, 17:38


=

Kesimpulannya, peranan dan sumbangan Ibnu Tumart kepada Ashā‘irah-sufi sangat besar, tepat seperti yang disebut dalam bait yang dinukilkan oleh Ibnu al-Mu‘allim tentang Ibnu Tūmart, “Kesan peninggalannya sudah cukup untuk engkau mendengar kisah mengenainya, sampaikan seolah-olah engkau melihatnya dengan mata kepala,” namun sayangnya ada Ashā‘irah Melayu yang tidak pandai mengenang budi.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

15 Oct, 17:38


Selepas dibangkitkan semula sejarah hitam Ashā‘irah abad keenam Hijrah, pihak Ashā’irah kini “malu” untuk dikaitkan dengan tokoh mereka, Ibnu Tūmart. Kata mereka, Ibnu Tūmart bukan tokoh utama Ashā‘irah. Antara hujah yang digunakan, nama Ibnu Tūmart tidak tercatat dalam “ṭabaqāt penting Ashā‘irah”, malah tidak dikenali oleh sebahagian Ashā‘irah masa kini.

Tanpa disedari, hujah ini makan diri – menyerlahkan kejahilan dan kurangnya telaah mereka tentang sejarah mereka sendiri. Hakikatnya, Ibnu Tumart bukan sahaja tokoh penting, malah watak utama dalam sejarah perkembangan dan pengembangan mazhab Ashā‘irah khususnya di belah Afrika utara. Gerakan dakwah dan politiknya yang menukarkan landskap akidah umat Islam di sana daripada akidah Salafī kepada Ash‘arī itu teramat makruf dalam catatan sejarah. Dr. ‘Abd al-Majīd al-Najjār dalam tesis PhD-nya di Universiti al-Azhar tentang Ibnu Tūmart, h. 441 yang diterbitkan pada 1982, misalnya, mengatakan:

لما رجع ابن تومرت من رحلته إلى المشرق، قدر له أن يكون الانتشار الأوسع للأشعرية على يديه، وأن يكون لتعاليمه الدور الحاسم في اعتناق كافة أهل المغرب لهذه العقيدة إلى هذا اليوم.
“Selepas Ibnu Tūmart pulang daripada penjelajahannya ke Timur, beliau ditakdirkan untuk menjadi penyebab kepada penyebaran mazhab Ash‘arī di Barat secara lebih meluas. Ajaran-ajarannya memainkan peranan penting dalam membawa seluruh penduduk Barat menganut akidah ini sehingga ke hari ini.”

Tidak tersenarai dalam “ṭabaqāt penting Ashā‘irah” bukanlah isu besar, kerana keciciran seperti itu sentiasa berlaku. Lagipun, Ibnu Tūmart lebih terkenal dan berperanan di Maghrib, dan tidak terlibat dengan perbahasan akidah dan ilmu kalam yang mendalam kerana kesibukannya dengan urusan pentadbiran dan politik. Walau bagaimanapun, nama Ibnu Tūmart tetap tercatat megah dalam senarai no. 640 dalam biografi ulama-ulama mazhab Shāfi‘ī himpunan Tāj al-Dīn al-Subkī (m. 771 H), Ash‘arī fanatik sebagai:

كَانَ رجلا صَالحا زاهدا ورعا فَقِيها... فتفقه على الْغَزالِيّ... وَكَانَ أمارا بِالْمَعْرُوفِ نهاء عَن الْمُنكر... يعرف الْفِقْه على مَذْهَب الشَّافِعِي وينصر الْكَلَام على مَذْهَب الْأَشْعَرِيّ...
"Beliau seorang lelaki yang soleh, zuhud, warak, faqih... menuntut ilmu fiqh dengan al-Ghazālī... giat melaksanakan amar makruf nahi mungkar... mengetahui fiqh berdasarkan mazhab al-Shāfi‘ī dan membela ilmu kalam mengikut mazhab Ash‘arī...”

Kemudian, ketika membantah al-‘Alā’ī yang mengatakan Ibnu Tūmart dikenali sebagai menganut usul Muktazilah, al-Subkī mengatakan:

والأغلب أَنه كَانَ أشعريا صَحِيح العقيدة أَمِيرا عادلا دَاعيا إِلَى طَرِيق الْحق.
“Yang lebih ghalibnya beliau seorang Ash‘arī, berakidah benar, dan seorang pemimpin yang adil dan berdakwah kepada jalan kebenaran.”

Dan sebenarnya, keciciran ini sudah pun ditangani oleh Ibnu al-Mu‘allim al-Qurashī (m. 725 H). Beliau dalam Najm al-Muhtadī, j. 1, h. 467-469 memasukkan tarjamah Ibnu Tūmart yang digelarnya sebagai “al-Imām” dalam senarai ulama-ulama Ashā‘irah yang tidak disebutkan oleh Ibnu ‘Asākir dalam Tabyīn Kadhib al-Muftarī. Yāsīn Ghānim Jāsim al-Shāfi‘ī al-Ash‘arī, pengkaji kontemporari pula memasukkanya ke dalam Ṭabaqāt al-Ashā‘irah A‘yān Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah, h. 167.

Bercakap tentang jasa besar Ibnu Tūmart kepada Ashā‘irah sebenarnya memerlukan kesempatan khusus, namun kiranya cukuplah teks akidah yang disusun oleh Ibnu Tumart, dipanggil al-Murshidah makruf dan tersebar meluas dalam kalangan Ashā‘irah (meskipun ada yang mempertikaikan kesahihan penisbahannya kepada beliau, dan ada juga yang tersilap menisbahkannya kepada Abu al-Layth al-Samarqandī) sebagai sandaran. Teks ini selain diajarkan dan disyarah secara lisan dan bertulis serta dipuji-puji oleh ulama Ashā‘irah, juga dihafal dan dibaca secara berjemaah. Di Malaysia, al-‘Aqīdah al-Murshidah ini dengan bangganya diterjemahkan, diterbitkan, dan dihuraikan oleh Ashā‘irah tempatan.

=

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

13 Oct, 01:04


Sebilangan, kalau tidak ramai pun, orang yang berubah menjadi lebih baik kerana mempunyai pasangan yang soleh dan solehah, seperti wanita yang mula bertudung labuh dan berniqab kerana berkahwin dengan ustaz.

Teringat di Mu'tah, ada seorang pak cik yang rapat dengan kami mengaku pernah hidup dalam kefasiqan. Beliau menceritakan bahawa beliau semasa mudanya selalu minum arak dan mengabaikan solat. Tetapi, setelah berkahwin dengan wanita yang berniqab (yang merupakan minoriti di Jordan), beliau berubah. Dan pada mata kami, beliau - masya-Allah - seorang yang soleh.

Keadaan ini normal, kerana kita suka meniru orang yang kita cinta. Apabila tertarik dengan orang yang lebih soleh dan solehah, sudah tentu akan terdetik di hati kita untuk berubah menjadi sepertinya. Perubahan ini lebih berjaya dengan dorongan, bimbingan, dan doa daripada si dia.

Namun, kadang-kadang kehadiran insan istimewa itu satu ujian, kerana barangkali ada sesuatu yang menjadi penghalang, berlaku ketidaksefahaman, atau mungkin dia rupa-rupanya lebih teruk daripada kita, lalu akhirnya kita berpisah. Ketika itu, impian untuk menjadi lebih baik dan penghijrahan yang telah dibuat berada dalam dilema - sama ada diteruskan atau tidak.

Dalam keadaan ini, hanya orang yang betul-betul berhijrah dan berubah kerana Allah akan istiqamah dengan kebaikan yang telah dilakukan.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

11 Oct, 10:22


Isu sebenar bukan cuti atau kerja hari Jumaat, tapi kerja hari Jumaat dan cuti pada hari Sabtu dan Ahad. Ini isu pokok. Dengan kata lain, mengapa memilih atau mentakhsis Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti mingguan, bukannya hari Jumaat atau hari-hari lain dalam seminggu?

Ayat al-Quran dalam surah al-Jumu'ah bukan arahan atau galakan supaya bekerja pada hari Jumaat, tetapi larangan untuk bekerja khusus ketika waktu solat Jumaat. Ini termasuk dalam bab suruhan selepas larangan yang termuqarrar dalam usul fiqh. Dengan kata lain, maksudnya, jangan bekerja pada waktu solat Jumaat. Selepas itu, sesiapa ingin bekerja, silakan bekerja.

Perkara ini tidak menjadi isu sama sekali sekiranya kita bekerja tujuh hari seminggu termasuk Jumaat, Sabtu, dan Ahad; cuti pada hari Isnin dan Selasa, misalnya; atau cuti pada hari Sabtu dan Ahad secara sendiri-sendiri atau hanya untuk sektor atau jabatan tertentu, bukan ketetapan umum untuk negara atau negeri kerana tiada unsur mengutamakan hari Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti berbanding hari-hari lain. Kemudian, dakwaan bahawa menetapkan Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti adalah mengikut bukan Islam adalah berasas, bukannya omongan kosong. Cuba kaji sejarah dan rujuk fakta sebelum bercakap. Mengikut sejarah, Jumaat adalah hari cuti umum umat Islam dan begitulah yang masih kekal di kebanyakan negara majoriti Muslim, dan cuba tengok negara mana yang memilih Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti mingguan mereka. Ini bukan kebetulan.

Sebahagian ulama menyukai cuti hari Jumaat dari sudut memudahkan urusan ibadat-ibadat khusus sempena hari Jumaat, sementara sebahagian ulama termasuk Malikiyyah memakruhkan (membidaahkan?) cuti Jumaat jika atas dasar ta'abbud kerana meniru Ahli Kitab yang menetapkan hari Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti mereka. Pendapat ini juga ada asasnya, tetapi dalam konteks kita: Adakah solusi untuk mengelak tashabbuh adalah dengan melakukannya?! Sudah tentu tidak. Berikut petikan fatwa al-Lajnah al-Da'imah:

لا يجوز تخصيص يوم السبت أو الأحد بالعطلة أو تعطيلهما جميعاً؛ لما في ذلك من مشابهة اليهود والنصارى، فإن اليهود يعطلون يوم السبت والنصارى يعطلون يوم الأحد؛ تعظيماً لهما...

Kesimpulannya, walaupun tidak disyariatkan cuti hari Jumaat, namun cuti hari Sabtu atau Ahad bukanlah alternatif yang terbaik, malah sepatutnya dielakkan kerana tashabbuh dan taqlid bukan Islam. Walau bagaimanapun, kita tetap akur dengan ketetapan pemerintah yang "terpaksa" menetapkan cuti pada Sabtu dan Ahad atas faktor teknikal seperti keselarasan dengan negeri atau negara sekitar. Dan untuk masa mendatang, berusahalah supaya kita diberi kekuatan untuk menetapkan dasar sendiri tanpa dipengaruhi orang lain.

Sekadar celahan. Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

03 Oct, 10:53


Maaf, secara umumnya saya bersetuju dengan pendapat ini.

Lagipun, ucapan "Allah" secara tunggal itu semasa sedih sendiri hakikatnya termasuk dalam bab zikir yang dibahaskan oleh ulama. Ia seumpama tasbih yang disyariatkan diucap secara khusus semasa terkejut.

Jika tidak termasuk zikir pun, bak kata Imam Ibnu Kathir semasa mentafsirkan ayat 91, Surah al-An'am tentang ucapan "Allah" semata-semata:

وقوله: (قل الله) قال علي بن أبي طلحة عن ابن عباس: أي: قل: الله أنزله. وهذا الذي قاله ابن عباس هو المتعين في تفسير هذه الكلمة، لا كما قاله بعض المتأخرين من أن معنى (قل الله) أي: لا يكون خطاب لهم إلا هذه الكلمة، كلمة (الله).

وهذا الذي قاله هذا القائل يكون أمرًا بكلمة مفردة من غير تركيب، والإتيان بكلمة مفردة لا يفيد في لغة العرب فائدة يحسن السكوت عليها.

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

02 Oct, 02:59


Daripada kitab mereka sendiri.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

02 Oct, 01:26


Adik-adik kena ada jiwa yang kental untuk melawan kebodohan abang-abang dan kakak-kakak senior serta suasana universiti yang tidak Islamik.

Lawan. Jangan follow the flow. Kalau tak, zaman sekolah pakai tudung labuh, masuk universiti pakai shawl; zaman sekolah malu-malu dengan perempuan, masuk universiti dah pandai dating.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

30 Sep, 16:53


=
Anehnya, ketika ditanya tentang makna hadis ini, 'Izz al-Din 'Abd al-Salam menjawab tanpa meyentuh langsung tentang kelemahan sanadnya. Lagi pelik, alim hadis, Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu'ah juga mensahihkan makna sebuah hadis yang tidak diketahui asal olehnya dengan hadis ini. Katanya:

وَمَعْنَاهُ صَحِيحٌ مُسْتَفَادٌ مِنْ قَوْلِهِ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ: " مَنْ عَمِلَ بِمَا عَلِمَ وَرَّثَهُ اللَّهُ عِلْمَ مَا لَمْ يَعْلَمْ " وَاللَّهُ أَعْلَمُ
"Tetapi maknanya sahih, diambil daripada sabda baginda SAW, 'Sesiapa beramal dengan ilmunya, Allah akan mengurniakan ilmu yang tidak pernah ia ketahui'."

Wallahualam.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

30 Sep, 12:16


Hadis palsu. Dihukum palsu oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Da'ifah. Al-Fattani dalam Tadhkirah al-Mawdu'at diikuti oleh al-Shawkani pula menghukumnya lemah namun pendapat ini tertolak kerana Abu Nu'aym yang meriwayatkannya sendiri mengatakan:

ذَكَرَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ هَذَا الْكَلامَ عَنْ بَعْضِ التَّابِعِينَ، عَنْ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلامُ فَوَهِمَ بَعْضُ الرُّوَاةِ أَنَّهُ ذَكَرَهُ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَوَضَعَ هَذَا الإِسْنَادَ عَلَيْهِ لِسُهُولَتِهِ وَقُرْبِهِ، وَهَذَا الْحَدِيثُ لا يَتَحَمَّلُ بِهَذَا الإِسْنَادِ، عَنْ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ
"Ahmad b. Hanbal meriwayatkan kata-kata ini daripada sebahagian tabiin daripada 'Isa . Maryam AS lalu sebahagian rawi menyangka beliau meriwayatkannya daripada Nabi SAW, lalu mereka sanad ini kerana senang dan mudah, sedangkan hadis ini tidak sesuai dengan sanad ini daripada Ahmad b. Hanbal."

Al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith membenarkan pendapat Abu Nu'aym ini. =

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

28 Sep, 10:01


Zikir dengan "huhuhu" adalah bidaah dalalah dan haram, pada masa yang sama zikir ma'thur adalah yang terbaik. (Zikir 'huhuhu' tidak termasuk dalam zikir yang boleh menggunakan lafaz sendiri, kerana ia termasuk dalam zikir dengan lafaz mufrad, bukan jumlah mufidah.) Tiada percanggahan. Titik. Jelas?

Ini fatwa Syeikh Ibnu Baz, ulama Salafi-Wahabi sendiri tentang zikir tersebut:

هذا من الصوفية، يقولون: الله الله الله، أو هو هو هو، هذا كلام باطل لا يجوز، هذا ليس بشرع
"Ini datang daripada golongan sufi. Mereka mengatakan 'Allah, Allah, Allah' atau 'Huwa, Huwa, Huwa'. Ini perkataan karut yang tidak harus. Ini bukan syariat."

Belum cukup jelas? Nampaknya kamu benar-benar kurang membaca, tetapi cepat menghukum. Apakah ini tanda kegopohan atau alamat kejahilan, atau kedua-duanya sekali?!

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

22 Sep, 09:33


Kali ini mereka memainkan naratif baharu, mengatakan bahawa tindakan al-Arqam mengaku Asha'irah-Maturidiyyah, bukan Salafiyyah-Wahhabiyyah menandakan kebenaran mazhab tersebut dan kebatilan manhaj Salafiyyah.

Mungkin mereka kurang membaca. Al-Arqam bukannya sesat sekelip mata. Mereka pada asalnya Asha'irah-sufi "sesederhana" kebanyakan umat Islam Nusantara yang lain juga. Ini tahap pertama mereka sebelum pemimpin mereka membawa masuk ajaran tarekat Syeikh al-Suhaymi ke dalam jemaah.

Ajaran tarekat ini mempunyai persamaan yang ketara dengan tarekat-tarekat yang diamalkan oleh sufi yang mengaku Asha'irah yang lain. Ada pemujaan terhadap batang tubuh tokoh, mengharuskan istighathah dan bertawassul dengan si mati, dan bacaan wirid-wirid tertentu yang digubah sendiri dan diletakkan fadilat-fadilat yang melampau.

Kita tidak pernah mengatakan al-Arqam dan umum Asha'irah-sufi adalah 100% sama. Tidak! Kita cuma mengatakan mereka berasal daripada madrasah yang sama dan masih mempunyai tashabuh antara satu sama lain. Persamaan inilah yang menyukarkan al-Arqam didebati, kerana setiap kali mereka menyesatkan al-Arqam, pihak al-Arqam akan membawa nukilan daripada ulama-ulama Asha'irah-sufi untuk mengesahkan pegangan mereka.

Dan kita jangan lupa, al-Arqam bukannya Asha'irah-sufi pertama yang mempunyai al-Mahdi. Asha'irah-sufi yang menyerang Murabitun di Afrika juga ada al-Mahdinya, iaitu Ibnu Tumart.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

18 Sep, 11:06


Nampak "try hard" sangat untuk mengaitkan Salafi dengan al-Arqam.

Sebenarnya, al-Arqam adalah aliran yang berasal dari Asha'irah-sufi, dan langsung tiada kena-mengena dengan aliran Salafi. Bahkan, Salafi adalah musuh al-Arqam.

Semalam saya membaca buku Abuya tentang Awrad Muhammadiyyah. Ternyata sama sahaja isinya dengan buku-buku tarekat yang lain.

Berbicara tentang manaqib guru, bercerita tentang karamah-karamahnya, dan pelbagai keajaiban-keajaiban lain yang boleh ditemui dengan mudah dalam kitab-kitab sufi dan tarekat.

Hakikatnya, kesukaran sufi Melayu untuk melawan al-Arqam adalah kerana mereka mempunyai manhaj yang sama.

Antara buktinya, dalam buku itu sendiri diceritakan bahawa wakil al-Arqam membawa kalam Syeikh Dawud al-Fatani untuk membela amalan tawassulnya ketika dihujah oleh para ulama Kelantan.

Ini cuma cerita ulangan kekalahan sufi Nusantara, Syeikh al-Raniri melawan kaum Wujudiyyah di Acheh, yang puncanya adalah kerana mereka semua mengangkat Ibnu 'Arabi.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

13 Sep, 02:19


Apakah hukum menerima baucar ini? Adakah ia termasuk dalam shart jaza'i yang dibenarkan atau termasuk dalam riba yang diharamkan?

Jika haram, apakah alternatif atau badil yang bersesuaian untuk menggantikan kaedah yang digunakan?

Sekadar mencetuskan persoalan dan semoga ada pihak yang merungkai isu muamalat ini seterperincinya. Sebenarnya terlalu banyak isu muamalat yang perlu dikaji dan difatwakan tetapi kita kekurangan pakar, masa, dan tenaga.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

06 Jul, 01:13


Tawaran daripada Celcom. Ini riba sarih, sama seperti yang diamalkan oleh ceti haram. Hati-hati semua.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

25 Jun, 17:34


Saya sudah meneliti satu-persatu hadis-hadis dalam kitab al-Tawhid sepintas lalu, jelas keahlian Syeikh Ibnu 'Abd al-Wahhab dalam ilmu hadis, dan riwayat-riwayat yang lemah - jikalau benar-benar lemah sekalipun - tidak seteruk dan sedahsyat yang digambarkan.

Tidak seperti kebanyakan guru-guru mereka, syeikh sangat berhati-hati dalam menukil hadis. Beliau pandai menyatakan sumber dan biasa menyebut hukumnya sekali. Katanya, misalnya, "Dikeluarkan oleh Abu Dawud dan lain-lain" dan "Diriwayatkan oleh al-Nasa'i dengan sanad yang jayyid." Kerana berlaku khilaf antara marfu' dengan mawquf, beliau menyebutkan hadis secara marfu', kemudian menyebutkan nukilan bahawa yang sahihnya adalah mawquf, contohnya.

Kesilapan syeikh umumnya berlaku disebabkan beliau merujuk ulama-ulama hadis terdahulu, bukan kerana memandai-mandai sendiri. Contohnya, beliau me-marfu'-kan hadis دخل الجنة رجل في ذباب dan menyandarkannya kepada Imam Ahmad sedangkan hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad sebagai mawquf kepada Salman al-Farisi RA. Puncanya, beliau merujuk Ibnu al-Qayyim.

Contoh lain, beliau menukilkan hadis قال موسى يا رب علمني شيئًا أذكرك dan mengatakan, "Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan al-Hakim; dan beliau mensahihkannya." Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan sebagaimana yang dinukilkannya, disahihkan juga oleh al-Hakim. Jadi, punca kesilapan ini jelas iaitu beliau merujuk dua imam hadis tersebut.

Dan adakalanya kerana terlampau cermat, beliau menukilkannya secara terus daripada ulama berkenaan. Sebagai contoh, beliau menyebutkan hadis لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعًا لما جئت به dan kemudiannya menukilkan kalam Imam al-Nawawi yang mensahihkannya.

Sebenarnya, ceritanya begini: Hadis-hadis yang dikatakan bermasalah itu sebenarnya disahihkan oleh ulama-ulama muktabar di sisi sufi-Asha'irah sendiri dan perkara ini boleh dilihat dalam tahqiq al-Luhaydan dan lain-lain.

Akan tetapi, kerana kebencian yang meluap-luap kepada Wahabi, mereka tidak memakai penilaian ulama sendiri dan memuktamadkan penilaian al-Rayyashi yang jelas ketat. Tujuannya tidak lain, untuk menampakkan betapa banyaknya hadis lemah dalam kitab al-Tawhid yang menjadi rujukan Salafi.

Contohnya, hadis tadi, لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعًا لما جئت به, disahihkan oleh Imam al-Nawawi dan termasuk dalam hadis 40. Saya pasti mereka juga berpendapat hadis itu sahih. Tetapi, demi memburukkan syeikh, kitab al-Tawhid, dan Salafi, mereka menggunakan penilaian al-Rayyashi yang mengatakannya munkar!

Alangkah jijiknya perbuatan mereka.

(Pendek kata, hadis-hadis dalam kitab mereka tidak palsu melainkan jika ulama bersepakat menghukumnya palsu. Tetapi hadis-hadis dalam kitab Salafi boleh dihukum lemah, munkar, dan palsu walaupun ulama mereka sendiri mensahihkannya.)

Jika berani, bandingkan manhaj hadis Syeikh Ibnu 'Abd al-Wahhab dengan ulama-ulama utama Asha'irah yang lain dalam kitab akidah yang mengandungi bilangan hadis yang sama, baru buku bertemu ruas, kepala ke kepala, dan epal dengan epal. (Saya asalnya ingin membandingkan kitab al-Tawhid dengan hasyiah syarah Jawharah a-Tawhid, tapi tidak sepadan. Hanya sedikit hadis yang disebutkan.) Kita lihat siapakah sebenarnya yang jahil ilmu hadis.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

25 Jun, 13:47


Semalam anggota Ahli Jawatankuasa Pengelola tahfiz yang saya diamanahkan untuk menjaganya meninggal dunia. Arwah rapat dengan saya, bukan melalui arwah sendiri, tetapi isterinya, yang pernah bekerja dengan saya untuk beberapa tahun yang lalu.

Saya sedih mengenangkan pemergian beliau, namun yang lebih menyedihkan adalah keadaan keluarga yang ditinggalkannya. Selaku bekas rakan sekerja, saya dapat merasakan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh mereka sekeluarga. Tinggal di rumah sewa, kereta buruk, anak-anak bersekolah, makan catu; semuanya bergabung menjadi satu.

Pernah sekali saya memberikannya ayam seketul, lalu dibawanya balik untuk direbut oleh anak-anaknya. Mengenangkan kesusahannyalah saya berkali-kali membayar zakat fitrah kepadanya. Saya ingin memberikan lebih daripada itu, kepada semua orang susah, banyak dan berterusan, akan tetapi saya sendiri tidaklah sesenang yang disangka.

Sebelum ini saya memintanya untuk memohon zakat, namun sampai kini permohonan belum dibuat. Saya faham, kerana saya pernah menguruskan permohonan zakat untuk pelajar-pelajar tahfiz, dan untuk orang kampung dan miskin yang hidup kais pagi makan pagi, mengisi borang permohonan memerlukan kelapangan yang khusus. (Dan tadi, setelah musibah datang menguji, saya memintanya mengisi sekali lagi.)

Dan sebenarnya, wanita yang saya ceritakan ini graduan daripada Australia, dan kami ditakdirkan bertemu kerana syarikatnya tempatnya bekerja sebelum ini tutup. Walaupun kami hidup tidak senang, tapi alhamdulillah, kerana dengan susahlah kami mampu mengerti hakikat kehidupan.

Catatan-catatan Izzat Al-Kutawi

16 Jun, 12:59


Selain akaun FB/IG/ML/Twitter digodam, kami juga terima puluhan aduan berkenaan ugutan berkenaan #SexScam.

kebanyakan yang menjadi mangsa adalah kaum lelaki, tidak kira yang muda, tua semuanya tersungkur. Modus Operadi #SexScam ini sangatlah mudah. Tapi bilamana nafsu menguasai diri, yang ada PHD pun kecundang.

Kebanyakannya #SexScam ini dilakukan di platform Facebook dan Instagram. Si Scammer akan menggunakan profile jantina perempuan dan kemudian akan "add Friend" mangsa secara rambang. pada awalnya Scammer sembang biasa2 hinggalah si mangsa berasa senang, hubungan menjadi rapat dan untuk bercerita hal hal lucah. Dalam masa yang sama, si Scammer akan mengumpul data-data seperti fb senarai Ahli keluarga dan rakan-rakan si mangsa.

Apabila tiba masa yang sesuai, Si Scammer akan mengajak mangsa untuk Sex Video Call (VC). Secara realitinya Scammer ini mungkin seorang perempuan dan mungkin seorang lelaki. Ada yang real video call, ada yang menggunakan video yang diambil dari laman web lucah. Tapi kebanyakan video call Bog** tersebut diambil dari laman web lucah dan di Mirror kan sebagai webcam.

Dalam keseronokan Si mangsa melayan VC tersebut, si Scammer record segala apa yang berlaku. nah.. si Scammer akan ugut mangsa demi wang ringgit. jika tidak dibayar, maka video tersebut akan disebarkan kepada ahli keluarga, kawan-kawan dan akan di upload di web lucah.

Ada seorang mangsa yang mengadu kepada kami, setelah dibayar pun si Scammer masih meminta lagi duit dan total kerugian hampir RM5000 yang dibayar secara berperingkat. kebanyakan mangsa malu untuk buat laporan polis, risau diketahui oleh ahli keluarga.

Bank account yang diterima kebiasaanya menggunakan bank account seller2 barangan dan bank account tokey judi online. Ada juga yang menggunakan bank account seller shopee yang deal secara luar platform. purata yang ugutan yang diminta kebanyakan berjumlah RM1000 - RM5000.

Apa yang anda boleh buat jika terjebak dengan #SexScam ni?

Nasihat kami mudah je, JANGAN BAYAR. Block FB.. Bertaubat.. dan pergi tidur.. walaupun hakikatnya xlena nak tidur. ha ha ha.. sebab apa? sebab bukan kau sorang je jadi mangsa. berpuluh-puluh kami terima aduan setiap hari.

ingin lagi #DFHackTips dari kami? Tolong share agar tidak ada yang menjadi mangsa.