Apabila tiba musim konvokesyen, pasti akan teringat memori ini. Memori yang penuh dengan perasaan bercampur baur
Setiap kali teringat balik, saya senyum sendiri mengenang memori jual bunga lebih 20 tahun lepas. Kisah ni penuh drama dan debaran.
Mungkin ada yang pernah baca catatan saya sebelum ini, kali ini dengan olahan baru, versi 2024
---
1. Bagaimana ia bermula
Tahun 2005, saya dan seorang kawan bersemangat nak jual bunga sempena majlis konvokesyen di UIAM.
Masa tu saya baru grad 2 tahun dan memang bekerja sendiri. Maka idea jual bunga ini datang.
Modal? Masing-masing keluarkan RM1,000, satu jumlah yang sangat besar bagi kami ketika itu.
Itu kali pertama dan terakhir saya buat bisnes bunga konvo di UIA.
Rasa macam tengah buat pelaburan IPO! Tapi ini "IPO bunga." Hahaha
Masa tu, saya yakin sangat boleh balik modal dan untung besar. Dah siap congak-congak, keuntungan boleh cecah sekali ganda sebab tak ada kos sewa.
Kami beli bunga terus dari pembekal di Genting Highlands.
Atas kertas, kos sejambak bunga hanya satu pertiga harga jual.
Contoh, bunga kos RM20 dijual RM60, siapa tak nak untung macam tu?
Congakan awal kami, paling tidak boleh untuk sekalian da ditolak dengan kos ejen.
Ya, kami plan untuk cari ejen dan tawarkan komisen yang lumayan!
---
2. Bunga itu indah, tapi bisnes tidak semudah di atas kertas...
Maka bermulalah perjalanan kami sebagai usahawan bunga konvo.
Ia bermula dengan menghubungi pembekal bunga dari Genting Highlands, kami dapat harga yang menarik.
Pagi-pagi buta pembekal sampai untuk pindahkan bunga ke Kancil saya.
Nak dijadikan cerita, pada hari kejadian bisnes partner saya tu ambil skrol, maka saya seorang diri yang hadap semuanya.
Sebelum hari jejadian, saya lantik beberapa pelajar UIA jadi ejen dengan tawaran komisen 25%. Mereka tak perlu keluar modal langsung, cuma kena jual.
Siapa tak nak peluang "mudah" macam ni?
Namun, cabaran pertama muncul seawal hari pertama: ejen menarik diri sebab malu nak jual bunga.
Adoi, rupa-rupanya "jualan bunga" ni bukan semua orang boleh buat. Tinggal beberapa kerat ejen je yang berani hadap.
---
3. Cabaran seterusnya...
Selepas isu ejen, datang cabaran seterusnya iaitu Pak Guard.
Saya akui, masa tu kami berniaga tanpa permit sebab kos permit terlalu tinggi.
(AWAS: Jangan tiru aksi ini!)
Kalau takut dengan risiko usah bicara soal berniaga tanpa permit. Kah!!
Hari kedua, Pak Guard datang beri amaran keras: "Kalau awak terus berniaga, kami rampas barang!"
Panik? Mestilah!
Tapi pengalaman berdemo zaman mahasiswa dulu sedikit sebanyak membantu.
Saya guna taktik diplomasi tahap tertinggi. Hahaha!
Lepas “berjanji” tak akan berniaga di situ, saya pindah ke sana.
Saya menunaikan janji untuk tidak berniaga di tempat tadi, tapi tukar lokasi ke lokaai lain 😂
Tapi, sesi “main kejar-kejar” ni bukan sekali dua. Hari ketiga, saya dah macam pelarian dengan jambangan bunga di tangan.
Bayangkan, tengah asyik tawar-menawar, tiba-tiba nampak Pak Guard dari jauh. Terus cepat-cepat bagi diskaun harga untuk selesaikan jual beli.
Dalam hati, hanya tuhan sahaja yang tahu.
---
4. Bunga layu di tasik madu...
Tiba hari ketiga tiba, bunga pun mula terkulai layu.
Begitulah juga macam semangat saya ketika itu, terkulai layu di tasik madu. Huhu...
Ejen-ejen tak ada dah yang sanggup teruskan dalam keadaan sebegitu rupa.
Tinggal saya seorang untuk habiskan stok bunga yang masih banyak.
Betapa tragisnya, saya terpaksa jadi ejen, tauke, dan penghantar bunga sekaligus.
Alhamdulillah, pada hari terakhir, jualan kami akhirnya mencatat keuntungan kasar RM1,000. Selepas tolak modal dan kongsi dengan rakan kongsi, saya dapat RM400 bersih sahaja.
Jauh sangat dari sasaran asal RM1,000 seorang, tapi syukur tak rugi.
---
5. Bukan modal yang mahal, tapi pengalaman
Walaupun untung kecil, pengalaman ni terlalu besar nilainya.
Saya belajar banyak tentang strategi, risiko, dan ofkoz, diplomasi dengan Pak Guard.
Dan ya, saya akui ada unsur tidak patuh syariah sebab tak ada permit berniaga. Moga Allah ampunkan dosa saya.