koleksi pantun @pantun_pantunan Channel on Telegram

koleksi pantun

@pantun_pantunan


Pantun pantunan

Pantun pantunan (Indonesian)

Selamat datang di channel resmi "Pantun pantunan"! Jika Anda menyukai puisi pantun tradisional yang kaya akan makna dan humor, maka channel ini adalah tempat yang tepat untuk Anda. Dengan mengikuti channel kami, Anda akan dapat menikmati beragam koleksi pantun yang indah dan menghibur

Pantun merupakan salah satu warisan budaya Nusantara yang sangat populer. Pantun biasanya terdiri dari empat baris dengan pola berirama A-B-A-B, dan sering digunakan dalam berbagai kesempatan seperti pernikahan, pertemuan resmi, atau hanya untuk bersenang-senang. Dengan mengikuti channel "Pantun pantunan", Anda tidak hanya akan menambah pengetahuan tentang pantun, tetapi juga dapat terhibur dengan variasi pantun yang kami bagikan

Siapa yang seharusnya mengikuti channel kami? Semua orang yang mencintai sastra dan seni tradisional Indonesia pasti akan menemukan channel ini menarik. Mulai dari anak-anak hingga orang dewasa, pantun adalah karunia budaya yang dapat dinikmati oleh semua kalangan. Jadi, jangan ragu untuk bergabung dengan kami dan ikuti koleksi pantun yang akan kami bagikan secara berkala

Apa yang bisa Anda harapkan dari channel "Pantun pantunan"? Dengan mengikuti channel kami, Anda akan mendapatkan akses ke pantun-pantun terbaik dari berbagai daerah di Indonesia. Anda juga akan menemukan pantun lucu, pantun cinta, pantun jenaka, dan masih banyak lagi. Selain itu, kami juga akan memberikan informasi dan pengetahuan tentang sejarah pantun, serta cara membuat pantun sendiri. Jadi, jika Anda ingin menambah wawasan tentang seni sastra Indonesia, tidak ada salahnya untuk bergabung dengan channel kami

Jangan lewatkan kesempatan untuk menikmati keindahan dan kayaan bahasa Indonesia melalui pantun-pantun tradisional. Bergabunglah dengan channel "Pantun pantunan" sekarang juga dan jadilah bagian dari komunitas yang menghargai warisan budaya Nusantara. Terima kasih sudah bergabung dan selamat menikmati koleksi pantun kami!

koleksi pantun

16 Feb, 13:25


Racun

Tuan lencun hamba pun lencun
Lencun terkena ombak di bagan
Banyak racun antara racun
Racun cinta panah beragan

Anak India bawa pedati
Baju bertenun kembayat kasa
Ilmu hamba perkasa sakti
Racun diminum tiada berbisa

Cg Sam 16/2/25

koleksi pantun

16 Feb, 02:23


Dahan angsana timpa bidara
Daunnya jatuh tidak berbaki
Apalah guna songket sutera
Ulah si bodoh mengelap kaki

Cg Sam 16/2/25

koleksi pantun

15 Feb, 14:21


Kain apa dibuat baju?
Kain kutang usah dinampak
Kahwin paksa senyum tak mahu
Tahun berselang dah jadi emak

koleksi pantun

13 Feb, 02:31


Sigi

Cahaya bulan semakin malap
Pungguk termenung tepi perigi
Kala berjalan di malam gelap
Tiada jamung gunakan sigi

Tidaklah dapat hamba menyigi
Damar simpanan sudahlah habis
Andai tak dapat bintang yang tinggi
Teguh impian jangan menangis

Sigi : suluh daripada kayu atau buluh berdamar
Menyigi : menyuluh
Jamung : sejenis obor

Cg Sam 13/2/25

koleksi pantun

10 Feb, 15:25


Rampai

Rampai-rampai pembuka kata
Kata dibuka salam diberi
Sudah sampai atur dan cara
Majlis bermakna segera dirai

Bunga rampai harum pesona
Dalam cembul buatan perak
Dua mempelai dara teruna
Ijab dan kabul lalu diarak

Jika ingin membuat acar
Acar rampai dihiris nipis
Jika ingin memilih pacar
Tinggi lampai berkumis tipis

Rumput rampai lekat di belat
Udang kara terlepas lari
Jika tercapai hajat dan niat
Syukur segera kepada Ilahi

Cerita hikayat cerita rampai
Naga nan sasa bermata api
Andai hajat tidak tercapai
Terus asa cubalah lagi

Rampai : campuran berbagai-bagai

Cg Sam 10/2/25

koleksi pantun

10 Feb, 01:16


Terala

Asam Kandis tumbuh di laman
Jemur isinya di atas papan
Terala gadis elok senyuman
Ditambah pula kata nan sopan

Banyak selara jatuh di paya
Daun muraya gugur bertaut
Muda terala elok kerjaya
Dara sebaya jadi terpaut

Enak penganan bersalut gula
Susun teratur di dalam sangai
Kalau tuan muda terala
Jagalah tutur elok perangai

Penguat hulu oleh gegala
Hulu parang tiada berkarat
Andai laku lagak terala
Dipuji orang setinggi darjat

Terala : Luhur, mulia, maha tinggi
Muda terala : orang muda berpangkat tinggi
Selara : daun-daun kering

Cg Sam 10/2/25

koleksi pantun

03 Feb, 04:11


Israk Mikraj ii

Atas beranda dengar seloka
Cahaya pelita bersumbu tali
Hati baginda amat berduka
Isteri tercinta tiada kembali

Bianglala terbitnya pagi
Garisan belang warna berganda
Paman pembela telahpun pergi
Sedih dan walang hati baginda

Dengan falak itulah cara
Cari maklumat Tuhan yang kaya
Haiwan buraq jadi kendera
Lajunya amat pantas cahaya

Kala malam dingin terasa
Segera bangkit tiada berbantah
Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa
Langsung ke langit terima perintah

Ciptaan alam amatlah gharib
Ciptaan Tuhan rabbul alamin
Satu malam sangat ajaib
Pengukuh iman para mukminin

Elok terang cahaya bulan
Hilang menyusul sinar mentari
Israk mikraj bukan khayalan
Mukjizat rasul penghulu nabi

Cg Sam
27/1/25
Bukit Keteri, Perlis

koleksi pantun

24 Jan, 02:33


Jual - beli

Berikan kawan seekor bawal
Dengan parang potong bersegi
Jika tuan mahu menjual
Juallah barang bermutu tinggi

Sibuk ketua susun jadual
Tulisan tangan lapik di peti
Apa petua laku berjual?
Jual dengan ramah pekerti

Berbuai-buai di sawah padi
Ikatan tali dahan sebatang
Andai penjual seelok budi
Tentu pembeli berulang datang

Tanam cekur jarak sedepa
Tanam sejajar ulam pegaga
Penjual tegur pembeli sapa
Tawar-menawar adat niaga

Cg Sam 24/1/25

koleksi pantun

22 Jan, 01:26


Bahasa

Membelat puyu di bawah titi
Bawa sekunca daun bidara
Bahasa Melayu tuturan jati
Lingua franca di Nusantara

Dipuput bayu batang jerami
Di tepi peti dalam keranjang
Bahasa Melayu bahasa rasmi
Tuturan jati menjadi tunjang

Sebutir batu warisan bonda
Serlah gemilang intan baiduri
Bahasa itu lambangan minda
Lisan membayang isi nubari

Cg Sam 22/1/25

koleksi pantun

28 Dec, 09:00


Berlalu gelap jadi benderang
Hilang zulmat dengan suria
Kita berpencak tidak berperang
Satu matlamat pandaikan manusia

Zulmat : gelap, kegelapan, sesat tanpa hidayah

Cg Sam 28/12/24

koleksi pantun

22 Dec, 07:01


Dunia

Besi tumpat asal Persia
Taming kota elak celaka
Dunia tempat umat manusia
Memilih cinta atau petaka

Buah lada jatuh di tanah
Jatuh antara buah bidara
Mayapada bersulam fitnah
Elok waspada tika bicara

Tuan nakhoda di laut Sunda
Tangan melambai tegak berdiri
Marcapada berkalang noda
Pandailah pandai menjaga diri

Burung geroda sebalik awan
Matanya intan cakar suasa
Manjapada dunia kesmaran
Cinta akan pangkat kuasa

Marcapada / mayapada / manjapada : dunia sekarang ini
Tumpat : padat
Taming : perisai / benteng
Kesmaran : cinta, berahi, mabuk kepayang

Cg Sam 22/12/24

koleksi pantun

15 Dec, 14:32


Penangguhan majlis

Memasang lukah tepi muara
Pendayung lebar berkolek rata
Kata bertingkah alunan suara
Kadang tak sedar tersilap kata

Panas lecur daun bidara
Dipanah suria panas mentari
Andai terlanjur patah bicara
Serendah kata mohon maafi

Batang selasih sarang tempua
Pohon gedangsa tepi perigi
Terima kasih untuk semua
Di lain masa ketemu lagi

Cg Sam 15/12/24

koleksi pantun

10 Dec, 15:59


Masyghul

Kain randi lipat sekodi
Kain sarung corak seroja
Jenuh kami menanam padi
Kenapa menerung tuan membaja?

Dalam piring campuran rebung
Gaul sebati potongan limbat
Ayam biring jaguh bersabung
Sayang mati kaki bertambat

Pecah jong awak terdampar
Patah tiang di tepi lembah
Anak kandung menahan lapar
Dagang kenyang makan bertambah

Perca kain susun berpintal
Kain bercakuk dengan penyepit
Orang lain berlapik bantal
Kami duduk kebas berhimpit

Kain randi : sejenis kain sutera
Kodi : dua puluh helai kain
Menerung: tumbuhan rumpai
Limbat : sejenis ikan darat
Ayam biring : ayam jantan berkaki kuning
Jong : sejenis kapal

Cg Sam 10/12/24

koleksi pantun

06 Dec, 14:45


Laki bini

Teduh redup pangkal kuini
Tepi bukit di hujung pasar
Adat hidup berlaki bini
Silap sedikit usah dibesar

Kayu meranti pasak penambang
Pelantar besi berlapik kayu
Sayang laki bawa bersembang
Sayang bini dipujuk rayu

Pasang api di atas punggur
Hangat diri malam nan sejuk
Salah laki bini menegur
Salah bini laki memujuk

Ikan kerapu goreng berminyak
Singgang bujuk belum dijamah
Laki satu bininya banyak
Salah pujuk tak balik rumah

Cg Sam 6/12/24

koleksi pantun

06 Dec, 03:26


Pantun. Santun.

Dalam dusun tepian kota
Tugal ditarah kayu angsana
Dalam pantun disusun kata
Kalimat indah bersirat makna

Indah pantun baitan bahasa
Sungguh terasa jika tertusuk
Didengar santun diungkap bisa
Dalam kata makna terbentuk

Tumbuh merata tumbuh berumpun
Sebalik pohon asyik mendekut
Dalam kata maksud terhimpun
Penuh santun menjulang maksud

Serangkap pantun sejuta makna
Baitan kata tersusun indah
Bicara santun sangat mengena
Mendidik jiwa membuang gundah

Cg Sam 6/12/24

koleksi pantun

05 Dec, 14:16


Kayu gedangsa baur panah,
Diikat tali jadi pengukuh;
Iman binasa adap pun punah,
Pabila hati bersarang angkuh.

Cg Sam 5/12/24

koleksi pantun

03 Dec, 02:10


Hujan

Hujan rintik-rintik
Angkat kain jemuran
Pandang wajah adik
Abang tak keruan

Hujan turun malam
Sejuk sampai pagi
Adik kirim salam
Abang senang hati

Hujan tidak lebat
Langit jadi mendung
Pagi bangun lambat
Kongsi kain sarung

Hujan renyai-renyai
Lekas guna payung
Doa ramai-ramai
Mohon Allah tolong

Hujan makin deras
Air sungai naik
Semua orang cemas
Doa yang baik-baik

Hujan masih turun
Laut bergelora
Hati jadi runtun
Mohon jauh bencana

Tangan ikat anduh
Lapik limau purut
Mohon hujan teduh
Agar banjir surut

Monsun timur laut
Ombak hempas pantai
Hujan makin surut
Jiwa aman damai

Cg Sam 3/12/24

koleksi pantun

30 Nov, 08:16


Banjir

Bagailah mana hendak ke pulau
Tali rakit ditetak lading
Bagailah mana hati tak galau
Air dah naik melepasi tebing

Pokok puding tanam di pasir
Banyak burung merbuk dan balam
Andai tebing dinaik air
Alamat kampung akan tenggelam

Anak jelatang di pinggir kota
Tumbuh merata di pangkal rambai
Banjir datang tiada bermata
Miskin dan kaya rata dibadai

Cg Sam 30/11/24

koleksi pantun

29 Nov, 13:11


Banyak di padang rumput semalu
Leka mencangkul peluh membasah
Mata memandang berembah pilu
Bahu memikul membeban resah

*Doakan kesejahteraan kepada mangsa banjir

Cg Sam 29/11/24

koleksi pantun

28 Nov, 07:32


Hamparan ambal meletak badik
Sepasang capal jahitan jarang
Andai bebal berlagak cerdik
Alamat kapal membelah karang

Cg Sam 28/11/24

koleksi pantun

24 Nov, 15:29


Duta Sahsiah

Kota bukan sebarang kota
Kota indah berkibar panji
Duta bukan sebarang duta
Duta Sahsiah contoh terpuji

Bagaimana pasang pelita
Pelita buluh minyak yang penuh
Bagaimana memilih duta
Pilih contoh jalan senonoh

Warna merah bunga hiasan
Antara kekwa juga seruni
Duta sahsiah karamah insan
Teras membina negara madani

Anak kelah disambar tilan
Ikan keli di bawah titi
Duta sahsiah jadi misalan
Elok budi baik pekerti

Peluncuran Kit Atur Gerak Duta Sahsiah Perkasakan Karakter Karamah Insaniah Serentak Seluruh Negara pada 25/11/2024

Cg Sam 24/11/24

koleksi pantun

24 Nov, 15:15


Pantun Majlis : Negaraku

Negaraku lagu keramat
Sama dinyanyi sama sepakat
Raja berdaulat rakyat selamat
Negara makmur junjung harkat

Cg Sam 24/11/24

koleksi pantun

24 Nov, 15:08


Pantun Majlis : Ikrar Rukun Negara

Rukun negara lancar terhafaz
Tersusun indah bilangan panca
Tangan diangkat ikrar dilafaz
Seisi warga taat setia

Cg Sam 24/11/24

koleksi pantun

23 Nov, 02:31


Mulakan majlis

Tinggi lampai merah kesumba
Tepak ditatang buatan Rokan
Dekat dah sampai jauh dah tiba
Selamat datang kami raikan

Dulang ditatang dara sembilan
Molek puteri senyum dirai
Selamat datang hadirin dan taulan
Majlis berseri kami mulai

Terbit suria pandang tak jemu
Ada cahaya umpama bara
Amat ceria para tetamu
Izinkan hamba mula acara

Dikerling dara oleh andika
Selendang pilin butang suasa
Pentas acara segera dibuka
Mohon hadirin duduk selesa

Puteri Gemala duduk bersimpuh
Jari dirapat wajah nan cerlang
Majlis dimula usah bertangguh
Sempurnakan hajat gilang gemilang

Merah kesumba : merah tua
Pilin : berpintal, berbelit
Cerlang : bercahaya, cemerlang, elok

Cg Sam 23/11/24

koleksi pantun

20 Nov, 14:26


Patah tangga hilang pedoman
Rosaklah alang rumah melayu
Sungguhlah bunga banyak di taman
Tapi sayang tangkainya layu

Cg Sam 20/11/24

koleksi pantun

20 Nov, 13:32


Lara

Buah pauh buah rambutan
Buah jambu banyak kerengga
Biarpun jauh hujung lautan
Berakit bambu kuredah juga

Tumbuh merata pohon selasih
Tepian paya diragut rusa
Memberi cinta sepenuh kasih
Pastikan si dia membalas rasa

Sena bima sebalik ara
Kayunya ringan tidak berbara
Tentu sukma berduka lara
Bertepuk tangan sebelah saja

Bunga jeliti tumbuh di lembah
Harumnya bau reda amarah
Jika hati dikau berubah
Buta mataku berembah darah

Cg Sam 20/11/24

koleksi pantun

12 Nov, 16:14


Serakah

Tembusu merah tempat buaian
Si dara Jawa sopan melangkah
Nafsu amarah jika dilayan
Nescaya jiwa penuh serakah

Pungguk petah merayu bulan
Bulan purnama atas angkasa
Mengapa serakah jadi amalan?
Kerana gila pangkat kuasa

Lotong bersarang di dahan sekah
Tepat dipanah tuan puteri
Tatahukum berkalang serakah
Alamat punah isi negeri

Tepi perigi menjerat kedidi
Berhati-hati kala melangkah
Ke mana pergi sopan dan budi?
Hilang dilitupi nafsu serakah

Serakah : tamak, loba, rakus, lahap, kemaruk

Cg Sam 13/11/24

koleksi pantun

06 Nov, 11:49


Mundar-mandir di pekan Ipoh
Cuci mata sampai terleka
Orang pandir perangai hodoh
Buruk kata penuh prasangka

Cg Sam 6/11/24

koleksi pantun

06 Nov, 00:15


Jatuh - bangun

Habis memerun kail seluang
Dikail budak joran yang sekah
Jatuh bangun adat berjuang
Perlu bijak mengatur langkah

Kayu merawan kayu nyatuh
Kayu rasuk buatan tangan
Andai tuan takutkan jatuh
Usah masuk arena perjuangan

Pakai pontoh si muda lela
Pakai di lengan pengantin baru
Jika jatuh bangun semula
Bangun dengan semangat baharu

Cg Sam 6/11/24

koleksi pantun

30 Oct, 14:18


Pohon bidara di tanah landai
Tumbuh ara antara nanas
Saudara-mara sahabat handai
Erat dan mesra kasih bertunas

Cg Sam 30/10/24

koleksi pantun

29 Oct, 12:05


Perarakan rumah sukan

Dari Tenggara asal seroja
Warnanya bara menjadi tema
Merah membara semangat waja
Rubeus juara laungan bergema

Sedangkan bara dapat dipintal
Inikan lagi gupalan awan
Laut udara sangatlah kental
Sapphire beraksi bagai pahlawan

Keris laksamana besi nan waja
Kala melangkah usah disanggah
Kuning warna kemegahan raja
Citrine melangkah tangkas nan gagah

Apakah kilau di tanjung pura
Kilauan besi logam yang kekar
Hijau kemilau semangat juara
Emerald beraksi langkah pendekar

Cg Sam 28/10/24

koleksi pantun

29 Oct, 01:04


Cuba

Angkat timba
Dengan bahu
Belum cuba
Belum tahu

Usah sedu sedan
Simpan rasa hiba
Cuba nasib badan
Untung dapat laba

Pulau tempat mandi
Guna air perigi
Kalau tak menjadi
Boleh cuba lagi

Ambil akar tuba
Jerat burung nuri
Tidak berani cuba
Tentu gigit jari

Cg Sam 29/10/24

koleksi pantun

26 Oct, 12:07


Fitnah dan umpat

Daun pandan daun palas
Daun membalut isi ketupat
Azab Tuhan pasti membalas
Lancang mulut fitnah dan umpat

Buluh tumpat sangkar balan
Pangkal jati anak bebilis
Fitnah dan umpat jadi amalan
Tanda hati ditawan iblis

Paya diredah sambil bersembang
Kisah berkisar takhta kuasa
Sungguh mudah fitnah berkembang
Jaringan sosial media massa

Kuala Gula Kuala Kangsar
Tempat jejaka mengisi masa
Umpat dan cela enak didengar
Bahan jenaka berkalang dosa

Cg Sam 26/10/24

koleksi pantun

23 Oct, 13:10


Patah bengkawan rapat ke kaki
Balut sehasta kain pelikat
Andai kawan dapat rezeki
Sama-sama dapat manfaat

Cg Sam 23/10/24

koleksi pantun

22 Oct, 15:53


Fauna

Anak itik rendam sekawan
Anak puyuh disuap limbat
Usik-mengusik adat berkawan
Biar kukuh tali sahabat

Burung bayan memintas elang
Ketawa ulat di mulut pekaka
Janganlah kawan berhati walang
Ada sahabat penawar luka

Ibu merpati di pucuk jati
Melihat sawa ditanduk rusa
Kawan sejati luhur pekerti
Duka dan tawa sama dirasa

Induk haruan melihat sapi
Sapi tua mengejek ungka
Jika kawan bermurung sepi
Hiburkan ia dengan jenaka

Cg Sam 22/10/24

koleksi pantun

19 Oct, 12:02


Derita

Jalan menunduk terima kurnia
Anugerah kurnia di dalam peti
Adat hidup atas dunia
Derita bahagia silih berganti

Pisang berangan banyak di taman
Di situ kebun tuan pendeta
Awas dengan manis senyuman
Ada racun bikin derita

Senjakala pasang pelita
Cerah merata batas dan titi
Dari mana datang derita?
Sakit derita sarang di hati

Tumbuh merata pohonan jati
Jati tembaga di Pulau Sunda
Jika derita menyerang hati
Cari penawar pasrah dan reda

Cg Sam 19/10/24

koleksi pantun

18 Oct, 14:24


Andai langsat lebat berbuah
Kumpul semua di dalam jaring
Andai dapat gading bertuah
Tanduk yang lama letak seiring

Cg Sam 18/10/24

koleksi pantun

18 Oct, 03:08


Susun beratus batu marjan
Batu kapur tetap berguna
Hilang kabus, teduh hujan*
Bumi subur hijau saujana

Peribahasa : hilang kabus, teduh hujan
Mendapat kesenangan setelah menderita kesusahan

Cg Sam 18/10/24

koleksi pantun

16 Oct, 03:44


Kawan

Tanam tebu susunan rapat
Tepi huma antara paya
Kawan beribu mudah didapat
Manakan sama sahabat setia

Mengail ruan pangkal merawan
Dapat petutu banyak isinya
Sebelum tuan menyapa kawan
Lihatlah dulu riak wajahnya

Letak tawas dalam cawan
Kain surih panjang seela
Awas-awas memilih kawan
Salah pilih mendapat bala

Ikan haruan ikan sepat
Dalam perigi dikail dara
Ini kawan sangatlah rapat
Tempat kami gurau dan lara

Cg Sam 16/10/24

koleksi pantun

13 Oct, 04:00


Jodoh

Dalam seloroh cuba mengurat
Padankan seluar baju berbelang
Jika jodoh sudah tersurat
Tiadalah aral jadi penghalang

Batas dipijak padi pun roboh
Tenggala dikalih kerbaunya lari
Hendaklah bijak memilih jodoh
Salah pilih merana diri

Pasangkan anduh tangan kekanda
Sakit terasa sukar dikesan
Kalau jodoh tuan tak kena
Cubalah pula menjadi besan

Cg Sam 13/10/24

koleksi pantun

12 Oct, 13:48


Benih kepayang tumbuh di kali
Orang darat banyak petua
Kasih dan sayang ibarat tali
Jika dikerat putuslah nyawa

Cg Sam 12/10/24

koleksi pantun

12 Oct, 02:49


Diedit agar lebih gramatis.

Bunga cengkih di dalam laci
Bunga lawang bercampur badam
Jika kasih bersulam benci
Nescaya sayang berbaur dendam

Cg Sam 12/10/24

koleksi pantun

12 Oct, 02:05


Bunga cengkih di dalam laci
Bunga lawang bercampur badam
Andai kasih berbalas benci
Tentulah sayang berkalang dendam

Cg Sam 12/10/24

koleksi pantun

11 Oct, 12:30


Biji selasih buah kepayang
Kering dijemur tepi telaga
Menyemai kasih menuai sayang
Tentu makmur jiwa dan raga

Cg Sam 11/10/24

koleksi pantun

29 Sep, 21:27


Manis sekali rasanya tebu
Tanam tebu tepi penaga
Apa bukti kasihnya ibu?
Kasih ibu sampai ke syurga

koleksi pantun

25 Sep, 12:37


Tumbuh rendah pohon jeliti
Bikin hati jadi berkenan
Kasih sudah lekat di hati
Bermakna janji bukan mainan

koleksi pantun

24 Sep, 13:23


Terbang tempua sama kedidi
Burung geroda turut berteman
Andai yang tua tiada berbudi
Tentu yang muda hilang pedoman

koleksi pantun

22 Sep, 02:07


Kerongsang disemat bertudung litup
Molek sekali pakaian purdah
Nabi Muhammad rasul penutup
Zahir rohani lengkaplah sudah