NIAT & TEKAD PUASA SUNAT HARI PUTIH, GANJARANNYA UMPAMA PUASA SETAHUN
Puasa sunat hari putih adalah puasa sunat selama tiga hari di setiap pertengahan bulan Islam (Hijriah), iaitu pada tanggal 13, 14 dan 15 hari bulan. Dinamakan hari putih kerana bulan purnama bersinar terang pada malam-malam tersebut.
Banyak hadis yang menjelaskan berkaitan puasa hari putih, kelebihan beramal dengannya termasuk dari sudut sains. Pahala sunnah ini seumpama berpuasa sepanjang tahun. Allahu Akbar, sungguh besar gandaan pahala Allah kurniakan buat umat Nabi Muhammad SAW.
Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa pada hari bidh (putih) iaitu pada 13, 14 dan 15. Baginda berkata: hari-hari tersebut umpama setahun.” (HR Abu Daud, hadis sahih)
Diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah RA :
كانَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَصُومُ حتَّى نَقُولَ: لا يُفْطِرُ، ويُفْطِرُ حتَّى نَقُولَ: لا يَصُومُ، فَما رَأَيْتُ
رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إلَّا رَمَضَانَ، وما رَأَيْتُهُ أكْثَرَ صِيَامًا منه في شَعْبَانَ
Maksudnya : ”Rasulullah SAW senantiasa berpuasa sehingga kami berkata beliau tidak berbuka, dan beliau senantiasa berbuka sehingga kami berkata beliau tidak berpuasa. Maka aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh kecuali Ramadan, dan aku tidak melihat puasa beliau yang lebih banyak dibandingkan puasa bulan Sya’ban.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
• NIAT PUASA HARI PUTIH (AYYAMUL BIDH)
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.”
• NIAT PUASA SUNAT SYAABAN :
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ شَعْبَان سُنَّة اللَه تَعَالَى
Maksudnya : Sahaja aku niat puasa sunat pada bulan Syaaban kerana Allah Ta’ala
🔶 InsyaAllah, berikut merupakan tarikh puasa hari putih & juga Syaaban :
🔹RABU 13 SYAABAN 1446H , 12 FEBRUARI 2025
1. Puasa Sunat Hari Putih
2. Puasa Sunat Syaaban
🔹KHAMIS 14 SYAABAN, 13 FEBRUARI 2025
1. Puasa Sunat Hari putih
2. Puasa Sunat Syaaban
3. Puasa Sunat Hari Khamis
🔹JUMAAT 15 SYAABAN, 14 FEBRUARI 2025
1. Puasa Sunat hari Putih
2. Puasa Sunat Syaaban
InsyaAllah, kita cuba berniat & melaksanakan puasa hari putih pada bulan ini bermula 12-14 Februari 2025 bersamaan 13-15 Syaaban 1446H (Rabu, Khamis & Jumaat) ini.
Semoga bermanfaat buat semua.