Dr. Ahmad Sanusi Azmi

@drahmadsanusiazmi


Telegram rasmi Dr. Ahmad Sanusi Azmi.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

19 Oct, 23:01


Tangan-tangan Yang Terputus
==========
1. Analisis video pertempuran YS menyaksikan kecederaan parah pada tangan yang dialami beliau sehingga tangannya diikat dengan dawai. Tubuh beliau menjadi saksi perjuangan mulia ini mengimbau pengorbanan para sahabat.

2. Demi memartabatkan kalimah Allah, para sahabat bertungkus-lumus memperjuangkan Islam. Ada dalam kalangan mereka yang terkorban, ada dalam kalangan mereka yang hilang anggota. Kami senaraikan di sini, beberapa orang sahabat yang terputus tangannya ketika berjihad. Antaranya:

3. Tangan Mus'ab bin Umair. Menurut riwayat Ibn Sa'ad, tangan Saidina Mus'ab bin Umair telah terputus dalam Perang Uhud. Beliau memegang panji tentera Islam lalu tangannya ditebas oleh Ibn Qami'ah.

4. Tangan Ja'far bin Abi Talib. Tangan Saidina Ja'far dikatakan terputus keduanya dalam Perang Mu'tah. Rasulullah ﷺ menangis mendengar perkhabaran ini dan menyifatkan Ja'far seorang yang akan diberikan sayap di syurga.

5. Tangan Nusaibah binti Ka'ab. Saidatina Nusaibah ialah contoh ibu pejuang. Beliau telah menyertai Perang Yamamah dan terputus tangannya dalam perang tersebut. Malah anaknya syahid di medan jihad.

6. Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan mereka yang memartabatkan agama Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

15 Oct, 23:54


Sujud Menghapuskan Dosa
========
1. Sungguh luar biasa amalan sujud ini. Biarpun meletakkan kepala dilantai, Allah mengangkat kedudukan seseorang, malah menghapuskan dosanya apabila dia tunduk dan patuh kepada Allah. Ini kerana sujud pada hakikatnya mengagungkan Allah serta menundukkan jiwa muslim sepenuhnya kepadaNya.

2. Sabda Rasulullah ﷺ:

عَلَيْكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ لله؛ فَإِنَّكَ لا تَسْجُدُ لله سَجْدَةً إِلَّا رَفَعَكَ الله بِهَا دَرَجَةً، وَحَطَّ عَنْكَ بِهَا خَطِيئَةً

"Perbanyakkan sujud, kerana sesungguhnya kamu tidak sujud melainkan Allah mengangkat darjat kamu dengannya serta menghapuskan dosa." (HR Muslim)

3. Rasulullah ﷺ bukan sahaja sujud saat mendirikan solat, bahkan segala kegembiraan dalam hidupnya akan dikaitkan melalui hubungan dengan Allah. Saidina Abu Bakrah menceritakan:

أنه - صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمْ كان إذا أتاه أمر يَسرُّه أو يُسَرُّ به، خر ساجداً، شكراً لله تبارك وتعالى

"Sesungguhnya Nabi SAW sekiranya sampai kepada Baginda sesuatu yang menyenangkan dan menggembirakan Baginda, maka Baginda lantas sujud, bersyukur kepada Allah."

4. Begitu juga andai dilanda kesusahan, Baginda akan segara mengadu kepada Allah. Begitulah hidup Baginda sering diikat dengan ketundukan dan kepatuhan kepada Allah.

5. Sifat Ubudiyyah ini (mengabdikan diri kepada Allah), tidak sesekali merendahkan kedudukan manusia, malah mengangkat kedudukannya serta menghapuskan dosa hamba disisi Tuhannya.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
telegram.me/drahmadsanusiazmi

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

07 Oct, 22:55


Tidak Mendedahkan Aib Pasangan
======
1. Suami dan isteri itu sifatnya saling melindungi. Dalam al-Quran, Allah memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka,  dan memelihara dari disakiti. Firman Allah:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

“Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)

2. Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Kata beliau:

جعل اللباس كناية عن الزوج لكونه ستراً لنفسه ولزوجه أن يظهر منهما سوء

“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”

3. Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Mereka mungkin sekadar berniat untuk bergurau, namun ia dibimbangi mendedahkan keburukan pasangan tanpa disedari.

4. Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka. Sabda Rasulullah:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا

“Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)

5. Begitu juga menurut Rasulullah, sebaik-baik wanita itu adalah yang menjaga hak suaminya. Sabda Rasulullah:

خيرُ النِّساءِ امرأةٌ إذا نظرتَ إليها سرَّتك، وإذا أمرتَها أطاعتك، وإذا غبتَ عنها حفظتَك في نفسِها ومالِك

"Sebaik-baik wanita itu adalah wanita yang tenang hatimu saat memandangnya, dia taat kepadamu saat disuruh, dan ketika engkau tiada, dia menjaga kehormatannya dan memelihara hartamu." (HR Abu Daud al-Tayyalisi)

6. Benarlah kata Sheikh al-Tantawi bahawa melalui ayat ini, Allah mendidik manusia bagaimana setiap pasangan itu seharusnya rapat seperti rapatnya pakaian kepada tubuh badan seseorang, ia melindungi dari segala yang boleh menyakiti.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

05 Oct, 23:07


Allah Yang Mencampakkan Rasa Kasih
=====
1. Kisah Nabi Musa yang diselamatkan dari dibunuh oleh Firaun telah dipersembahkan di dalam al-Quran dengan ungkapan yang menarik. Allah menjelaskan bahawa Dia-lah yang mencampakkan rasa kasih ke dalam hati manusia. Firman Allah:

وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّي وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِ

“dan Aku telah tanamkan perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.” (Surah Taha: 39)

2. Menurut al-Imam al-Sa’di, maksud ayat ini ialah Allah menjadikan sesiapa yang melihat Nabi Musa akan jatuh rasa kasih dan suka kepadanya. Kata beliau:

فكل من رآه أحبه

“Maka sesiapa sahaja yang melihatnya (iaitu Nabi Musa) akan rasa kasih kepadanya.” (Tafsir al-Sa’di)

3. Konsep ini pernah dijelaskan oleh Baginda Nabi yang menyebutkan bahawa andai sekiranya Allah menyayangi seseorang, maka dia akan perintahkan seluruh penduduk langit menyayangi hamba tersebut. Sabda Rasulullah:

ثُمَّ يُنَادِي فِي السَّمَاءِ فَيَقُولُ : إِنَّ اللهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ ، فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، قَالَ ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ

“Kemudian akan diseru di langit: “Sesungguhnya Allah menyayangi seseorang tersebut, maka hendaklah kamu semua menyayanginya, lalu seluruh penduduk langit menyayanginya dan kemudian dia diterima oleh seluruh penduduk di muka bumi.” (HR Muslim)

4. Oleh yang demikian, kita hendaklah menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada segala perintah dan larangannya disamping memperbanyakkan amalan sunnat. Kasih Allah kepada kita menjadikan kita dikasihi oleh makhluk yang lain.

5. Ayat ini turut mengingatkan kita tentang bagaimana Allah-lah yang mencampakkan rasa kasih ke dalam hati manusia. Oleh yang demikian, janganlah kita merasa hairan melihat orang-orang yang soleh dikasihi oleh manusia.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

04 Oct, 23:00


Jom daurah hadis pagi ini di Yayasan Maghfirah, Bangi jam 930 inshaAllah

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

04 Oct, 22:59


NAK BELAJAR ILMU HADITH?
JOM SERTAI KELAS PENGAJIAN DAURAH KITAB PUSAT KOMUNITI YAYASAN MAGHFIRAH 2024

‎بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
‎السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Pusat Komuniti Yayasan Maghfirah akan mengadakan Kelas Pengajian Daurah Kitab Pusat Komuniti YM secara terbuka kepada semua.

Berikut adalah butiran maklumat tentang kelas pengajian pada bulan ini:

TARIKH: 5 OKTOBER| SABTU (Pengajian Hadith)
MASA : 9.30 AM - 12.00 PM
TEMPAT: PUSAT KOMUNITI YAYASAN MAGHFIRAH, TAMAN PUTRA KAJANG, SELANGOR

ANTARA YANG MENARIK TENTANG KELAS PENGAJIAN PUSAT KOMUNITI INI 😍😍

PENYERTAAN ADALAH PERCUMA
SESI Q&A BERSAMA TENAGA PENGAJAR
BERTALAQI DAN BELAJAR SECARA BERSEMUKA
MENDERMA MELALUI TABUNG SUMBANGAN PUSAT KOMUNITI YM

BERMINAT
AYUH LOCK TARIKH ANDA SEKARANG‼️‼️

Sebarang pertanyaan dan makluman boleh hubungi:
019-7347633 (En. Badrul)

Ikuti Sosial Media rasmi Pusat Komuniti YM
https://linktr.ee/puskomym

Mari Menyumbang bersama Tabung Pusat Komuniti YM
https://www.billplz.com/puskomym

"Wadah Dakwah Anda"

#daurahkitab #fiqah
#PuskomYM
#PusatKomunitiYM

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

04 Oct, 03:35


Salam Jumaat 🤲🏼

Mari berinfaq untuk kelas mengaji Al Quran dan buku Iqra' Anjung Hikmah. Semoga Allah SWT mengganjari Tuan Puan dengan pahala yang besar dan berganda diatas sedekah di hari Jumaat ini.

Tekan di sini untuk berinfaq :
https://pusatkomunitianjunghikmahhq.onpay.my/order/form/tajaankelasmengajihariananjunghikmah

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

30 Sep, 23:01


Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat
==========
1. Sekiranya anda ingin mendapat doa daripada para malaikat, maka jadilah sebahagian daripada golongan yang disebutkan di dalam hadis Nabi ﷺ ini iaitu:

2. Golongan yang bersedekah. Orang yang bersedekah akan menerima doa daripada para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ العِبَادُ فِيهِ، إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا

“Tiada satu pagi yang datang melainkan diutuskan dua malaikat dan salah satu malaikat tersebut berdoa: Wahai Tuhanku, berilah pemberi sedekah gantian (yang lebih baik).” (HR al-Bukhari)

3. Golongan yang menunggu waktu solat. Golongan ini sangat istimewa di sisi Allah kerana seakan-akan sentiasa dia rindu untuk bertemu dengan Allah di dalam solatnya. Golongan ini akan mendapat doa keampunan dari para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ:

المَلاَئِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ، مَا لَمْ يُحْدِثْ  اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ

“Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan suci. Doa malaikat: Ya Allah ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.”(HR al-Tirmizi)

4. Golongan yang mengajarkan kebaikan. Golongan ini amat istimewa di sisi Allah. Ini kerana bukan sahaja para malaikat mendoakan mereka, Allah yang Maha Agung serta penduduk langit dan bumi mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan. Sabda Rasulullah ﷺ:

انَّ اللَّهَ وملائِكتَهُ وأَهلَ السَّماواتِ والأرضِ حتَّى النَّمْلةَ في جُحْرِها وحتَّى الحوتَ - ليُصلُّونَ على معلِّمِ النَّاسِ الخيرَ

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya serta ahli langit dan bumi sehinggakan semut dalam batu dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan.” (HR al-Tirmizi)

5. Golongan yang menziarahi kerana Allah. Rasulullah ﷺ turut menjelaskan bahawa orang yang menziarahi orang yang sakit, atau menziarahi saudaranya ikhlas kerana Allah, maka dia akan memperoleh doa dari para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللهِ نَادَاهُ مُنَادٍ أَنْ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الجَنَّةِ مَنْزِلاً

“Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.” (HR al-Tirmizi)

6. Rebutlah peluang untuk menjadi orang yang di doakan oleh Allah dan para malaikatNya ini. Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi