Seorang sahabat mestilah menjaga adab-adab terhadap sahabatnya, iaitu bahawa ia:
1. Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya. Jikalau ia tidak kuasa berbuat demikian maka sekurang-kurangnya hendaklah ia memberikan kepada sahabatnya apa-apa yang lebih dari hajat dirinya.
2. Menolong sahabat dengan diri pada segala hajatnya dengan cara bersegera, sebelum berkehendak sahabatnya bahawa ia meminta tolong akan dia.
3. Menyembunyikan rahsia sahabatnya.
4. Menutup keaiban sahabatnya.
5. Berdiam daripada menyampaikan perkataan orang lain yang mencela sahabatnya.
6. Menyampaikan segala perkataan orang lain yang memuji akan sahabatnya.
7. Mendengarkan dengan baik akan perkataan sahabatnya ketika ia bercakap-cakap.
8. Meninggalkan berbantah dengan sahabatnya.
9. Memanggil sahabatnya dengan nama yang terlebih disukainya.
10. Memuji sahabatnya dengan apa yang diketahui daripada kebaikannya.
11. Berterima kasih kepada sahabatnya atas segala kebaikannya.
12. Mencegahkan orang lain apabila ia mahu mengumpat sahabatnya seperti ia membela dirinya sendiri.
13. Memberi nasihat dengan cara yang lemah lembut dan dengan bahasa yang halus apabila ia berkehendak menasihati sahabatnya.
14. Memaafkan dari kesilapan dan kesalahan sahabatnya, maka janganlah ia mencelanya.
15. Mendoakan sahabatnya apabila ia duduk bersendirian, ketika sahabatnya itu masih hidup ataupun setelah ia mati.
16. Mengekalkan kecintaan terhadap keluarga sahabatnya setelah kematian sahabatnya.
17. Jangan suka memberatkan sahabatnya dengan beban dan tanggungjawab, bahkan hendaklah ia meringankan darinya supaya ia sentiasa senang hati kepadanya.
18. Menyatakan rasa kesukaan dengan segala yang menyukakan hati sahabatnya, dan juga menyatakan rasa kesusahan pada segala yang menyusahkan hati sahabatnya.
19. Menyamakan antara hakikat kecintaan yang wujud di dalam hati dengan apa yang nampak di luar, maka dengan itu barulah kecintaan itu dianggap benar.
20. Memulakan memberi dalam ketika ia menemui sahabatnya.
21. Meluaskan tempat duduk kepada sahabatnya ketika ia masuk ke dalam majlis. Dan hendaklah ia berpindah dari tempat duduknya itu ke tempat yang lain ketika ia tidak dapat berbuat demikian.
22. Hendaklah ia bangkit mengantarkan sahabatnya itu (sehingga sampai ke pintu rumahnya) ketika ia keluar dari rumahnya.
23. Hendaklah ia berdiam ketika sahabatnya bercakap-cakap sehingga ia selesai dari percakapannya dan janganlah ia suka mencelah ketika sahabatnya sedang bercakap-cakap.
Ringkas kata, hendaklah seorang sahabat itu bermu’amalah atau bergaul dengan sahabatnya seperti cara yang ia suka orang lain bermu’amalah dengannya. Maka sesiapa yang tidak mencintai untuk sahabatnya akan sesuatu yang ia cintai bagi dirinya sendiri, maka persahabatannya masih tidak ikhlas dan masih mempunyai anasir-anasir (tanda-tanda) munafik dan persahabatan itu akan membawa kebinasaan di dunia dan di akhirat.
Maka inilah adab-adab yang mesti engkau jaga pada hak saudaramu yang engkau jadikan dia sebagai sahabat karib.
Imam Al Ghazali Rahimullahu Taala.