๐ง๐๐๐ฆ ๐ฃ๐๐ก๐จ๐ ๐ช๐๐ฅ๐๐๐ ๐ ๐๐ ๐ข๐ฅ๐๐ก๐๐จ๐ ๐ฅ๐๐๐ฌ๐๐ง ๐ฎ๐ฏ ๐๐๐ก๐จ๐๐ฅ๐ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฐ
Ampun Tuanku,
Sembah patik mohon diampun.
MERAFAK SEMBAH WARKAH MEMORANDUM RAKYAT
Patik-patik sekalian dengan penuh hormat dan takzimnya merafakkan sembah maklum bahawa patik-patik semua mewakili rakyat jelata sekalian ingin menyembah.
Warkah Memorandum Rakyat yang membawa rasa gundah gulana rakyat jelata.
Seluruh rakyat Tuanku terutamanya orang Melayu dan umat Islam merasa sangat tertekan, bimbang, cemas dan takut dengan keadaan Tanah Air kita tercinta ini di bawah pentadbiran dan kepimpinan sekarang kerana gagal menguruskan negara.
Ampun Tuanku,
Sembah patik mohon diampun
Tujuan patik menyembah Warkah Memorandum Rakyat ini adalah untuk :
1. Menjunjung sembah kepada Kebawah DYMM Tuanku ketaatan patik rakyat Tuanku terhadap fitnah yang telah dikemukan kepada diri DYMM Tuanku dan Institusi Raja-Raja.
2. Menzahirkan penderitaan rakyat berkaitan suasana sosio-ekonomi negara pada hari ini.
3. Mengharapkan Kebawah DYMM Tuanku menilai semula kepimpinan negara dan melakukan sesuatu demi menyelamatkan masa depan rakyat dan negara.
Ampun Tuanku,
Sembah patik mohon diampun
Izinkan patik-patik semua menukilkan keadaan rakyat dan menyatakan perkara-perkara yang menjadi kerisauan rakyat sekalian :-
1. Rakyat berasa terguris di atas kebiadapan Perdana Menteri dan sebahagian pemimpin negara yang menghina Kebawah DYMM Tuanku, mengheret kepada isu rasuah yang sepatutnya tidak berlaku dan ini telah mencemarkan kedudukan Kebawah DYMM Tuanku dan negara keseluruhannya.
2. Kadar bunuh diri terutamanya di kalangan orang-orang Melayu sedang meningkat naik disebabkan oleh tekanan ekonomi. Keadaan ekonomi yang semakin parah menyebabkan rakyat menderita. Harga barang asas naik tanpa kawalan. Malangnya, tekanan dan kesengsaraan ini tidak disusuli dengan tindakan tuntas dari pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.
3. Hari ini dunia telah mentertawakan negara disebabkan oleh tingkah laku pemimpin yang dilihat tiada integriti dalam menguruskan negara dan tidak mampu menyelesaikan masalah di atas pertelingkahan yang berlaku.
4. Pencerobohan kepada kuasa-kuasa Raja-Raja Melayu melalui tindakan-tindakan Mahkamah semakin menjadi-jadi dan semakin tidak terkawal.
5. Umat Islam dan anak-anak mualaf Islam dimurtadkan melalui keputusan-keputusan Mahkamah. Kuasa-kuasa perundangan syariah yang merupakan kuasa Raja-Raja Melayu, dimansuhkan satu per satu. Ini secara tidak langsung menghina Institusi Raja-Raja yang menaungi agama Islam. Dalam masa yang sama pemimpin negara pula dilihat seolah-olah berlepas tangan dan ini sangat mendukacitakan umat Islam.
6. Media melaporkan penglibatan langsung pihak-pihak ejen perisikan luar ke atas negara ini amat-amat membahayakan keselamatan negara termasuk kedudukan Kebawah DYMM Tuanku dan Institusi Raja-Raja Melayu.
7. Penghinaan terhadap Islam semakin meningkat. Perpaduan kaum yang menjadi nadi kepada kestabilan dan kemakmuran negara semakin tergugat dan tegang akibat penghinaan yang berlaku ini. Kefahaman liberal, pluralisme serta postnormal yang dibawa oleh sebahagian pemimpinsemakin mengakar di kalangan rakyat. Natijahnya akan membawa kepada keruntuhan Institusi Raja-Raja dan agama Islam.
8. Pemaksaan perubahan-perubahan dasar struktur-struktur asas Perlembagaan melalui cabang-cabang kuasa Legislatif, Eksekutif dan Judisiari sehingga menjejaskan kepentingan sah Melayu dan Islam yang dinaungi Kebawah DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal. Jika ia dibiarkan berterusan, asas negara ini sebagai sebuah negara dengan asas Melayu dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah negara ini akan terhakis dengan pantas. Ini situasi yang amat membimbangkan.
Ampun Tuanku,
Sembah patik mohon diampun.
Kegagalan kerajaan ini menguruskan pelbagai isu dan perkara serta meletakkan rakyat-rakyat Kebawah DYMM Tuanku di dalam situasi tertekan secara ekonomi, emosi dan kesejahteraan, perlu ditangani dengan segera.