Nota Musaddad

@musaddads


تقييد العلم بالكتابة = Ilmu ditambat dengan penulisan

Nota Musaddad

07 Oct, 08:51


Ibn Taymiyyah ditanya: Apakah sumber rezeki terbaik?

Beliau menjawab: Tawakal kepada Allah, percaya dengan pembahagian-Nya, bersangka baik dengan-Nya dalam urusan rezeki.

Bekerjalah apa-apa pun, tetapi yang penting jangan lupa menggantungkan harapan kepada Allah.

—• al-Waṣiyyah al-Sughrā

Nota Musaddad

07 Oct, 02:01


Maksud "Astaghfirullah":

"Saya meminta perlindungan kepada Allah, daripada kesan buruk dosa-dosa saya yang terdahulu."

—• Sharḥ al-Ṭaḥāwiyyah, 2/452

Nota Musaddad

07 Oct, 01:50


Fiqh Taubat:

Termasuk cara memadamkan dosa adalah dengan melakukan amal soleh yang sejenis dengan dosa tersebut.

Seperti dosa mendengar muzik, cuba padamkan dengan amalan mendengar al-Quran.

Dosa melihat aurat haram, cuba padamkan dengan melihat dan meneliti al-Quran.

Dosa mengumpat yang haram, cuba padamkan dengan membaca al-Quran dan memperbanyakkan zikir.

Begitulah sebagainya.

Fiqh ini diambil daripada pesanan Nabi ﷺ kepada Muaz bin Jabal:

وأتبعِ السيئة الحسنة؛ تمحُهَا

"Turutilah amalan jahat dengan amalan baik, nescaya amalan baik akan menghapuskan amalan jahat."

• • • • •

Tetapi hati-hati, jangan bermudah-mudahan.

Jangan kata, "Bagilah aku buat maksiat ini, nanti aku padam semula dengan amalan kebaikan."

Kerana:—

- semakin buat dosa, semakin sukar buat amalan; dikhuatiri maksiat yang dilakukan dalam sedar itu menjadi penghijab untuknya bertaubat.

- mati itu bila-bila; takut-takut mati sebelum sempat bertaubat dan beramal soleh.

- taubat hanya dikira dengan azam untuk tidak melakukannya; jika dia merancang untuk melakukannya semula, taubatnya tidak dikira.

Semoga Allah bimbing kita semua.

Nota Musaddad

07 Oct, 01:30


Tabiat manusia pasti melakukan dosa, sama ada dengan melaksanakan larangan Allah, atau meninggalkan perintah-Nya; sama ada sedar atau tidak.

Tidak dapat tidak, pasti berdosa.

Justeru setiap manusia hampir pasti akan binasa dalam neraka. Kecuali orang-orang yang bertaubat. Merekalah orang beriman.

• • • • •

Isyarat hal ini dalam Quran:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا (72) لِيُعَذِّبَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِينَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوبَ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

"Sungguh, Kami menawarkan amanah (iaitu perintah dan larangan syarak) kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi mereka tidak sanggup memikulnya;

lalu manusia menyanggupi untuk memikulnya; padahal manusia itu sangat zalim, sangat bodoh. (Mereka pasti akan melanggar amanah tersebut.)

Sehingga Allah mengazab orang munafik, lelaki dan perempuan, orang musyrik, lelaki dan perempuan (kerana melanggar amanah tersebut);

sementara itu, Allah akan menerima taubat orang beriman, lelaki dan perempuan. Allah itu Maha Pengampun, Maha Mengasihani."

• • • • •

Semoga Allah membimbing kita untuk terus bertaubat, dan mematikan kita dalam keadaan bertaubat.

Nota Musaddad

06 Oct, 11:25


Firman Allah SWT:

إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

"Sesungguhnya rahmat Allah dekat dengan orang yang melakukan ihsan."

• • • •

Ayat ini menunjukkan:

(1) Rahmat Allah dekat dengan orang melakukan ihsan.

Ini dalālat al-manṭūq.

(2) Melakukan ihsan adalah sebab mendapat rahmat Allah.

Ini dalālat al-tanbīh wal-īmāʾ.

(3) Orang yang tidak ihsan, tidak mendapat rahmat Allah.

Ini dalālat mafhūm mukhālafah.

(4) Semakin banyak melakukan ihsan, semakin banyak rahmat Allah diperolehi.

Ini dalālat mafhūm muwāfaqah.

(5) Menahan marah dan memaafkan orang adalah sebab mendapat rahmat Allah.

Ini ditunjukkan dengan dalālat al-taḍammun, berdasarkan 3:134 melalui dalālat al-tanbīh wal-īmāʾ.

• • • • •

Mengetahui bentuk-bentuk dalālah membantu untuk memandang teks-teks wahyu dengan lebih luas.

Nota Musaddad

27 Sep, 21:54


Imam Asyhab (w. 204H) mengirim surat kepada seorang lelaki yang banyak mengutuknya:

أما بعد، فإنه لم يمنعني أن أكتب إليك أن تتزايد مما أنت فيه إلا كراهية أن أعينك على معصية الله، واعلم إني أرتع في حسناتك كما ترعى الشاة الخضر. السلام.

"Sebenarnya saya langsung tiada masalah kamu mahu kutuk saya. Tetapi saya tidak mahu menolong kamu dalam maksiat.

Ketahuilah, saya sedang enak meragut pahala-pahala kebaikanmu, sebagaimana kambing-kambing meragut rumput.

Wassalam."

Tartīb al-Madārik, j. 3, h. 266.

Nota Musaddad

27 Sep, 08:12


Larangan Meminta-minta

Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَفْتَحُ الْإِنْسَانُ عَلَى نَفْسِهِ بَابَ مَسْأَلَةٍ، إِلَّا فَتَحَ اللهُ عَلَيْهِ بَابَ فَقْرٍ، يَأْخُذُ الرَّجُلُ حَبْلَهُ فَيَعْمِدُ إِلَى الْجَبَلِ، فَيَحْتَطِبُ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَأْكُلُ بِهِ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ مُعْطًى أَوْ مَمْنُوعًا

"Tiada orang yang membenarkan dirinya untuk meminta-minta, melainkan Allah akan membenarkan kemiskinan menimpanya.

Seseorang itu mengambil tali, lalu pergi ke pergunungan mencari kayu api di pundaknya, dan makan dengan hasilnya, itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang ramai; yang mahu beri, beri, yang tidak, tidak."

—Riwayat Ahmad, dengan sanad yang kuat.

• • • • •

Pelajaran daripada hadis:

1. Tercelanya perangai meminta-minta tanpa keuzuran, dalam keadaan mampu bekerja.

2. Galakan untuk menjaga air muka daripada meminta-minta.

Allah SWT memuji orang miskin yang bersikap begini, dan menggalakkan orang kaya untuk bersedekah kepada mereka:

يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُمْ بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا

"Orang yang bodoh akan menyangka mereka kaya, kerana mereka menjaga air muka mereka. Tetapi kamu mengenali mereka melalui petanda mereka; mereka tidak meminta-minta padahal mereka memerlukan." (al-Baqarah: 273)

3. Dibenarkan meminta-minta sekiranya seseorang itu ditimpa penyakit atau musibah yang menghalangnya bekerja, dibenarkan meminta-minta sekadar menampung keperluan hidup.

4. Dikecualikan daripada larangan ini, meminta-minta kepada pihak berkuasa yang bertugas dalam pengagihan zakat dan wakaf. Begitu juga kepada yayasan-yayasan yang digagaskan atas tujuan yang sama; dibenarkan untuk meminta-minta kepada mereka.

5. Sebahagian ulama membenarkan juga untuk meminta-minta kepada ahli keluarga, berdasarkan hadis dalam Awsat al-Tabarani (no. 7762). Tetapi hadis tersebut tidak begitu kuat.

6. Kemuliaan bekerja, betapa pun ia dipandang remeh orang ramai. Ia jauh lebih mulia daripada meminta-minta dalam keadaan mampu bekerja.

7. Had minima kekayaan adalah seseorang memiliki kadar keperluannya untuk sehari. Sesiapa yang memiliki pakaian, tempat tinggal yang aman, makan minum hari itu, dia telah mencapai had kekayaan yang diletakkan syarak; tidak dibenarkan meminta-minta kepada orang ramai.

Wallah a'lam.

Nota Musaddad

09 Sep, 07:56


Kata penyair Arab:

تزوَّجتِ البطالةُ بالتوانِي
••• فأولدَها غلامًا مع غُلامَةْ
فأمَّا ابنُ سمَّوهُ بفقرٍ
••• وأمَّا البنتُ سمَّوهُ ندامَة

"Pabila kemalasan berkahwin dengan bertangguh, mereka lahirkan sepasang anak lelaki perempuan.

Si anak teruna mereka namakan kefakiran, si anak gadis mereka namakan penyesalan."

Nota Musaddad

02 Sep, 04:29


Abu Qatadah meriwayatkan:

Rasulullah sallallahu alayh wasallam pernah mendukung cucu baginda, Umamah binti Zaynab binti Rasulullah, ketika baginda sedang solat; Apabila baginda mahu sujud, baginda akan meletakkan Umamah ke lantai. Apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya semula.

—Bukhārī, Muslim.

• • • • •

Beberapa pelajaran daripada hadis ini:

1. Sah solat mendukung anak kecil, lelaki atau perempuan.

2. Pakaian anak-anak adalah suci dari najis, kecuali jika terbukti sebaliknya.

3. Tidak batal solat dengan pergerakan yang sedikit, atau banyak tetapi terpisah-pisah.

4. Tawaduk dan berlemah-lembut dengan kanak-kanak.

5. Keharusan membawa kanak-kanak ke masjid. Hadis yang melarangnya adalah daif.

6. Dimaafkan jika tidak dapat khusyuk dalam solat atas sebab seperti ini.

7. Memuliakan anak-anak sanak saudara kita dengan mendukung mereka; menggembirakan anak-anak itu, sekali gus ibu bapa mereka.

8. Tidak mengapa kanak-kanak melintas di hadapan saf ketika solat, kerana jika mendukung mereka dibenarkan, membiarkan mereka di hadapan lebih ringan.

9. Praktikal bagi kaedah: "Hukum sesuatu kekal seperti asalnya, kecuali jika terbukti sebaliknya."

Semua ini dinyatakan Ibn al-Mulaqqin (w. 804) dalam al-Tawḍīḥ, j. 6, h. 79-82.

Nota Musaddad

01 Sep, 07:29


Hadis:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا

"Sekiranya manusia tahu kelebihan yang ada pada azan dan saf pertama, pasti mereka akan sanggup mencabut undi jika tiada cara lain untuk mendapatkannya."

—Bukhārī, Muslim.

Nota Musaddad

01 Sep, 02:29


Wahb bin Munabbih mencatatkan:

Seorang pendeta Yahudi bertanya kepada syaitan yang menjelma kepadanya, "Apakah sikap anak Adam yang paling membantumu?"

Syaitan menjawab, "Kemarahan. Jika anak Adam itu kuat marah, kami boleh sepak dia ke sana ke sini, seperti budak-budak menyepak bola."

Makāʾid al-Shayṭān, no. 38.

Nota Musaddad

31 Aug, 20:23


Ibn al-Sammak kerap bersenandung:

يَا مُدْمِنَ الذَّنْبِ أَمَا تَسْتَحْيِي
• • • اللَّهَ فِي الْخَلْوَةِ ثَانِيكَا
غَرَّكَ مِنْ رَبِّكَ إِمْهَالُهُ
• • • وَسَتْرُهُ طُولَ مَسَاوِيكَا

• • Hei pencandu dosa, tidakkah kau malu, sama Allah di saat kau bersendirian, Dia yang kedua.

• • Tertipu engkau dengan peluang Tuhanmu,
dan tirai-Nya yang menutupi keburukanmu.

Nota Musaddad

31 Aug, 19:41


"Semoga Allah merahmati orang-orang yang bersangka buruk dengan dirinya sendiri, pada ilmunya, pada amalannya, pada hubungannya dengan Allah.

Dalam masa yang sama, bersangka baik dengan generasi Salaf, menyedari kekurangan dirinya, dan kesempurnaan generasi Salaf.

Dia tidak menyerang para ulama agama, terutamanya ulama semulia Imam Ahmad, dan ulama-ulama lain yang menisbahkan diri kepada beliau (ulama mazhab Hanbali)."

— Imam Ibn Rajab (w. 795)

Nota Musaddad

27 Aug, 04:09


Firman:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Sampaikanlah – wahai Rasul: "Sekiranya kalian mencintai Allah, ikutilah aku; nescaya Allah akan mencintai kalian dan mengampunkan dosa kalian.

—Al ʿImran, 31

• • • • •

Ayat ini membuktikan bahawa pencinta Allah juga ada dosa-dosanya yang akan diampunkan. Tetapi dosanya kerana tergelincir dan terlupa, bukan kerana sengaja dan ingkar.

Ayat ini juga secara halus menyebutkan bahawa kriteria utama mencintai Allah adalah dengan mengikuti Nabi-Nya. Bukan dengan tiada maksiat langsung.

—Ḥusn al-Tanabbuh, 1/38.

Nota Musaddad

20 Aug, 10:54


Pesan para guru:

Barangkali kesukaran yang kita hadapi hari ini adalah kesan-kesan dosa lama yang berbaki.

Justeru?

Perbanyakkan istighfar.

Nota Musaddad

18 Aug, 22:36


Firman:

إن المبذِّرين كانوا إخوانَ الشيَاطينِ.

"Sungguh, para pembazir itu adalah saudara-saudara syaitan."

• • • •

Orang Arab menggelarkan orang yang melazimi gaya kumpulan A, dia adalah saudara kumpulan A.

Imam al-Baghawī (w. 516H)

@ Jeddah, KSA.

Nota Musaddad

13 Aug, 23:02


Firman:

ألا يعلمُ مَن خلَقَ، وهو اللطيفُ الخبير

"Bukankah Dia mengenali makhluk yang Dia cipta? Sudah tentu! Bahkan ilmu-Nya maha halus berkenaan jiwa manusia, maha mendalam berkenaan isi hati mereka."

Nota Musaddad

05 Aug, 16:53


Umar bin al-Khattab berkata:

النَّاسُ بِزَمَانِهِمْ أَشْبَهُ مِنْهُمْ بِآبَائِهِمْ

"Manusia itu lebih menyerupai zaman mereka berbanding nenek-moyang mereka."

• Ungkapan ini menggariskan berkenaan pengaruh era ke atas generasi baharu.

Semoga Allah perbaiki era ini dan generasinya.

Nota Musaddad

02 Aug, 21:30


Unta dan Umur-umurnya:

0-1 tahun:
Jika lahir pada musim bunga (الربيع):
Jantan: رُبَعٌ Rubaʿ
Betina: رُبَعَة Rubaʿah

Jika lahir pada musim panas:
J: هُبَع Hubaʿ
B: هبعة Hubaʿah

Habaʿ adalah cara berjalan dengan mengengsotkan tengkuk dari depan ke belakang. Dinamakan Hubaʿ dan Hubaʿah kerana anak unta yang lahir pada musim panas berjalan dengan gaya ini.

1-2 tahun:
J: فصِيلٌ Faṣīl
B: فَصِيلَةٌ Faṣīlah

Fiṣāl adalah keadaan di mana bayi mula melepaskan susu ibunya.

2-3 tahun:
J: ابن مَخَاض Ibn Makhāḍ
B: بنت مخاضٍ Bint Makhāḍ

Makhāḍ bermaksud "ibu yang bunting", kerana pada usia ini, ibu unta tersebut sudah boleh bunting anak yang lain.

3-4 tahun:
J: ابن لَبُونٍ Ibn Labūn
B: بنت لبُونٍ Bint Labūn

Labūn bermaksud ibu yang bersusu, kerana pada usia ini, ibu anak unta tersebut sudah boleh melahirkan anak seterusnya, dan mengeluarkan susu untuk anak tersebut.

4-5 tahun:
J: حِقٌّ Ḥiqq
B: حِقَّةٌ Ḥiqqah

Disebut Ḥiqq dan Ḥiqqah kerana unta pada usia ini sudah kuat dan ber'ḥaqq' (berhak) untuk dijadikan tunggangan.

Atau dikatakan: Kerana pada usia ini, unta betina sudah berhak untuk diperjantankan.

5-6 tahun:
J: ثَنِيٌّ Thaniyy
B: ثنية Thaniyyah.

Thaniyyah adalah gigi depan. Dinamakan begini, kerana pada usia ini, gigi depan unta mula berguguran.

• • • • •

Nama-nama ini membantu Pelajar dalam memahami bab zakat, bab korban hari raya, bab korban haji, bab diyat, serta beberapa bab lain dalam fiqh.

Musaddad Shaʿlamī
@ Shah Alam, Darul Ehsan