MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU TERENGGANU
19 SEPTEMBER 2024 | 15 RABIULAWAL 1446H
KHAMIS 10.00 PAGI
DEWAN KONVENSYEN, TAMAN TAMADUN ISLAM, KUALA TERENGGANU
Alhamdulillah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan 75 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pagi tadi.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah dan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menyambut keberangkatan baginda ialah YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar (Menteri Besar Terengganu), YBM Tengku Seri Bijaya Raja (Setiausaha Kerajaan Terengganu), YB Datoโ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail (Yang Dipertua MAIDAM) dan Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan (Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM).
Sambutan 75 Tahun MAIDAM dengan tema "Memacu Kesejahteraan Ummah" bertujuan menghargai segala usaha dan daya pemikiran pelbagai pihak sejak tertubuhnya MAIDAM di bawah Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu 1949 yang diwartakan pada 16 Februari 1949.
Pada usia 75 tahun, MAIDAM telah menempuh pelbagai cabaran dan perubahan hasil daripada kegigihan para ulama dan umara terdahulu serta seluruh warga besar MAIDAM bersama agensi lain dengan penuh dedikasi, kesetiaan, integriti dan keikhlasan.
Ketika bertitah, baginda menzahirkan penghargaan kepada semua pihak sama ada individu mahupun agensi yang telah membantu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melaksanakan fungsinya dengan cekap dan berkesan.
โBeta merasa gembira atas pencapaian dan transformasi yang telah berlaku sepanjang tempoh 75 tahun MAIDAM selari dengan kedudukan bahawa hal ehwal Islam terletak di
bawah bidang kuasa negeri sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
โBeta berpandangan bahawa MAIDAM perlu berperanan secara lebih dinamik, progresif dan selangkah di hadapan. Beta amat menghargai kejayaan ini yang dicapai menerusi usaha kolektif pelbagai agensi termasuk MAIDAM. Beta merasa amat sukacita bahawa jumlah kutipan zakat di Terengganu telah berjaya diagihkan seratus peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini,โ titah baginda.
Titah baginda lagi, segala usaha perlu ditambah baik dari semasa ke semasa agar tiada isu keciciran dalam kalangan individu yang layak menerima bantuan zakat di Terengganu.
Baginda turut menzahirkan pengharapan agar MAIDAM terus meningkatkan lagi prestasi kecekapan pengurusan kewangan, zakat, wakaf dan baitulmal.
Penghargaan khas MAIDAM bersempena majlis ini kepada semua penyumbang Dana Wakaf MAIDAM, Dana Pembangunan Usahawan Asnaf dan Dana Bantuan Asnaf iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Permodalan Nasional Berhad, FGV Holdings Berhad, MAIDAM Property Sdn. Bhd., Tenaga Nasional Berhad, Yayasan Waqaf Malaysia dan Pelaburan Hartanah Berhad.
Tidak lupa, setinggi-tinggi penghargaan MAIDAM kepada semua pihak yang sentiasa membantu MAIDAM dalam melaksanakan fungsinya.