Kerangka asas ekonomi Malaysia yang masih berteraskan hala tuju IMF dan Bank Dunia menyebabkan dasar-dasar berkaitan kadar faedah, belanjawan negara, pasaran buruh serta pemilikan negara yang dibangunkan turut tempang dan kurang berdaya saing. Sebagai contoh, eksport negara terlalu bergantung kepada peralatan elektrik dan elektronik, minyak dan gas serta minyak sawit.
Lebih malang, Malaysia tidak membangunkan kemahiran tempatan serta infrastruktur yang diperlukan bagi mengeksport produk akhir berteknologi tinggi (advanced end-product) dari peralatan elektronik dan minyak sawit ini.
Sebaliknya kita hanya memiliki kemahiran tempatan dan infrastruktur untuk memproses minyak dan gas menjadi produk akhir yang diperlukan pengguna seperti gas masak, minyak petrol, diesel, kerosene dan
bahan-bahan berasaskan plastik.
Selain pendekatan berat sebelah IMF dan Bank Dunia terhadap negara-negara membangun seperti Malaysia, kelemahan strategi pemimpin negara juga menyebabkan kita masih gagal meneroka secara skala besar bidang-bidang lain seperti perlombongan dan pemprosesan pelbagai hasil mineral yang dimiliki negara (emas, bauksit dan besi).
Negara kita juga masih jauh ketinggalan dalam bidang berkhidmatan seperti pelancongan, pendidikan dan khidmat nasihat (consultation) dalam pelbagai bidang umpamanya kewangan dan kejuruteraan.
- Petikan daripada Buku Impian Nasional Berjasa 2040 (BINA 2040)