Tidak sampai sebulan selepas Fakeh Sibin meninggal dunia, orang-orang kampung melihat perubahan diri Lamijah. Dia kelihatan muda semula hingga sentiasa berhias. Anak-anak muda juga kembali terpikat untuk mendampingi dirinya. Hinggalah Lamijah terlantar sakit, dia masih juga mahu berdandan dan berhias.
"Kejadian itu berlaku lebih seratus tahun dulu, ustaz," beritahu Kasim Togok tatkala orang-orang kampung bergotong royong membersihkan tanah perkuburan sebaik sahaja berdiri tidak jauh dari kubur Lamijah. "Memang saya ni keturunan daripada Simek Bacar tu," jelasnya lemah apabila kenangkan kejadian tersebut.
Saya memerhatikan belukar senduduk padat di atas kubur Lamijah. Siapa pun tidak berani menebas setiap kali bergotong royong menebas kawasan tanah perkuburan.
"Ada sarang tebuan, ustaz," ujar Kasim Togok apabila saya terhangak-hangak memerhati di balik belukar. Memang mereka tidak bersihkan kubur Lamijah disebabkan tebuan bersarang sebesar tempayan di atas kubur berkenaan hingga seolah-olah tertanam sampai ke dasar.
"Kenapa tak dibakar saja sarang tebuan tu?" tutur saya sambil beristighfar berulang kali.
"Tak ada siapa pun yang berani," beritahu Kasim Togok mengeluh pendek.
"Apa salahnya kalau kita cuba bersihkan kubur ni," lantas saya memujuk orang-orang kampung. Serba salah juga mereka mahu menerima keputusan saya disebabkan bimbang akan ditimpa bencana semasa membersihkan kubur Lamijah.
Sudah beberapa kali juga orang-orang kampung sebelum mereka membersihkan kubur berkenaan. Sebaik sahaja dibersihkan lebah bersarang di atas tanah hingga menjadi busut. Tidak pernah pula mereka melihat lebah bersarang di atas tanah hingga kawasan kubur hitam bagaikan sisa terbakar.
Kadangkala belum sempat mereka mahu menebas belukar yang tumbuh di atas kubur Lamijah, tiba-tiba sahaja terjongol kepala ular tedung senduk menyembur. Ular berkenaan tidak beganjak pun sekali pun dihalau dengan buluh.
Apabila mereka memanggil Ali Mejong menangkap ular tedung senduk di atas kubur, cepat sahaja ular berkenaan menyemburkan liurnya hingga menyinggahi muka Ali Mejong. Tiga hari Ali Mejong tidak dapat melihat akibat semburan yang memedihkan itu.
Belum pernah lagi ular yang di tengah belukar tidak tunduk kepada Ali Mejong. Dia satu-satunya di kampung itu yang dikenali menjadi pawang ular yang mahir. Bukan sahaja fasal menangkap ular bisa, malah dengan siulnya sahaja beratus-ratus ekor ular akan datang mendapatkan dia.
Hairan juga orang-orang kampung kemahiran luar biasa Ali Mejong itu. Entah dari mana datangnya beratus-ratus ekor luar akan terjongol sekiranya dia bersiul. Sewaktu Jubir anak Mak Ribah dipatuk ular cepat-cepat dia menjemput Ali Mejong.
Lantas sahaja Ali Mejong bersiul menyebabkan berpuluh-puluh ekor ular menjalar naik ke rumah Mak Ribah. Setiap ekor ular yang datang akan dipangkah kepalanya oleh Ali Mejong dengan kapur, kemudian ular berkenaan akan menghilang semula selepas menuruni tangga. Hinggalah seekor ular tedung senduk berwarna hitam terlangah-langah naik.
Setelah dipangkah kepalanya ular tersebut menunduk tidak mahu berundur. Tahulah Ali Mejong memang ular itulah yang mematuk Jubir. Apabila dihembuskan tiga kali kepala ular berkenaan lantas disuruhnya menghisap semula bisa di kaki Jubir.
Dalam keadaan berdegil ular tersebut seolah-olah terpaksa memagut semula betis Jubir yang dipagutnya. Lama taringnya melekat pada betis Jubir, mereka yang melihat keadaan itu nampak sisik ular berkenaan bertukar menjadi kelabu. Apabila lekang sahaja taringnya pada betis Jubir belum pun sempat turun ke tanah ular tersebut menggelepar di pangkal serambi. Di kepala tangga itulah ular berkenaan terkulai menjadi bangkai.