(Maksudnya): Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan materikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".
Syarat yang pertama adalah istiqamah (teguh di atas jalan yang betul) dan yang kedua; jangan ikut jalan orang-orang yang jahil (yang tidak tahu), yang tidak mahu berjuang, yang berputus asa dan menganggap kemenangan Islam itu adalah mustahil.
Nabi Musa 'alaihis salam menunaikan syarat itu dengan penuh kesabaran dalam tempoh beberapa tahun yang panjang. Setelah mereka menerima syarat itu dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, Nabi Musa diperintah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya berhijrah meninggalkan Mesir dengan cara kerahsiaan. Mereka berhijrah beramai-ramai. Keesokannya diketahui oleh Firaun, lalu memburu mereka dengan berjuta bala tentera yang lengkap dengan segala kekuatannya. Mereka tersekat di tepi laut. Melihat debu yang menjulang ke langit yang menandakan ramainya bala tentera Firaun, mereka berkata sebagaimana firman Allah Ta'ala:
فَلَمَّا تَرَاءَى الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَابُ مُوسَىٰ إِنَّا لَمُدْرَكُونَ (٦١) [سورة الشعراء : ٦١]
(Maksudnya): Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan".
Nabi Musa menjawab dengan beriman dan yakin kepada janji Allah Subhanahu wa Ta'ala:
قَالَ كَلَّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ (٦٢) [سورة الشعراء : ٦٢]
(Maksudnya): Nabi Musa menjawab: "Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku".
Lalu Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan Nabi Musa supaya memukul tongkatnya ke laut. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikan air laut terangkat seperti bukit dan gunung ganang dengan lorong-lorong yang kering. Bani Israil diselamatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala semuanya, manakala Firaun ditenggelamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan mukjizat yang menandakan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Peristiwa ini menjadi pengajaran kepada umat Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam yang menyambung perjuangan Islam untuk seluruh dunia, menghadapi keadaan pasang surut, rebah dan bangun, menang dan kalah. Kita menghadapi kehilangan kerajaan Islam dengan jatuhnya khilafah yang telah berlalu selama seratus tahun. Negeri-negeri Islam dijajah oleh musuh, dibahagikan oleh kuasa-kuasa penjajah sesama mereka. Ada negeri Islam ditakluk oleh British, dijajah oleh Perancis, dijajah oleh Belanda, dijajah oleh Komunis dan penjajah-penjajah yang lain. Bukan sahaja tanahairnya dipecah, bahkan umat Islam juga dipecah, ditekan dan ditindas. Islam mahu dihapuskannya, orang Islam ditangkap dan ditawan untuk menjadi hamba abdi serta dihantar ke seluruh pelusuk dunia. Hasil-hasil negeri Islam dirampas, dirompak dan disamun, serta dibelasah umat Islam habis-habisan. Melihat kepada cara yang dilakukan ini, habislah Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berjanji:
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (٨) [سورة الصّف : ٨]
(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam telah berjanji: