Wanita sarat hamil antara 6 sekeluarga etnik Rohingya dihadapkan ke mahkamah
KOTA TINGGI: Seorang wanita etnik Rohingya yang sarat hamil anak keempat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 13 pertuduhan pecah rumah, simpan harta curi dan ceroboh, sejak awal tahun ini.
Bagaimanapun, tertuduh, Norjahan Ismail, 34, mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Selain Norjahan, turut dihadapkan ke mahkamah sama adalah suaminya, Muhammad Ibrahim Md Yusof, 24, yang dituduh dengan 11 pertuduhan pecah rumah serta simpan harta curi, manakala menantunya, Mohamad Jamal, 19, dan tiga anak perempuannya masing-masing berusia 17, 14 dan 13 tahun didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibaca secara berasingan, Norjahan dan Muhammad Ibrahim mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan mencapai niat bersama melakukan pecah rumah dan mencuri pelbagai barang kemas, jam tangan serta wang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan boleh didenda dan jika mencuri, boleh dipenjara maksimum 14 tahun.
Kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah bagi lapan pertuduhan bersama-sama dengan curang menyimpan harta curi iaitu pelbagai barang kemas, wang tunai pelbagai mata wang dan jam tangan mewah dengan mengetahui barangan itu adalah harta curi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa kediaman sekitar Kota Tinggi, antara Mac lalu hingga bulan lalu.
Norjahan turut menghadapi satu lagi tuduhan menyimpan harta curi dan memasuki rumah tanpa kebenaran di Mersing, pada Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohamad Jamal dan isterinya yang juga anak sulung Norjahan, serta dua lagi anak Norjahan didakwa memasuki Malaysia tanpa pas sah, pada bulan lalu.
Mereka yang tidak mengaku bersalah didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan sebat sehingga enam kali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh atas alasan mempunyai terlalu banyak rekod lampau dan pernah dituduh serta dijatuhi hukuman di beberapa mahkamah dekat Pontian, Kulai dan Butterworth, Pulau Pinang.
"Norjahan dan Muhammad Ibrahim juga akan dituduh di beberapa lagi mahkamah seperti Batu Pahat, Mersing, Pontian dan Kulai selepas ini.
"Walaupun belum dituduh, tetapi ia bukti apa yang dilakukan tertuduh seperti Norjahan dan Muhammad Ibrahim ini sangat serius," katanya.
Bagaimanapun, peguam L Mehnagha yang mewakili semua tertuduh etnik Rohingya itu memohon jaminan diberikan atas beberapa alasan termasuk Norjahan sarat hamil dan beberapa tertuduh masih di usia kanak-kanak.
Ahmad Khairuddin dengan tegas membantah memandangkan tiada sebarang dokumen sokongan dikemukakan pihak pembelaan untuk membuktikan usia tertuduh yang di bawah umur.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap semua tertuduh dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - BH